Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSemporna – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Klinik Optometri Bergerak (KOB) telah menjalankan program saringan dan intervensi kesihatan mata kepada komuniti luar bandar di Semporna, baru-baru ini.
Program tersebut dilaksanakan di bawah inisiatif KOB-myMata melalui kolaborasi antara Fakulti Sains Kesihatan dengan Kumpulan Penyelidikan Universiti (KPU) INTEGRA, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, UKM.
Pelaksanaan program berlangsung di tiga lokasi utama, iaitu Rumah Ngaji Anak-anak Asnaf Semporna, Rumah Ngaji Kulapuan di Pulau Kulapuan dan komuniti setempat di Pulau Selakan.

Delegasi program diketuai oleh Profesor Madya Dr. Haliza Abdul Mutalib dan disertai lapan petugas kesihatan dan dua orang sukarelawan.
Aktiviti utama merangkumi saringan penglihatan oleh kumpulan optometris KOB dan pengesanan penyakit mata oleh pasukan KPU INTEGRA dengan menggunakan sistem berteknologi tinggi myMata©.
Sebagai sokongan tambahan, peserta turut menerima cermin mata percuma untuk penglihatan jauh, bacaan serta cermin mata gelap berpenapis sinar ultraungu.
Selain pemeriksaan, sesi perundingan kesihatan mata turut diberikan bagi meningkatkan kefahaman peserta mengenai penjagaan penglihatan harian.
“Lebih 200 peserta menerima manfaat secara langsung melalui pemeriksaan mata dan rundingan kesihatan, selain dibekalkan ubat titis serta panduan penjagaan asas seperti teknik membersih kelopak dan bulu mata,” ujar Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Mutalib.
Satu sesi pemindahan ilmu telah dilaksanakan bersama guru-guru Rumah Ngaji melalui latihan saringan mata kendiri untuk melanjutkan amalan kesihatan penglihatan dalam komuniti.
Program ini turut memanfaatkan sistem myMata© yang dibangunkan di bawah geran penyelidikan ASEAN IVO 2023 oleh kumpulan INTEGRA UKM.
Selain itu, teknologi SEC yang dibangunkan oleh OUI Inc. dari Jepun digunakan dalam mengenal pasti peserta yang mengalami simptom mata kering.
Hasil pemeriksaan menunjukkan majoriti peserta berusia 50 tahun ke atas mengalami masalah seperti pterigium pada kedua-dua mata, katarak dan penyakit mata kering.

Keadaan ini dipercayai berpunca daripada pendedahan berpanjangan terhadap cahaya matahari yang tinggi di kawasan kepulauan Semporna.
Pelaksanaan program turut menerima sokongan padu daripada Konan University (Jepun), Focus Point Holdings Berhad dan Dana Inovasi UKM.
Inisiatif ini dilihat mampu memberikan kesan jangka panjang terhadap penjagaan kesihatan mata dalam kalangan masyarakat yang tinggal di pedalaman.