Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPetaling Jaya – Mahasiswa Sarjana Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran (HS705), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam dengan kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan rakan penganjur berjaya menganjurkan program Urban Health Forum 2025: Focus Group Discussion (FGD) di PJ Recycling Eco Plaza.
Program berimpak tinggi ini dijalankan secara kumpulan perbincangan berfokus yang menghimpunkan ahli panel dari pelbagai bidang untuk membincangkan isu kesihatan bandar yang semakin mencabar dan relevan pada masa ini.
Topik yang dibincangkan meliputi pengurusan sisa makanan demi kelestarian dan kesihatan negara, pengendalian sisa binaan ke arah masa depan yang lebih sihat, peranan industri dalam menangani perubahan iklim, serta risiko kesihatan baharu seperti pencemaran plastik dan mikroplastik di kawasan bandar.
Penasihat program, Profesor Madya Dr. Farah Ayuni Shafie berkata, program ini berperanan sebagai wadah penting bagi pelajar meneroka kaedah penyelidikan dan membina kemahiran komunikasi serta kepimpinan melalui pengurusan acara yang bersifat rentas sektor.
Beliau menambah bahawa inisiatif seperti ini seharusnya menjadi nilai tambah dalam pembangunan akademik pelajar dan selari dengan “gen” UiTM dalam melahirkan graduan holistik yang bersedia menghadapi cabaran global.
Sebagai bukti jalinan kerjasama antara pelbagai pihak, forum ini menghimpunkan lebih 22 wakil daripada sektor awam, swasta, badan bukan kerajaan dan institusi akademik yang terlibat secara langsung dalam agenda kesihatan dan kelestarian bandar.
Antara agensi dan institusi yang turut serta termasuklah Jabatan Perancangan Pembangunan MBPJ, Centre for Marine and Coastal Studies (CEMACS) USM, Greenpeace Southeast Asia, Malaysian Plastics Manufacturers Association, SWCorp Malaysia, Secret Recipe Manufacturing, dan Worldwide Holdings Sdn Bhd.
Penyertaan turut melibatkan pemain industri seperti Kilang Makanan Mamee Sdn Bhd, Pulse Grande Hotel Putrajaya, Voltek Energy Sdn. Bhd., Innovaq Edge serta institusi penyelidikan seperti Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Selain penyertaan tempatan, forum ini turut disertai oleh wakil antarabangsa melalui jaringan kerjasama International Federation of Environmental Health (IFEH), termasuklah pakar dari Cardiff Metropolitan University, United Kingdom dan National Environmental Health Association, Amerika Syarikat.
Program ini telah dirasmikan oleh Datuk Bandar Petaling Jaya, YBrs. Tuan Haji Mohamad Zahri Samigon yang menyatakan keyakinan bahawa penganjuran seperti ini dapat menyumbang kepada peningkatan kualiti pembangunan bandar yang lebih mampan dan berimpak tinggi.
Dalam ucapannya, beliau turut menzahirkan harapan agar kolaborasi antara pihak berkuasa tempatan dan institusi pendidikan seperti UiTM dapat diteruskan secara konsisten untuk manfaat bersama.
Hasil dapatan perbincangan dalam forum ini akan diterbitkan dalam MAEH Journal of Environmental Health (MJEH) sebagai sumber rujukan akademik dan amalan profesional dalam bidang kesihatan persekitaran.
Pihak Fakulti Sains Kesihatan, UiTM turut memaklumkan bahawa pengambilan pelajar bagi program Sarjana Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran (HS705) kini dibuka untuk sesi Oktober 2025 dan maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi di study.uitm.edu.my.