Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Sejajar dengan matlamat antarabangsa dalam memperkukuh kapasiti institusi pendidikan tinggi, khususnya dalam bidang sains kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima kunjungan hormat daripada delegasi Politeknik Brunei dalam satu lawatan rasmi, semalam.
Lawatan yang mencerminkan komitmen bersama ke arah pembangunan pendidikan dan penyelidikan merentas sempadan yang mampan itu disertai oleh 21 orang yang terdiri daripada empat orang pensyarah, seorang wakil dari Kementerian Kesihatan Brunei Darussalam dan 16 orang pelajar Diploma in Health Sciences (Public Health).
Delegasi tersebut disambut mesra oleh barisan pengurusan dan staf FSK yang diketuai oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Mohd ‘Izzudin Hairol selaku Timbalan Dekan (Siswazah) FSK, UKM bersama-sama Penyelaras Perhubungan Antarabangsa FSK, UKM, YBrs. Dr. Afifah Mohamed dan Ketua Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri (KPKI), YBrs. Profesor Madya Dr. Nurul Farahana Kamaludin.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dekan FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar yang merakamkan penghargaan atas kesudian delegasi dari Politeknik Brunei memilih FSK, UKM sebagai destinasi lawatan akademik.
Ujarnya,
Kami amat mengalu-alukan kehadiran delegasi dari Politeknik Brunei dan menyambut baik hasrat untuk menjalin kerjasama dengan pihak UKM kerana usaha memperluas jaringan kerjasama serantau, khususnya dalam bidang kesihatan persekitaran serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah penting dan semakin mendapat perhatian pada peringkat global.

Seterusnya, taklimat pengenalan mengenai FSK, UKM disampaikan oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Mohd ‘Izzudin Hairol yang memperincikan sejarah penubuhan fakulti, pencapaian semasa serta penawaran program akademik yang meliputi program prasiswazah dan pascasiswazah, selain turut berkongsi kejayaan FSK dalam bidang penyelidikan, penerbitan dan pelibatan industri serta komuniti.

Dalam sesi lawatan itu juga, YBrs. Profesor Madya Dr. Nurul Farahana Kamaludin berkesempatan memperkenalkan program Sarjana Muda Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan dengan Kepujian yang menekankan pendekatan multidisiplin dalam pendidikan kesihatan persekitaran dan pekerjaan serta pelibatan aktif para pelajar dalam latihan industri dan kerja lapangan, sekali gus memberikan peluang kepada pelajar dari Politeknik Brunei untuk memahami dengan lebih lanjut tentang aktiviti dan jaringan pendidikan dan latihan yang terdapat dalam program ini.

Pada masa yang sama, delegasi dari Politeknik Brunei turut diberikan peluang untuk memperkenalkan institusi mereka melalui pembentangan yang disampaikan oleh Ketua Delegasi politeknik berkenaan, iaitu Puan Hajah Armah Tengah.
Sesi lawatan berkenaan diteruskan dengan perbincangan dua hala yang menyentuh pelbagai aspek kolaborasi masa hadapan, misalnya penempatan industri bagi pelajar Politeknik Brunei di agensi atau kemudahan yang berkaitan di Malaysia melalui jaringan industri program KPKI; program pertukaran pelajar dan staf; penyertaan bersama dalam FSK Summer Program serta pelibatan dalam persidangan dan aktiviti akademik anjuran kedua-dua institusi tersebut.
Selain memperkukuh pelibatan bersama dalam pengajaran dan penyelidikan yang memberikan manfaat kepada pembangunan ilmu dan amalan dalam bidang kesihatan persekitaran dan pekerjaan, delegasi dari Politeknik Brunei turut dibawa melawat kemudahan yang terdapat di UKM Kampus Kuala Lumpur, termasuklah makmal pengajaran dan penyelidikan.


Sebagai langkah susulan, satu memorandum persefahaman dijangka akan dimeterai dalam masa terdekat bagi merasmikan kerjasama yang lebih strategik dan berstruktur antara FSK, UKM dengan Politeknik Brunei.