Diterbitkan pada 1 Ogos 2025, 09:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Pusat Telinga, Pendengaran dan Pertuturan (Pusat HEARS), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Kumpulan Minat Khusus Kecelaruan Pemprosesan Auditori atau Special Interest Group on Auditory Processing Disorder (SIG APD) telah menganjurkan Siri Bengkel Profesional HEARS: Kecelaruan Pemprosesan Auditori yang bertujuan untuk berkongsikan pengetahuan dan kepakaran dalam bidang APD agar perkhidmatannya dapat diperluas di Malaysia.

Program yang bertemakan “Memperkasakan Penilaian dan Pengurusan APD melalui Kolaborasi Interdisiplin” itu telah berlangsung selama dua hari, iaitu pada 28 Julai 2025 hingga 29 Julai 2025.

Pada masa ini, perkhidmatan klinik APD hanya ditawarkan di beberapa institusi di Malaysia seperti Klinik Audiologi di UKM dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; Hospital Kuala Lumpur (HKL); Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) dan Hospital Queen Elizabeth, sekali gus menyebabkan pesakit sukar untuk mendapatkan pengurusan penyakit yang optimum.

Rentetan itu, bengkel ini dibuka kepada ahli audiologi, ahli terapi pertuturan–bahasa, doktor perubatan, ahli terapi cara kerja dan guru bagi memperkukuh kefahaman pelbagai pihak terhadap APD serta memastikan pesakit menerima pengurusan yang lebih holistik.

Program dimulakan dengan dua sesi ceramah secara hibrid kepada khalayak umum yang disampaikan oleh Pensyarah Program Audiologi, FSK, UKM, YBrs. Dr. Nashrah Maamor yang berkongsikan tentang pengenalan APD, manakala Pegawai Audiologi, HKL, Puan Siti Suriani Che Hussin membincangkan tentang APD merentas hayat.

Sesi perkongsian yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Nashrah Maamor mengenai tingkah laku bukan auditori yang ditunjukkan oleh pesakit APD.

Menurut Puan Siti Suriani Che Hussin, prevalens APD dalam kalangan dewasa tua adalah antara 23 peratus hingga 72 peratus akibat kemerosotan kognitif, manakala dalam kalangan kanak-kanak pula prevalens APD yang dianggarkan adalah antara 2 peratus hingga 7 peratus. Walaupun kadar ini lebih rendah berbanding dengan gangguan perkembangan lain, namun impaknya besar kerana menjejaskan keupayaan pembelajaran seseorang.

Sementara itu, ahli terapi pertuturan–bahasa dari Hospital Universiti Nasional Singapura, Puan Low Fang Yin turut berkongsikan peranan ahli terapi dalam mengendalikan kes APD, yang lazimnya perkhidmatan tertumpu kepada aspek audiologi sahaja, selain menjelaskan strategi yang boleh digunakan oleh ahli terapi pertuturan–bahasa apabila memberikan latihan auditori kepada pesakit APD.

Puan Low Fang Yin berkongsikan strategi yang boleh digunakan oleh ahli terapi pertuturan–bahasa apabila memberikan latihan auditori kepada pesakit APD.

Katanya,

Ahli audiologi bertanggungjawab untuk mendiagnosis APD, namun intervensi biasanya dilaksanakan oleh ahli terapi pertuturan–bahasa.

Pada masa yang sama, beliau turut menerangkan kaedah penilaian dan pengurusan APD di tempat kerjanya yang serupa dengan amalan di Malaysia.

Pada hari kedua, para peserta membincangkan tentang kes sebenar yang dikongsikan oleh ahli SIG APD bagi menentukan sama ada dapatan klinikal menyokong diagnosis APD ataupun sebaliknya.

Para peserta juga diberikan peluang untuk membincangkan hal berkaitan dengan pengurusan kes berdasarkan pembentangan yang disampaikan oleh Pegawai Audiologi, HRC, Puan Nurulhusna Mohd. Nor serta fungsi kolaborasi profesional bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan pesakit.

Para peserta berbincang tentang peranan profesional masing-masing serta bentuk kolaborasi yang boleh dilaksanakan dalam pengurusan pesakit APD.

“Kumpulan interprofesional di hospital bagi kes APD diharapkan dapat diwujudkan sebagaimana yang diamalkan untuk pesakit implan koklea dan pesakit sumbing bibir dan lelangit,” kata YBrs. Dr. Nashrah Maamor.

Ujarnya lagi,

Bengkel ini mendapat maklum balas yang positif daripada semua peserta yang menyatakan bahawa mereka memperoleh pengetahuan dan kemahiran baharu serta sesi perkongsian seumpama ini harus diteruskan pada masa akan datang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi