Diterbitkan pada 20 Jun 2025, 13:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Fenomena penyebaran maklumat palsu di platform media sosial semakin membimbangkan pada masa ini. Isu ini berlaku bukan sahaja pada peringkat global, bahkan Malaysia turut terdedah kepada ancaman maklumat yang tidak sahih.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Malaysia memandang serius akan perkara ini dan telah melaksanakan pelbagai langkah pengawalan, termasuklah penguatkuasaan undang-undang melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Selain itu, inisiatif pendidikan media turut digiatkan melalui kempen kesedaran oleh organisasi seperti sebenarnya.my, iaitu sebuah portal semakan fakta rasmi di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menurut laporan SKMM bagi suku pertama tahun 2025, lebih daripada 40 000 kandungan palsu dan berkaitan dengan penipuan telah dipadam daripada platform dalam talian. Kajian oleh IPSOS pula menunjukkan bahawa 50 peratus rakyat Malaysia pernah menerima maklumat palsu yang pada awalnya disangkakan benar. Situasi ini menjadi lebih serius semasa pandemik COVID-19 apabila penggunaan Internet melonjak secara drastik susulan perintah berkurung yang dikuatkuasakan di seluruh negara.

Perkembangan ini membuktikan bahawa masyarakat kini semakin bergantung pada media sosial bukan sahaja untuk hiburan dan perhubungan, bahkan sebagai sumber utama maklumat harian. Oleh itu, apakah yang mendorong seseorang pengguna untuk berkongsi maklumat di media sosial, tanpa mengira ketulenan kandungan tersebut?

Dalam landskap digital yang serba pantas, amat penting untuk memahami faktor yang mempengaruhi keputusan pengguna untuk berkongsi sesuatu maklumat. Kajian terdahulu menunjukkan bahawa terdapat beberapa ciri kandungan dan elemen persekitaran yang memainkan peranan penting dalam tingkah laku ini. Secara umumnya, faktor tersebut boleh dibahagikan kepada tiga kategori pengaruh utama, iaitu pengaruh kandungan, pengaruh kendiri dan pengaruh persekitaran.

Pengaruh Kandungan

Bermula dengan pengaruh kandungan, aspek pertama yang memainkan peranan penting ialah sumber maklumat yang boleh dipercayai. Maklumat yang disampaikan oleh institusi rasmi seperti agensi berita, pakar atau jabatan kerajaan lazimnya dianggap lebih diyakini berbanding dengan sumber tidak rasmi. Sebagai contoh, maklumat berkaitan dengan tragedi atau pandemik yang disalurkan oleh Kementerian Kesihatan lebih mudah dipercayai dan dikongsi oleh pengguna berbanding dengan khabar angin yang tersebar melalui media sosial seperti WhatsApp.

Selain sumber, kualiti maklumat turut menjadi penentu penting dalam mempengaruhi keputusan untuk berkongsi. Cara maklumat disusun, sama ada lengkap, tersusun, mengandungi fakta sahih dan mudah difahami boleh meningkatkan tahap kepercayaan pengguna. Sebagai contoh, kandungan kesihatan seperti maklumat tentang penyakit diabetes yang disertakan dengan statistik rasmi atau hasil kajian institusi perubatan lebih diyakini dan berpotensi untuk dikongsi berbanding dengan kenyataan tanpa rujukan atau bukti kukuh.

Seterusnya, daya tarikan emosi turut memainkan peranan besar dalam mempengaruhi tingkah laku perkongsian maklumat. Kandungan yang menyentuh perasaan seperti kisah kematian, kemalangan, pembunuhan atau sebaliknya kisah kejayaan dan inspirasi lebih cenderung untuk dikongsi kerana membangkitkan reaksi emosi yang kuat. Sama ada emosi itu bersifat negatif seperti marah dan takut atau positif seperti bahagia dan bangga, kedua-duanya mampu mendorong pengguna untuk menekan butang kongsi.

Sementara itu, kandungan sensasi yang mengambil kesempatan terhadap isu semasa juga tidak kurang pengaruhnya. Kandungan sebegini sering menampilkan tajuk keterlaluan atau “clickbait” untuk menarik perhatian, terutamanya apabila berkait dengan isu yang sedang tular seperti kes buli atau selebriti. Sifatnya yang mengejutkan dan membangkitkan rasa ingin tahu menyebabkan berita seumpama itu mudah tersebar walaupun belum disahkan kesahihannya.

Akhir sekali, rangsangan visual seperti gambar dan video turut memberikan kesan yang signifikan. Elemen visual membantu menjelaskan sesuatu isu dengan lebih cepat dan mudah difahami, sekali gus meningkatkan kecenderungan pengguna untuk berkongsi kandungan tersebut. Sebagai contoh, video insiden yang dirakam secara langsung di lokasi kejadian memberikan bukti visual yang kukuh dan menambah kebolehpercayaan maklumat yang disampaikan.

Pengaruh Kendiri

Seterusnya ialah pengaruh kendiri, iaitu perkaitan peribadi seseorang terhadap sesuatu topik yang mendorong mereka untuk berkongsi. Individu yang mempunyai minat yang mendalam terhadap sukan misalnya, lebih cenderung untuk menyebarkan maklumat berkaitan dengan dunia sukan kerana kandungan tersebut selari dengan nilai, kepercayaan atau pengalaman hidup mereka. Oleh sebab itu, kaitan peribadi memainkan peranan penting dalam mendorong pengguna bertindak melalui proses penilaian kendiri terhadap sesuatu maklumat sebelum mengambil keputusan untuk berkongsi.

Pengaruh Persekitaran

Akhir sekali, pengaruh persekitaran juga memainkan peranan yang penting. Dalam dunia media sosial, sokongan sosial atau tekanan daripada persekitaran seperti jumlah suka, kongsi dan komen boleh mempengaruhi seseorang untuk turut berkongsi kandungan. Sebagai contoh, apabila sesuatu kandungan dikongsi secara meluas oleh pengguna lain, termasuk individu berpengaruh atau pempengaruh, kecenderungan orang lain untuk berkongsi turut meningkat. Keadaan ini berlaku apabila wujudnya norma sosial yang tidak dinyatakan secara langsung tetapi tetap mempengaruhi tindakan pengguna.

Selain itu, strategi platform seperti algoritma yang digunakan oleh Facebook, TikTok atau X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) turut memainkan peranan besar. Jika seseorang itu kerap menyukai atau menonton kandungan berkaitan dengan masakan misalnya, algoritma akan menyarankan lebih banyak kandungan yang serupa. Kandungan yang disarankan ini kerap muncul, sekali gus mempengaruhi pengguna untuk berkongsi secara spontan kerana perkara itu mudah diakses dan kelihatan relevan.

Secara keseluruhannya, kesedaran tentang pengaruh ini bukan sekadar untuk makluman, sebaliknya berperanan sebagai panduan bertindak. Dalam dunia digital yang dipenuhi maklumat bercampur baur, pengguna perlu memainkan peranan aktif sebagai penapis maklumat. Langkah kecil seperti memeriksa sumber dan berfikir sejenak sebelum berkongsi boleh membawa kesan yang besar dalam membina komuniti yang lebih bertanggungjawab.

Seiring dengan itu, memahami  maklumat yang mempengaruhi tingkah laku pengguna media sosial menjadi asas penting dalam membentuk masyarakat yang bijak dan beretika. Pengetahuan ini membolehkan pengguna menilai kesahihan sesuatu maklumat sebelum membuat keputusan untuk berkongsi, sekali gus menyumbang kepada budaya perkongsian yang lebih teliti dan berasaskan fakta.

Kegagalan untuk menilai kesahihan maklumat boleh membawa implikasi yang jauh lebih serius. Penyebaran maklumat palsu bukan sekadar mengganggu keharmonian masyarakat, bahkan berpotensi besar menjejaskan keselamatan awam, kestabilan negara dan kepercayaan rakyat terhadap institusi penting negara.

Oleh itu, tanggungjawab untuk mengekang penyebaran maklumat palsu tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya pada pihak berkuasa. Setiap anggota masyarakat yang celik maklumat perlu memainkan peranan aktif dalam memutuskan rantaian penyebaran kandungan yang tidak sahih. Setiap maklumat yang ingin dikongsi perlu diteliti agar tepat, sahih dan disebarkan secara bertanggungjawab.

Akhir sekali, setelah mengetahui ciri maklumat yang mempengaruhi keputusan untuk berkongsi kandungan di media sosial, tibalah masanya untuk bertindak dengan lebih berhemah. Maka itu, sebelum menekan butang kongsi, fikirkan dahulu impaknya. Pilihan di tangan anda. Jadilah pengguna media sosial yang beretika, berwibawa dan celik maklumat. Sikap berhati-hati anda mungkin menjadi benteng pertama dalam mengekang gelombang penyebaran maklumat palsu dalam masyarakat.

Anis Juanita Mohd Zainudin dan Profesor Madya Dr. Nazlena Mohamad Ali,
Institut Informatik Visual,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi