Diterbitkan pada 25 Jun 2025, 17:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangkok – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh kehadirannya pada peringkat serantau apabila tiga orang wakil dari Perpustakaan UTM diundang secara rasmi oleh penerbit akademik antarabangsa, Elsevier untuk menghadiri Southeast Asia Libraries of the Future Summit 2025 yang berlangsung di Renaissance Bangkok Ratchaprasong Hotel, Thailand.

Penyertaan tersebut bukan sahaja menjadi bukti pengiktirafan terhadap kepimpinan kepustakawanan UTM, malah mencerminkan komitmen universiti berkenaan dalam menerajui transformasi digital dan inovasi perkhidmatan maklumat secara holistik.

Tiga orang wakil yang menghadiri sidang kemuncak tersebut ialah Puan Zaleha Atan yang menjalankan tugas Ketua Pustakawan UTM; Timbalan Ketua Pustakawan UTM, Puan Nik Masriza Zakaria dan Pustakawan UTM, Puan Marlia Rahim.

Dari kiri: Puan Marlia Rahim, Puan Nik Masriza Zakaria dan Puan Zaleha Atan selaku wakil dari Perpustakaan UTM yang menghadiri Southeast Asia Libraries of the Future Summit 2025 di Renaissance Bangkok Ratchaprasong Hotel, Thailand.

Penyertaan mereka adalah selari dengan komitmen universiti dalam mendepani transformasi digital serta memperkukuh peranan perpustakaan sebagai rakan strategik institusi.

Menurut Puan Zaleha Atan, program berkenaan memberikan pendedahan yang amat berharga, terutamanya dalam konteks strategi pendigitalan perkhidmatan perpustakaan dan sokongan terhadap aspirasi UTM di bawah pelan strategik UTM ASCEND 2030.

Ujarnya,

Program ini membuka ruang kepada UTM untuk menjalin hubungan strategik, mendapatkan input berkaitan dengan teknologi terkini dan merangka pendekatan inovatif dalam menyokong kejayaan akademik, penyelidikan dan keterlihatan global UTM.

Penyertaan UTM turut memberikan peluang kepada wakil universiti untuk menyertai sesi perbincangan yang mendalam bersama-sama institusi ternama dari Thailand, Indonesia, Filipina dan Vietnam serta penyedia sistem perpustakaan bertaraf dunia.

Sesi ucapan perasmian pembukaan Southeast Asia Libraries of the Future Summit 2025 oleh pihak penganjur.

Mengulas lebih lanjut, Puan Zaleha Atan menyifatkan penyertaan UTM dalam program ini sebagai bukti komitmen universiti untuk memperkukuh kepimpinan kepustakawanan serantau.

Katanya,

Kehadiran kami bertiga bukan sahaja sebagai wakil institusi tetapi pembawa suara UTM yang sentiasa proaktif dalam memperkukuh peranan perpustakaan sebagai penggerak inovasi akademik dan kami harus sentiasa berada di hadapan dalam memahami dan memanfaatkan teknologi terkini untuk memberikan nilai tambah kepada komuniti kampus.

Sementara itu, Puan Nik Masriza pula menekankan pentingnya pendedahan kepada amalan terbaik dari rantau lain bagi membolehkan pustakawan UTM terus relevan dan progresif.

Jelasnya,

Kita perlu bersedia untuk berubah dan sidang kemuncak ini memberikan perspektif segar tentang peranan pustakawan yang boleh disesuaikan dalam ekosistem digital pada masa ini.

Sidang kemuncak yang menghimpunkan lebih daripada 100 orang ahli profesional maklumat dari seluruh Asia Tenggara memberikan tumpuan kepada isu kritikal dalam landskap pendidikan tinggi kini, iaitu peranan strategik perpustakaan akademik dalam mendepani cabaran era digital.

Bertemakan Advancing Excellence: Libraries as Champions of Innovation and Institutional Success, program ini mengetengahkan pelbagai topik seperti integrasi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem rujukan pintar, pembangunan koleksi mampan, strategi keterlihatan penyelidikan institusi serta pendigitalan yang menyokong akses terbuka dan pendidikan sepanjang hayat.

Sesi perbincangan mengenai perkembangan teknologi AI dan masa hadapan perpustakaan akademik.

Hasil daripada pelibatan ini, UTM berhasrat untuk menganjurkan sesi perkongsian dalaman dan menyusun cadangan pelaksanaan teknologi baharu di perpustakaan, sejajar dengan matlamat menjadikan perpustakaan sebagai nadi kecemerlangan institusi.

Dalam menerajui agenda kepustakawanan serantau yang progresif dan inovatif, penyertaan delegasi Perpustakaan UTM dalam Southeast Asia Libraries of the Future Summit 2025 telah mencerminkan komitmen universiti yang berterusan untuk mencapai matlamat tersebut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi