Diterbitkan pada 12 Jun 2025, 10:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebagai langkah untuk memberikan aspirasi kepada lebih banyak saintis wanita di Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi meneroka peluang dalam bidang sains dan inovasi, UKM melalui Pejabat Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, FSK telah menganjurkan sesi perkongsian khas, L’Oréal-UNESCO for Women in Science 2025 yang berlangsung secara hibrid di FSK, UKM dan secara maya melalui aplikasi Zoom.

Sekitar berlangsungnya sesi perkongsian hasil penyelidikan dan pengalaman ahli panel dalam program L’Oréal-UNESCO for Women in Science 2025 di FSK, UKM.

Menurut Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Satirah Zainalabidin selaku moderator sesi perkongsian dalam program tersebut, penyelidik wanita di FSK, UKM digalakkan agar lebih proaktif dalam mendapatkan pengiktirafan bukan sahaja di dalam negara, malah pada peringkat antarabangsa.

Untuk sesi perkongsian berkenaan, Pejabat Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, FSK telah mengundang dua orang pemenang Anugerah L’Oréal-UNESCO for Women in Science terdahulu, iaitu YBrs. Profesor Madya Dr. Elena Aisha Azizan dari Jabatan Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, UKM dan YBrs. Ts. Dr. Wong Sok Kuan dari Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan, UKM bagi berkongsikan tentang penyelidikan masing-masing, pengalaman, momen kemenangan dan impak pengiktirafan terhadap kerjaya serta kehidupan mereka.

YBrs. Profesor Madya Dr. Elena Aisha Azizan yang memenangi anugerah tersebut pada tahun 2023 dengan kertas cadangan penyelidikannya yang mengkaji kesan perencatan enzim aldosteron sintase terhadap sel adrenal telah membuka peluang untuk mendalami impak rawatan hipertensi terbaharu, iaitu melalui perencatan enzim tersebut yang kini sedang dalam fasa percubaan klinikal.

Pada masa yang sama, beliau turut mengkaji kesan sel adrenal dari segi mekanisme penghijrahan sel, kitar semula sel dan kematian sel bagi menangani masalah hipertensi.

Katanya,

Para penyelidik wanita hendaklah terus bersemangat dan memberikan inspirasi kepada generasi saintis pada masa akan datang.

Sementara itu, YBrs. Ts. Dr. Wong Sok Kuan memenangi anugerah tersebut pada tahun 2024 menerusi penyelidikannya mengenai Glycogen Synthase Kinase-3 Beta (GSK3) sebagai suis induk yang mengawal keradangan, menghubungkan kawalan glukosa darah dan metabolisme tulang untuk diagnosis awal dan rawatan yang lebih berkesan.

Penyelidikan berkaitan dengan masalah kehilangan tulang dan faktor lain yang dikaitkan dengan rintangan insulin tersebut memberikan impak yang besar terhadap populasi warga tua di Malaysia.

Ujarnya,

Setiap peluang harus dimanfaatkan dan saintis wanita seharusnya kekal positif dan sentiasa meningkatkan diri dalam kerjaya masing-masing.

L’Oréal-UNESCO for Women in Science merupakan program yang memberikan penghormatan kepada para penyelidik wanita dari seluruh dunia yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang sains.

Sejak pelancaran program berkenaan pada tahun 1998, sebanyak 122 orang penerima anugerah dan lebih daripada 3900 orang saintis, termasuklah pelajar pascasiswazah Doktor Falsafah serta penyelidik pascadoktoral telah menerima sokongan dan pengiktirafan merentasi lebih 110 buah negara di lima benua.

Pada peringkat global, penyertaan wanita dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik masih kurang mendapat pengiktirafan, seiring dengan kajian yang dijalankan oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) yang menunjukkan bahawa hanya tiga peratus daripada Hadiah Peringatan Nobel dalam bidang sains telah dianugerahkan kepada wanita hingga hari ini.

Malaysia telah mencapai kemajuan dalam mendekati jurang antara jantina dalam bidang sains, selaras dengan transformasi negara ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan.

Walaupun bilangan pelajar perempuan di sekolah yang memilih subjek sains semakin meningkat, namun masih terdapat cabaran yang besar untuk mengatasi jurang antara jantina dalam kerjaya saintifik.

Sehubungan dengan itu, pihak L’Oréal dan UNESCO terus komited dalam usaha memperkasakan penyertaan wanita dalam bidang sains dan memastikan mereka mendapat pengiktirafan yang sewajarnya.

Bermula pada tahun 2006, anugerah L’Oréal-UNESCO for Women in Science telah diperkenalkan bagi mengiktiraf dan menggalakkan sumbangan ahli saintis wanita di Malaysia.

Setiap penyertaan dinilai berdasarkan kriteria yang menyeluruh, termasuklah kepentingan projek dari segi nilai dan sumbangan, keaslian serta matlamatnya, impak terhadap bidang sains, pendekatan metodologi, pencapaian akademik dan keseluruhan kualiti projek.

Pada setiap tahun, tiga orang pemenang bakal menerima geran sebanyak RM30,000.00 setiap seorang bagi meneruskan kajian yang dijalankan.

Permohonan L’Oréal-UNESCO for Women in Science 2025 kini dibuka dan bakal ditutup pada 30 Jun 2025.

Saintis wanita tempatan yang berusia 40 tahun dan ke bawah diseru mengemukakan projek berinovasi yang tinggi bagi merebut peluang memperoleh anugerah berkenaan.

Turut hadir ialah pegawai dari Pejabat Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, FSK, UKM, Puan Rogayah Abu Hassan @ Mohamed; pegawai penyelidik dari FSK, UKM, Encik Mohammad Shafiq Rahmat dan Encik Mohd Zul Amin Kamaruddin serta tetamu undangan lain.

Sesi penyampaian cenderamata kepada YBrs. Profesor Madya Dr. Elena Aisha Azizan (kanan).
YBrs. Ts. Dr. Wong Sok Kuan (kanan) menerima cenderamata daripada pihak penganjur.
Antara peserta yang turut menyertai program L’Oréal-UNESCO for Women in Science 2025 secara maya.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi