Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang diumumkan oleh kerajaan semalam menjadi landasan penting dalam memacu Malaysia ke arah masa hadapan yang lebih mampan, berdaya tahan dan progresif.
Menurut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof dalam satu kenyataan, RMK13 menetapkan hala tuju strategik untuk pembangunan negara dalam tempoh lima tahun akan datang dengan menekankan peralihan tenaga dan transformasi sektor air sebagai teras utama.
Ujar beliau,
Sebagai kementerian yang menerajui agenda perubahan ini, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memainkan peranan penting dalam memastikan pelaksanaan dasar RMK13 dapat memberikan impak langsung kepada kesejahteraan rakyat dan kemampanan negara.
Beliau berkata, selaras dengan komitmen Malaysia ke arah neutral karbon menjelang tahun 2050, RMK13 meletakkan sasaran tinggi dalam mempercepatkan peralihan tenaga negara termasuklah penambahbaikan sistem pembekalan elektrik melalui pembangunan grid pintar dan penggunaan sistem penyimpanan tenaga bagi 400 megawatt untuk empat jam.
Katanya, inisiatif tersebut akan menarik pelaburan sebanyak RM2.5 bilion serta mekanisme pasaran yang lebih fleksibel.
Tambah beliau, Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Elektrik dan Suruhanjaya Tenaga (Pindaan) 2025 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini juga merangkumi pewujudan pengendali pasaran yang akan berperanan menyelaras pasaran elektrik merentas sempadan, sekali gus menjadi komponen utama dalam merealisasikan Asean Power Grid.
Ulas beliau,
Pemerkasaan tenaga boleh baharu (TBB) menerusi projek solar, hidro serta eksplorasi teknologi hijau yang lebih efisien, penyediaan akses yang lebih luas kepada bekalan elektrik hijau melalui pemasangan sistem solar fotovolta secara berkelompok, pembukaan akses pihak ketiga serta penerokaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih dan selamat di bawah kawal selia Rangka Kerja Pembangunan Nuclear Energy Programme Implementing Organisation (NEPIO) juga merupakan antara langkah yang diambil, selaras komitmen Malaysia ke arah neutral karbon menjelang tahun 2050.
Menurut beliau, RMK13 memperkukuh inisiatif transformasi air bagi memastikan pengurusan sumber yang lebih mampan dan berdaya tahan melalui pelaksanaan projek tebatan banjir (RTB) di lokasi berisiko tinggi seperti di RTB Bandaraya Kuching di Sarawak, RTB Lembangan Sungai Johor dan RTB Lembangan Sungai Muar di Johor, RTB Lembangan Sungai Pahang di Pahang, RTB Baling di Kedah, RTB Sungai Likas di Sabah serta RTB Sungai Trolak di Perak bagi mengurangkan impak bencana alam.
Beliau juga menyatakan bahawa penggunaan teknologi kecerdasan buatan dalam sistem amaran awal banjir untuk ramalan yang lebih cepat dan tepat serta Pelan Transformasi Air menyeluruh yang merangkumi kelestarian sumber air dan kualiti air bersih melalui pengurangan kadar air tidak terhasil, menggalakkan penggunaan semula air pulih guna serta memperkasakan inovasi teknologi tempatan adalah antara inisiatif transformasi air yang dilaksanakan.
Tambah beliau, inisiatif lain adalah dengan memperkasakan kerjasama antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dengan sektor swasta bagi menjamin kestabilan bekalan air, selaras dengan pertumbuhan pesat sektor perumahan dan perindustrian.
Jelasnya,
Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Sabah dan Sarawak, saya menyambut baik inisiatif pembangunan sosioekonomi yang akan dilaksanakan di dua negeri ini termasuklah melaksanakan projek sambung tara grid dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia, selaras dengan aspirasi Sarawak sebagai hab TBB berteraskan kuasa hidro dan mempertingkatkan kapasiti pelabuhan di Sabah dan Sarawak bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.
Katanya lagi, inisiatif lain adalah dengan membangunkan hab ekonomi biru di negeri yang berpotensi termasuklah Sabah untuk menarik pelaburan dalam industri strategik ekonomi biru, membangunkan jajaran kawasan di negeri pantai timur Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak sebagai hab pengeluaran makanan yang seterusnya menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi desa.
Selanjutnya, inisiatif lain yang dilaksanakan adalah seperti menyegerakan projek mitigasi banjir termasuklah RTB Bandaraya Kuching di Sarawak dan RTB Sungai Likas di Sabah, memperkukuh pembangunan sosioekonomi anak negeri Sabah dan bumiputera Sarawak dengan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan masyarakat melalui pemerkasaan bakat, peningkatan infrastruktur dan kemudahan asas selain menyiapkan Projek Sarawak–Sabah Link Road, Projek Lebuhraya Trans Borneo dan seterusnya bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah.
Beliau juga berkata, langkah berani dalam pelaksanaan transformasi air dan tenaga meletakkan Malaysia di landasan yang kukuh untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi hijau dan teknologi masa hadapan.