Diterbitkan pada 30 Julai 2025, 17:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – ISPE Malaysia Affiliate, sebuah persatuan profesional terkemuka yang memfokuskan kemajuan kejuruteraan dan pembuatan dalam industri farmaseutikal telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ISPE Malaysia Affiliate ke-14 di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi bagi menghimpunkan ahli pertubuhan untuk menilai pencapaian dan membincangkan hala tuju strategik demi memacu kemajuan industri farmaseutikal di Malaysia.

Pertemuan tersebut merupakan momen refleksi, meraikan pencapaian dan memperbaharui komitmen ISPE Malaysia Affiliate dalam perjalanan memajukan kecemerlangan farmaseutikal.

Menurut Presiden ISPE Malaysia Affiliate, Puan Zarina Noordin, penganjuran AGM ke-14 ini adalah bukti komitmen berterusan persatuan berkenaan dalam memacu kecemerlangan industri farmaseutikal negara.

Presiden ISPE Malaysia Affiliate, Puan Zarina Noordin ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Mesyuarat Agung Tahunan ISPE Malaysia ke-14 di Bangi Resort Hotel.

Dalam mesyuarat tersebut juga, pemilihan dan pelantikan barisan kepimpinan baharu bagi penggal 2025/2026 telah dilakukan, yakni Puan Zarina Noordin kekal sebagai presiden, dibantu oleh Encik Fadzhairi Jabar selaku naib presiden, setiausaha pula disandang oleh Encik Harry Sheng Xyng Ng dan Puan Mazdiana Mahathir sebagai penolong setiausaha, manakala bendahari dipertanggungjawabkan kepada Puan Yap Sook Miun dan penolongnya ialah Puan Noor Zuraihan Mohamad Noor.

Barisan kepimpinan ISPE Malaysia Affiliate bagi penggal 2025/2026.

Sementara itu, dua orang juruaudit baharu turut dilantik, iaitu Encik Vighnes Kanagaraj dan Puan Manisah Saedon bagi memastikan kesinambungan tadbir urus dan hala tuju strategik persatuan lebih cekap.

Pada masa yang sama, sesi perkongsian daripada seorang daripada pemenang ISPE Malaysia Hackathon 2025 turut diadakan bagi membincangkan hal berkaitan dengan kerja berpasukan, penyelesaian masalah dunia sebenar dan inovasi dalam pembuatan farmaseutikal melibatkan masa hadapan industri dan masa hadapan yang akan dipimpin oleh ahli profesional muda yang bersemangat dan berkebolehan.

AGM pada kali ini bukan sekadar perhimpunan tahunan rutin, sebaliknya menjadi platform strategik yang sangat penting untuk kemajuan industri farmaseutikal di Malaysia berikutan bidang farmaseutikal merupakan sektor yang kritikal kepada kesihatan awam dan ekonomi negara kerana setiap perkembangan dan hala tuju masa hadapan industri ini adalah signifikan untuk dipantau secara berterusan.

ISPE Malaysia Affiliate terus memainkan peranan yang penting dalam memacu perkongsian ilmu, kolaborasi dan inovasi serta aktif terlibat dalam melatih dan membangunkan ahli profesional berkemahiran tinggi dalam bidang farmaseutikal, sekali gus memenuhi keperluan mendesak negara akan tenaga kerja pakar.

Komitmen ini jelas kelihatan melalui inisiatif penting seperti program pementoran “Mentor WIP MYISPE”, yakni guru industri yang berpengalaman dipertanggungjawabkan untuk membimbing tenaga kerja pada peringkat permulaan dan pemimpin baharu untuk memastikan pembangunan bakat tempatan kekal berterusan.

Selain itu, ISPE Malaysia Affiliate turut menyediakan satu platform jaringan dan kolaborasi unik yang membolehkan pemain industri, ahli akademik, pelajar universiti dan wakil agensi kerajaan dapat berinteraksi serta membentuk perkongsian strategik yang berpotensi untuk memacu inovasi dan pertumbuhan dalam sektor farmaseutikal Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi