Diterbitkan pada 15 Julai 2025, 17:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Kadar penghidap diabetes yang tinggi, iaitu sebanyak 54.5 peratus dalam kalangan penghuni di Pusat Jagaan Warga Emas Bait Al-Mawaddah telah mencetuskan pelaksanaan satu program intervensi pemakanan oleh pelajar Program Dietetik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Program intervensi selama empat minggu yang dikenali sebagai Diabetes Awareness Initiative (DAI) ini bertujuan meningkatkan kesedaran berkaitan dengan penyakit diabetes dan menggalakkan kawalan kendiri dalam kalangan warga emas.

Sesi perkongsian tentang penyakit diabetes bersama-sama warga emas di Pusat Jagaan Warga Emas Bait Al-Mawaddah.

Ketua Pusat Jagaan Warga Emas Bait Al-Mawaddah, Tuan Haji Abdul Razak Razali berkata, program seumpama ini merupakan satu titik tolak ke arah penjagaan pemakanan yang lebih baik dalam kalangan penghuni di pusat jagaan ini.

Katanya,

Program ini telah membantu warga emas di sini dalam mengawal pemakanan dan bacaan gula serta banyak perubahan positif yang saya dapat perhatikan sepanjang program ini berlangsung, selain keperluan untuk pakar dietetik juga semakin jelas dan pihak kami akan berusaha untuk menambah pegawai dietetik di sini.

Program DAI merangkumi enam komponen utama, iaitu sesi perkongsian maklumat tentang diabetes menggunakan slaid bergambar, penerangan mengenai Model Pinggan Sihat Malaysia (konsep suku-suku separuh) untuk kawalan porsi makanan, penggunaan pemanis tiruan bagi menggantikan gula dalam minuman, penyediaan bahan visual seperti poster dan risalah mesra warga emas, pemantauan gula darah sebanyak tiga kali sehari serta penyediaan Hypo Kit sebagai langkah kecemasan untuk menghadapi situasi hipoglisemia.

Model Pinggan Sihat Malaysia yang digunakan semasa waktu makan bagi membantu kawalan porsi makanan.

Melalui penggunaan Model Pinggan Sihat Malaysia ketika waktu makan, penghuni dibimbing untuk mengawal kuantiti makanan dengan lebih berkesan.

Pemantauan kadar glukosa yang dijalankan sebelum sarapan, selepas makan tengah hari dan selepas makan malam mendapati beberapa orang penghuni menunjukkan trend bacaan yang semakin stabil sepanjang tempoh pelaksanaan program.

Pemantauan terhadap bacaan gula dilakukan sebanyak tiga kali sehari untuk menilai kesan intervensi.
Bahanendidikan seperti poster berkaitan dengan diabetes turut dipaparkan di lokasi yang strategik dalam kawasan pusat jagaan sebagai rujukan visual harian yang mudah difahami oleh warga emas.

Majlis penutupan program DAI telah disempurnakan dengan sesi penyampaian token penghargaan kepada pelajar Program Dietetik, UKM yang terlibat.

Penyampaian disempurnakan oleh Ketua Jabatan Pengurusan Institusi, Lembaga Zakat Selangor, Encik Saiful Anuar Abdullah Salleh sebagai tanda penghargaan atas komitmen tinggi yang diberikan dalam melaksanakan program kesedaran diabetes berkenaan.

Sesi penyampaian token apresiasi kepada pelajar program Dietetik, UKM yang berjaya melaksanakan program kesedaran tentang diabetes di Pusat Jagaan Warga Emas Bait Al-Mawaddah.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi