Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Tiga orang saintis muda negara terpilih untuk menghadiri Mesyuarat Nobel Laureate Lindau ke-74 yang berprestij di Jerman.
Menurut Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan, mereka yang terpilih ialah calon Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Gunaan melalui Penyelidikan (Kimia Gunaan) dari Universiti Teknologi PETRONAS, Puan Nur Diyan Mohd Ridzuan (30 tahun), Pensyarah Kanan di Bahagian Teknologi Bioproses, Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia, YBrs. Ts. Dr. Ana Masara Ahmad Mokhtar (34 tahun) dan Pensyarah di Jabatan Kimia Farmaseutikal, Universiti Perubatan Antarabangsa, YBrs. Dr. Mak Kit Kay (33 tahun).
Ujar MOSTI,
Mesyuarat tersebut akan menghimpunkan pemenang Anugerah Nobel bersama-sama saintis generasi baharu dan dijadualkan berlangsung bermula pada 29 Jun 2025 hingga 4 Julai 2025.
MOSTI juga berkata, mesyuarat pada tahun ini akan memfokuskan bidang kimia dan dijangka bakal menghimpunkan sekitar 35 orang penerima Hadiah Nobel serta lebih 600 orang saintis muda dari 84 buah negara.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Tuan Chang Lih Kang dalam kenyataan yang sama menyifatkan bahawa penyertaan ini sebagai satu peluang transformatif untuk para saintis muda di Malaysia.
Katanya,
Penyertaan tiga orang saintis muda ke Mesyuarat Nobel Laureate Lindau merupakan bukti keupayaan bakat tempatan bersaing di pentas antarabangsa, selaras dengan komitmen MOSTI dalam membina generasi saintis masa hadapan melalui pelaburan jangka masa panjang dalam pembangunan bakat sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.
Tambah beliau, interaksi dengan pemikir dan penerima Hadiah Nobel akan memperluas horizon para penyelidik muda negara, sekali gus memberikan inspirasi kepada lebih banyak belia untuk menyertai bidang sains, teknologi dan inovasi.
Sementara itu, Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), YBhg. Academician Datuk Dr. Tengku Mohd Azzman Shariffadeen FASc dalam kenyataan yang sama berkata, usaha berterusan menghantar saintis muda Malaysia ke Mesyuarat Nobel Laureate Lindau pada setiap tahun adalah antara bukti komitmen ASM dalam melahirkan bakat saintifik bertaraf dunia.
Menurut beliau, saintis muda di negara ini berpeluang memperkenalkan penyelidikan dan kepakaran mereka dalam mesyuarat tersebut yang berkemungkinan dapat membuka peluang kerjasama bersama-sama saintis di kemudahan bertaraf dunia.
Beliau juga menyatakan bahawa kebanyakan saintis ternama dunia pernah menghadiri Mesyuarat Nobel Laureate Lindau pada peringkat awal kerjaya mereka, termasuklah Jaringan Pakar ASM.
Mesyuarat Nobel Laureate Lindau yang diasaskan pada tahun 1951 menggalakkan dialog antara generasi, disiplin sains dengan budaya selama lebih 70 tahun yang memberikan fokus kepada sesuatu disiplin secara bergilir dan berperanan sebagai platform bagi saintis muda yang berpotensi untuk berinteraksi dengan penerima Hadiah Nobel melalui aktiviti syarahan, perbincangan panel dan sesi santai.
Tambah MOSTI, program yang berdurasi selama seminggu itu memberikan peluang kepada para peserta yang terlibat berinteraksi dengan penerima Hadiah Nobel dalam pelbagai persekitaran rasmi dan tidak rasmi.
Format yang ditetapkan dalam program berkenaan, termasuklah membabitkan syarahan oleh penerima Anugerah Nobel yang membentangkan hasil penyelidikan perintis mereka, selain perbincangan Agora untuk dialog interaktif serta perbincangan panel yang menyentuh isu global yang mendesak.
Pada masa yang sama, program tersebut turut menyediakan pelbagai peluang kepada para peserta untuk menjalin rangkaian, membolehkan saintis muda berkongsikan penyelidikan dan membina hubungan kolaboratif bersama-sama rakan serta mentor dari seluruh dunia.
Sejak tahun 2004, ASM sebagai badan pencalon rasmi telah mengenal pasti dan mencalonkan saintis yang berpotensi untuk dinilai oleh Panel Semakan Saintifik Mesyuarat Nobel Laureate Lindau.
Hingga hari ini, sebanyak 89 orang saintis di Malaysia telah menyertai Mesyuarat Nobel Laureate Lindau.