Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Pertandingan inovasi melalui penghasilan video kreatif kini telah menjadi satu fenomena penting dalam dunia inovasi dan akademik, terutamanya dalam kalangan pelajar universiti, penyelidik muda dan golongan profesional dalam mengharungi era pasca COVID-19.
Melihat potensi pertandingan ini kepada golongan penyelidik dan pencipta produk inovasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menerusi Unit Perundingan, Inovasi dan Kepakaran (UPIK) telah mengadakan program perkongsian secara dalam talian dengan mengundang Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan, Puan Zainab Razali untuk berkongsi rahsia kejayaan menghasilkan video untuk pertandingan inovasi.
Menurut beliau, untuk memenangi pertandingan inovasi yang memerlukan para peserta menghasil video inovasi, para peserta perlu menampilkan idea yang inovatif, asli dan mempunyai potensi untuk digunakan dalam dunia sebenar.
Penekanan utama dalam pertandingan ini adalah kepada aspek inovasi, kreativiti dan keaslian idea dan sejauh mana produk atau hasil kajian yang dipersembahkan dapat dimanfaat sepenuhnya dan kekal relevan dalam jangka masa panjang.
“Setiap penyertaan juga perlu menunjukkan aspek kelestarian dan kesan yang positif kepada masyarakat,” kata beliau.
Dalam aspek penyampaian pula, beliau berkata kandungan yang dibentangkan harus tersusun dengan baik, mudah difahami dan disampaikan dengan menarik serta meyakinkan dalam masa yang ditetapkan.
Visual persembahan memainkan peranan penting bagi menarik perhatian dan menjelaskan konsep secara lebih berkesan.
“Selain itu, keupayaan peserta mengurus masa dengan baik, menjawab soalan dengan yakin dan jelas semasa sesi soal jawab turut dinilai,” kata beliau.
Menurut beliau lagi para peserta digalakkan menyediakan video pembentangan yang ringkas tetapi padat dengan maklumat penting yang merangkumi latar belakang masalah, penyelesaian yang dicadangkan, dan impaknya.
“Projek yang dibangunkan perlu melalui proses pemikiran kreatif dan penyertaan akan lebih menyerlah jika disokong oleh prototaip atau demonstrasi yang menunjukkan kebolehgunaan idea tersebut,” kata beliau.
Ujar beliau, latihan, bimbingan mentor serta pemahaman mendalam terhadap tajuk yang dipilih amat penting dalam memastikan pembentangan idea tidak menjadi huru-hara.
Menurutnya, peserta juga harus mampu menyampaikan idea dengan bahasa yang mudah difahami, mengelakkan jargon teknikal yang berlebihan dan menunjukkan semangat serta keyakinan sepanjang proses pertandingan,
“Keseluruhannya, gabungan antara idea hebat, penyampaian berkesan dengan penguasaan isi akan meningkatkan peluang untuk memenangi pertandingan ini,” tambah beliau,

Sementara itu, Koordinator Unit Perundingan, Inovasi dan Kepakaran, Puan Nur Syafiqah Rahim berkata melalui penyertaan dalam pertandingan inovasi seperti ini, peserta dapat mengasah pelbagai kemahiran penting.
“Para peserta dapat menyemai kemahiran komunikasi lisan, mengembangkan kemahiran visual dan persembahan dan memperkukuh kemahiran pemikiran kritikal dan analitik,” kata beliau.
“Tidak kurang penting juga ialah menyemai keyakinan diri dan pengurusan masa, kerana para peserta perlu mengawal emosi dan menyampaikan kandungan pembentangan dengan tepat dalam tempoh tiga minit,” tambah beliau.
Ujar beliau, sesi soal jawab yang biasanya menyusul juga membina kemahiran respon spontan dan argumentasi yang logik yang akan memberikan nilai tembah baharu dalam dunia profesional dan akademik secara keseluruhan.
Beliau juga menzahirkan rasa gembira dengan kehadiran para peserta yang datang dari pelbagai institusi dan sekolah dari seluruh Malaysia menyaksikan perkongsian yang disampaikan oleh Puan Zainab Razali.
Program berakhir dengan pelbagai promosi berkaitan dengan program penyelidikan dan inovasi merangkumi program The 7th International Innovation, Design And Articulation (i-IDeA 2025); The 2nd i-Biz Challenge 2025; dan The International Sciences, Technology And Engineering Conference (ISTEC 2025).

Sebanyak 50 peserta yang terdiri daripada pensyarah, pencipta produk inovasi, pelajar pascasiswazah, mahasiswa, guru dan para pelajar sekolah telah menyertai program ini.