Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJohor Bahru – Dalam usaha menyampaikan mesej pendidikan kesihatan dan pemeliharaan alam sekitar melalui pendekatan yang interaktif serta bersesuaian dengan konteks komuniti sasaran, program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dinamakan Health, Environment, Responsibility, Outreach, Education and Sustainability (H.E.R.O.E.S) telah diadakan di Kampung Orang Asli Bakar Batu, Perling, Johor Bahru.
Program tersebut melibatkan 18 orang pelajar Sarjana Muda Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran dari Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam.
Menurut Pensyarah Kanan FSK, UiTM Puncak Alam merangkap penasihat program CSR berkenaan, YBrs. Profesor Madya Dr. Nazri Che Dom, selain memperlihatkan kebolehan pelajar dalam menterjemahkan ilmu kepada amalan, program ini mampu membina hubungan dengan komuniti, sekali gus memberikan ruang kepada pelajar untuk memahami realiti kesihatan persekitaran dalam konteks komuniti terpinggir seperti orang asli.
Ujar beliau,
Melalui pengalaman ini, kita tidak hanya mendidik masyarakat, tetapi turut membentuk generasi profesional kesihatan yang lebih prihatin dan berdaya saing.
Beliau juga menyatakan bahawa CSR H.E.R.O.E.S merupakan inisiatif berimpak tinggi yang berjaya menghubungkan antara pengetahuan akademik dengan keperluan komuniti serta membuktikan bahawa pendidikan kesihatan yang bersifat inklusif, berfokus dan berasaskan pendekatan budaya mampu membentuk komuniti yang lebih sihat, bertanggungjawab dan berdaya tahan.
Program tersebut dirangka bagi mencapai objektif khusus, iaitu meminimumkan ketersediaan air bertakung yang berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes menerusi aktiviti pengurusan sisa dan pembersihan kawasan secara proaktif.
Selain mendidik komuniti orang asli tentang kaitan antara kebersihan persekitaran dengan pencegahan penyakit bawaan nyamuk seperti denggi, program berkenaan juga merupakan satu daripada usaha dalam menyampaikan maklumat kesihatan yang bersesuaian dengan latar belakang komuniti dengan memfokuskan pembentukan nilai tanggungjawab untuk menjaga kesihatan dan persekitaran.
Program dimulakan dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan mendidik, misalnya senamrobik dan pertandingan tarik tali bukan sahaja menyemarakkan semangat kerjasama, malah memberikan nilai kepada gaya hidup aktif.
Pertandingan boling kelapa yang berkonsepkan sasaran pula membawa mesej kebersihan, manakala pertandingan mewarna dan aktiviti mencari jentik-jentik diperkenalkan bagi menarik penyertaan kanak-kanak dalam bentuk pendidikan yang menyeronokkan.
Selain itu, aktiviti pengutipan sampah yang paling banyak melalui ploging pula menjadi simbol kepada budaya mencintai kebersihan, di samping memberikan kesedaran terhadap pengurusan sisa.

Pada masa yang sama, pameran dan sesi demonstrasi turut diadakan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat tentang langkah pencegahan pembiakan nyamuk.
Dalam program itu, pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah membuka reruai pameran kitar semula yang mengetengahkan mesej pengurangan sisa, manakala para pelajar UiTM Puncak Alam melakukan sesi demonstrasi bagi membendung pembiakan jentik-jentik di dalam takungan air.
Sebagai langkah untuk membentuk kesedaran kesihatan yang berpanjangan dan memberikan pendidikan awal kepada kanak-kanak, aktiviti reruai yang bersifat interaktif juga diadakan seperti sesi mengenal pasti tempat pembiakan nyamuk aedes dalam gambar, mengenal pasti ciri fizikal nyamuk aedes dan permainan mencari perkataan yang berkaitan dengan lokasi pembiakan nyamuk.
Kemuncak program turut diserikan dengan persembahan tarian tradisional oleh masyarakat orang asli dari Kampung Seletar yang mencerminkan jalinan budaya dan nilai warisan yang masih segar dalam komuniti tersebut.

Sebagai tanda ingatan dan simbolik kepada kerjasama yang terjalin, para pelajar UiTM Puncak Alam turut menghasilkan sebuah lukisan mural pada dinding Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di kampung berkenaan yang bertemakan “Hapus Aedes, Cegah Denggi”.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pustakawan Perpustakaan Sultan Ismail Majlis Bandaraya Johor Bahru, Yang Mulia Tengku Tarmizi Tengku Aziz; Ketua Unit Modal Insan dan Kebajikan Orang Asli Jabatan Kemajuan Orang Asli Johor, Encik Amirul Abd Razak; Tok Batin Kampung Orang Asli Bakar Batu, Encik Kais Kie; wakil dari Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru, KEMAS, Majlis Bandaraya Johor Bahru dan SWCorp.