Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Dalam usaha untuk memastikan persekitaran kerja yang selamat dan sihat dalam kalangan warga Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), Jawatankuasa Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (JKSHE), Nuklear Malaysia telah menganjurkan Bengkel Pengenalpastian Bahaya, Penaksiran Risiko dan Pengawalan Risiko (HIRARC) di Dewan Tun Dr. Ismail, Nuklear Malaysia, baru-baru ini.
Di Malaysia, penekanan terhadap pengurusan risiko pekerjaan secara sistematik telah digariskan dengan jelas melalui perundangan utama, iaitu Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Program Perkhidmatan Teknikal), Nuklear Malaysia, YBrs. Ts. Dr. Ishak Mansor, bengkel tersebut merupakan program pengembangan kompetensi bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kesedaran para peserta mengenai kepentingan pengurusan risiko secara sistematik.
Ujar beliau,
Ilmu yang diperoleh diharapkan dapat digunakan dengan sepenuhnya oleh semua peserta di tempat kerja masing-masing demi mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan sihat.

Sebanyak 40 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan dari pelbagai bahagian di Nuklear Malaysia telah menyertai bengkel berkenaan dan diberikan pendedahan tentang konsep serta amalan terbaik dalam pengurusan risiko di tempat kerja melalui pengajaran dan bimbingan yang disampaikan oleh Puan Siti Munirah @ Munie Sharif.

Pada hari pertama bengkel tersebut, para peserta diperkenalkan dengan konsep asas HIRARC yang merangkumi definisi bahaya, risiko dan kepentingan dalam sistem pengurusan keselamatan, manakala para peserta dilatih untuk membuat penilaian risiko pada hari kedua bengkel berlangsung.
Para peserta turut dibimbing untuk menggunakan matriks risiko yang menggunakan konsep kebarangkalian (likelihood) dan keterukan (severity) untuk menentukan tahap risiko.
Pada hari terakhir bengkel, peserta didedahkan dengan konsep hierarki kawalan yang mengutamakan langkah penghapusan (elimination), penggantian (substitution), kawalan kejuruteraan (engineering control), kawalan pentadbiran (administrative control) dan penggunaan kelengkapan perlindungan diri (PPE).
Pada masa yang sama, Sekretariat JKSHE turut mengambil peluang untuk berkongsikan maklumat mengenai dokumentasi HIRARC di Nuklear Malaysia dan perancangan pengemaskinian Generic Hazad Register dalam bengkel tersebut.