Diterbitkan pada 15 Julai 2025, 15:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penjaga utama kepada pesakit sawan dewasa di Malaysia dikesan mengalami tahap tekanan yang tinggi hingga menjejaskan kesejahteraan mental mereka, menurut hasil kajian terkini oleh Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Kajian ini yang dijalankan antara Jun 2023 hingga Januari 2024 di Klinik Neurologi HCTM bertujuan meneliti beban psikososial yang dihadapi oleh penjaga dalam konteks rawatan sawan dewasa yang berpanjangan dan kompleks.

Sebanyak 119 penjaga utama terlibat dalam kajian ini yang terdiri daripada ahli keluarga dan individu terdekat yang memberikan penjagaan secara langsung kepada pesakit sawan tanpa sebarang imbuhan kewangan.

Sebagai sebahagian daripada metodologi penyelidikan, kesemua responden melengkapkan soal selidik berdasarkan instrumen penilaian psikososial seperti Skala Beban Penjaga Zarit (Zarit Burden Interview), Skala Stigma Afiliasi serta Skala Kemurungan, Keresahan dan Tekanan (DASS-21).

Hasil dapatan menunjukkan sebanyak 35.2 peratus penjaga mengalami tahap beban penjagaan dari ringan hingga sederhana, manakala sebilangan kecil mengalami beban yang lebih berat.

Antara faktor yang menyumbang kepada tekanan ini termasuklah jantina penjaga (wanita lebih terkesan), tahap kebergantungan pesakit dalam aktiviti harian, kekerapan serangan sawan, penggunaan pelbagai jenis ubat antisawan (polypharmacy) serta tekanan sosial yang berpunca daripada stigma terhadap penyakit sawan.

Penyelidik utama, Profesor Madya Dr. Khoo Ching Soong yang juga Pakar Perubatan dan Neurologi dari Fakulti Perubatan dan HCTM menjelaskan bahawa cabaran penjaga selalunya tidak kelihatan secara fizikal tetapi memberikan kesan emosi dan psikologi yang mendalam.

Pakar Perubatan dan Neurologi dari Fakulti Perubatan dan HCTM, UKM, Profesor Madya Dr. Khoo Ching Soong.

Beliau menegaskan bahawa penjaga bukan sahaja perlu menangani keperluan fizikal pesakit secara berterusan, malah turut menanggung tekanan emosi akibat beban harian serta persepsi negatif masyarakat terhadap penyakit sawan.

Situasi ini, menurut beliau, jika dibiarkan berlarutan tanpa intervensi, berpotensi mengganggu kesihatan mental penjaga dan akhirnya menjejaskan kualiti penjagaan yang mereka mampu berikan kepada pesakit.

Oleh hal yang demikian, katanya, aspek sokongan kepada penjaga wajar diberikan perhatian serius kerana kesejahteraan mereka berkait rapat dengan hasil rawatan dan tahap pemulihan pesakit.

Kajian ini turut menekankan perlunya intervensi berbentuk sokongan psikososial, pendidikan kesihatan dan pelibatan komuniti bagi membantu penjaga menangani tekanan dengan lebih baik.

Menurut beliau, usaha menangani tekanan penjaga bukan hanya terletak pada bahu profesional kesihatan, malah memerlukan kerjasama daripada ahli keluarga dan masyarakat untuk menyediakan persekitaran sokongan yang kondusif.

Kajian ini turut memperlihatkan nilai budaya dan kepercayaan agama dalam masyarakat Malaysia memainkan peranan penting sebagai mekanisme daya tindak yang membantu penjaga menerima dan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih tabah.

Nilai kekeluargaan, tanggungjawab moral dan kepercayaan agama menjadi sandaran utama penjaga untuk terus bertahan dalam menghadapi tekanan harian dan emosi yang mencabar.

Menyedari akan kepentingan sokongan bersepadu ini, para penyelidik menyarankan agar lebih banyak program diperkenalkan seperti sesi kaunseling, kempen kesedaran serta penubuhan rangkaian sokongan komuniti untuk membantu penjaga dan mengurangkan stigma terhadap pesakit sawan.

Inisiatif ini diharap dapat mewujudkan ekosistem penjagaan yang lebih berdaya tahan dan menyeluruh, sekali gus memberikan manfaat jangka panjang kepada pesakit dan penjaga.

Kajian ini telah diluluskan oleh Jawatankuasa Etika Penyelidikan UKM (Kod Penyelidikan: FF-2023-137) dan diterbitkan dalam jurnal antarabangsa Epilepsy & Behavior pada tahun 2025.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi