Diterbitkan pada 24 Jun 2025, 11:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Malaysia bertuah kerana memiliki pelbagai jenis ekosistem semula jadi yang terbentang dari hutan paya laut, hutan paya gambut, hutan dipterokarpa tanah pamah hingga hutan gunung. Selain itu, ekosistem lain yang tidak kurang uniknya juga wujud seperti hutan batu kapur, kuartza, gelam, nipah dan hutan paya air tawar.

Ekosistem ialah sistem semula jadi yang terbentuk daripada interaksi antara komponen biotik (komponen hidup) seperti tumbuhan, haiwan dan mikroorganisma dengan komponen abiotik (bukan hidup) seperti air, cahaya matahari, tanah dan udara. Hubungan kompleks ini mewujudkan keseimbangan semula jadi yang saling menyokong kelangsungan hidup.

Ekosistem menyediakan habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna serta menyediakan perkhidmatan ekosistem yang penting untuk menyokong kelangsungan hidup manusia. Misalnya, kawasan hutan berfungsi sebagai kawasan tadahan air yang penting untuk menjamin bekalan air bersih, kawasan paya bertindak menyerap air hujan untuk membantu mengawal banjir dan paya bakau pula berfungsi sebagai benteng pantai daripada hakisan ombak.

Keruntuhan Ekosistem

Sesuatu ekosistem dikategorikan sebagai runtuh apabila ekosistem tersebut hilang keupayaan untuk mengekalkan fungsi serta proses ekologinya. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh struktur asal, komponen serta interaksi antara spesies dengan ekosistem terganggu atau hilang secara kekal. Ancaman utama ialah perubahan guna tanah, pencemaran, perubahan iklim dan eksploitasi yang berlebihan.

Antara tanda keruntuhan ekosistem, termasuklah kehilangan spesies utama, gangguan kepada proses semula jadi seperti aliran air dan kitaran nutrien, kemerosotan habitat serta dominasi spesies asing invasif. Apabila tahap kerosakan habitat terlalu kritikal, ekosistem tidak berupaya untuk pulih semula walaupun punca gangguan atau ancaman dihentikan. Sebagai contoh, hutan paya gambut yang dijadikan ladang komersial.

Keruntuhan ekosistem perlu dicegah untuk mengelakkan berlakunya gangguan keseimbangan alam yang akhirnya bukan sahaja memberikan kesan kepada ekologi dan biodiversiti, malah menggugat kelangsungan hidup manusia. Justeru, penilaian untuk mengenal pasti risiko keruntuhan bagi setiap ekosistem negara sangat diperlukan. Hal ini adalah penting untuk mengenal pasti ekosistem yang sedang atau mungkin terancam agar tindakan pemeliharaan dan pemuliharaan dapat diambil untuk melindunginya daripada runtuh.

Senarai Merah Ekosistem

Pada peringkat antarabangsa, International Union for Conservation of Nature (IUCN) telah membangunkan satu rangka kerja untuk menilai risiko keruntuhan ekosistem yang dikenali sebagai Senarai Merah Ekosistem IUCN atau IUCN Red List of Ecosystem dengan menggunakan lima kriteria utama, iaitu pengurangan lingkungan taburan geografi (Kriteria A), lingkungan taburan geografi yang kecil (Kriteria B), kemerosotan persekitaran (Kriteria C), gangguan proses dan interaksi biotik (Kriteria D) dan kebarangkalian berlakunya keruntuhan sesuatu ekosistem (Kriteria E).

Jadual 1 Kriteria dan fungsi Senarai Merah Ekosistem IUCN.

Kriteria Fungsi

A

Menilai pengurangan lingkungan taburan geografi sesuatu ekosistem dalam tempoh tertentu. Pengurangan lingkungan kawasan ekosistem mengurangkan kebolehan ekosistem tersebut untuk menampung komponen biotik asli dan mendedahkan ekosistem kepada risiko keruntuhan sekiranya trend pengurangan berterusan.

B

Menilai ekosistem yang memiliki lingkungan taburan geografi yang kecil dan sedang menghadapi kemerosotan. Sebagai contoh, hutan batu kapur yang wujud di kawasan kecil dan terancam akibat aktiviti kuari.

C

Menilai penurunan fungsi dan proses ekosistem akibat kemerosotan komponen abiotik seperti kandungan air tanah (hidrologi) dan perubahan suhu akibat perubahan iklim. Misalnya, air yang keluar dari kawasan hutan paya gambut secara tidak terkawal menyebabkan kekeringan kawasan yang menjejaskan biodiversiti.

D

Menilai penurunan fungsi dan proses ekosistem akibat gangguan proses atau interaksi biotik dalam tempoh tertentu. Sebagai contoh, pelunturan terumbu karang dan kehilangan spesies karang utama akibat kemerosotan ekosistem terumbu karang.

E

Meramal kebarangkalian keruntuhan ekosistem sekiranya ancaman semasa berterusan dengan menggunakan analisis kuantitatif.

Kesemua kriteria ini memerlukan data ekosistem dalam tiga siri masa, iaitu 50 tahun lalu, sekarang dan 50 tahun akan datang, kecuali kriteria B. Dengan adanya data ekosistem dalam tiga siri masa ini, trend jangka masa panjang ekosistem dapat dianalisis. Selain itu, gambaran yang menyeluruh terhadap perubahan komposisi spesies, keluasan habitat dan fungsi sesuatu ekosistem dapat difahami dengan lebih tepat. Melalui pendekatan ini, tindak balas ekosistem terhadap tekanan dan gangguan seperti perubahan iklim, pembangunan dan bencana alam dapat difahami dengan lebih mendalam bagi meningkatkan ketepatan ramalan masa hadapan risiko keruntuhan ekosistem.

Senarai Merah Ekosistem IUCN mengklasifikasikan ekosistem kepada lapan kategori, iaitu Runtuh (Collapsed), Sangat Terancam (Critically Endangered), Terancam (Endangered), Mudah Terancam (Vulnerable), Hampir Terancam (Near Threatened), Kurang Membimbangkan (Least Concern) dan Kekurangan Data (Data Deficient).

Senarai Merah Ekosistem.

Ekosistem dalam kategori Sangat Terancam, Terancam dan Mudah Terancam dianggap berisiko tinggi untuk runtuh dan memerlukan tindakan pemuliharaan segera. Ekosistem yang dikategorikan sebagai Kurang Membimbangkan pula masih stabil, namun tetap perlu dipantau.

Senarai Merah Ekosistem Malaysia

Dalam kalangan negara ASEAN, Myanmar telah menjalankan penilaian Senarai Merah Ekosistem dan mengenal pasti 64 jenis ekosistem di negaranya. Sebanyak 29 daripada ekosistem tersebut dikategorikan sebagai terancam dan “Central Ayeyarwady Palm Savanna” telah dikategorikan sebagai runtuh.

Kini, Malaysia sedang mengorak langkah untuk menilai risiko keruntuhan bagi ekosistem yang terdapat di negara ini melalui kajian yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam. Kajian ini dijalankan secara sistematik dan berfasa dengan memberikan tumpuan kepada 16 jenis ekosistem dari alam daratan dan peralihan terlebih dahulu. Penilaian akan dibuat berpandukan garis panduan IUCN RLE dan memerlukan data geospatial dan atribut ekosistem yang disediakan secara saintifik, teliti serta mempunyai metodologi dan format yang seragam untuk memastikan hasil penilaian benar-benar mencerminkan keadaan sebenar ekosistem yang dinilai.

Kajian ini turut melibatkan kolaborasi dengan pakar ekosistem tempatan yang berpengalaman luas dalam kajian ekosistem untuk memastikan setiap ekosistem dinilai secara tepat berdasarkan bukti saintifik. Sekiranya berlakunya kekurangan data, pendapat pakar diperlukan berpandukan kemahiran dan pengetahuan mereka untuk membantu dalam proses penilaian.

Kepentingan Senarai Merah Ekosistem

Senarai Merah Ekosistem penting dalam merancang pemuliharaan dan mengenal pasti keutamaan perlindungan. Dengan adanya rangka kerja ini, trend penurunan atau penambahan saiz ekosistem dapat dibuktikan secara saintifk dan difahami. Kawasan ekosistem yang terancam dikenal pasti melalui kajian dan penilaian yang teliti serta dipetakan dengan tepat untuk membantu dalam perancangan pemuliharaan.

Tindakan perlindungan yang komprehensif dan strategi yang berkesan boleh dirangka bagi melindungi ekosistem untuk jangka masa panjang. Usaha yang boleh dilakukan, termasuklah pewartaan kawasan ekosistem terancam sebagai kawasan perlindungan seperti taman negara, hutan simpan, santuari hidupan liar atau kawasan perlindungan marin yang mempunyai sempadan yang jelas dan dilindungi di bawah undang-undang.

Selain itu, penguatkuasaan di bawah peruntukan undang-undang boleh dilaksanakan bagi mencegah sebarang aktiviti yang mengancam ekosistem, misalnya pembukaan kawasan secara haram, pemburuan haram dan pencemaran alam sekitar. Di samping itu, program pemantauan yang berterusan sangat penting bagi menilai keberkesanan langkah pemuliharaan dan mengesan ancaman baharu.

Program pendidikan dan kesedaran seperti kempen alam sekitar dan aktiviti sukarelawan juga perlu diperkasakan. Kerjasama antara agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, komuniti tempatan, akademik dan industri sangat penting untuk perlindungan ekosistem dalam jangka masa panjang. Ekosistem yang masih sihat juga seharusnya dipantau dan dipelihara agar kekal seimbang dan boleh berfungsi secara optimum.

 

Siti Nur Fatinah Khairi, Loh Weng Yi, Hamidah Mamat dan Wendy Yong Sze Yee, Pegawai Penyelidik, Bahagian Biodiversiti Hutan, Cawangan Pemuliharaan dan Biodiversiti Informatik, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi