Diterbitkan pada 18 Jun 2025, 17:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Chiang Mai University telah memperkukuh kerjasama akademik serantau dalam bidang fisioterapi serta memperluas pendedahan pelajar terhadap amalan klinikal dan persekitaran pembelajaran di Malaysia.

Melalui Program Mobility Inbound yang berlangsung selama seminggu, para pelajar tahun tiga dari Chiang Mai University berpeluang mengikuti lawatan ke Klinik Terapi Cara Kerja, Program Terapi Cara Kerja UKM serta menghadiri sesi perkongsian yang diadakan di kampus utama UKM, Bangi.

Dalam tempoh lawatan itu juga, para pelajar turut berpeluang menimba pengalaman secara langsung melalui lawatan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Hospital Pakar Kanak-kanak UKM yang menjadi pusat pengajaran dan latihan klinikal utama bagi pelajar Perubatan dan Sains Kesihatan, UKM.

Pelajar dari Chiang Mai University bergambar bersama-sama Koordinator Program, YBrs. Dr. Azzuan dan kakitangan UKM yang terlibat sepanjang tempoh Program Mobility Inbound.

Dalam usaha menggalakkan pembelajaran berasaskan komuniti, para peserta turut dibawa melawat ke Pusat Pemulihan dalam Komuniti Titiwangsa, sekali gus memberikan gambaran praktikal mengenai pendekatan pemulihan bersepadu untuk golongan berkeperluan khas.

Koordinator program tersebut, YBrs. Dr. Azzuan Ahmad berkata, inisiatif mobility inbound ini adalah sebahagian daripada agenda antarabangsa UKM bagi memupuk perkongsian ilmu, memperkukuh rangkaian kerjasama akademik dan melonjakkan kecemerlangan pendidikan tinggi di rantau Asia Tenggara.

Menurut beliau, program seumpama ini secara tidak langsung dapat membina daya saing graduan fisioterapi pada peringkat global melalui pertukaran pengetahuan, perkongsian budaya serta pengayaan kemahiran insaniah yang berorientasikan amalan interdisiplin.

Lawatan ke Pusat Pemulihan dalam Komuniti Titiwangsa.

Program ini turut mendapat sambutan yang positif daripada pelajar Chiang Mai University yang menzahirkan penghargaan atas layanan mesra, bimbingan klinikal dan pengalaman berharga sepanjang berada di Malaysia.

Penganjuran Program Mobility Inbound Fisioterapi Chiang Mai University–UKM 2025 ini diharapkan menjadi pemangkin kepada kolaborasi yang lebih erat antara kedua-dua institusi dan seterusnya menyokong aspirasi pendidikan tinggi Malaysia sebagai hab ilmu dan latihan kesihatan bertaraf antarabangsa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi