Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAmpang – Program Intai Komuniti Sihat (IKS) 7.0 yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kosas berjaya meningkatkan kesedaran pelajar tentang kepentingan penjagaan alam sekitar, kesihatan dan keselamatan pekerjaan melalui pendekatan pendidikan secara interaktif dan menyeronokkan.
Inisiatif ini merupakan anjuran Kelab Kesihatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang melibatkan penyertaan lebih 120 pelajar tingkatan 4 dalam pelbagai aktiviti berbentuk pemindahan ilmu daripada universiti kepada komuniti.
Bertemakan “Kelestarian Alam, Kemampanan Hidup”, program ini digerakkan oleh mahasiswa dan mahasiswi Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri, UKM sebagai usaha mendekatkan bidang pengajian mereka dengan masyarakat setempat secara praktikal.

Antara pengisian utama yang dilaksanakan termasuklah ceramah pendidikan kesihatan, pameran keselamatan pekerjaan, ujian fungsi paru-paru dan aktiviti pembuatan mudball, iaitu bola lumpur yang mengandungi mikroorganisma baik bagi tujuan rawatan semula jadi terhadap alam sekitar.
Menurut wakil pensyarah yang hadir, program seperti ini bertepatan dengan aspirasi negara untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berpengetahuan tetapi turut mempunyai kesedaran sosial dan tanggungjawab terhadap kesejahteraan persekitaran mereka.
Beliau menyatakan bahawa pendekatan turun padang dan penyertaan pelajar sekolah secara langsung dalam aktiviti sebegini dapat menyemai nilai-nilai murni seperti kepedulian sosial, semangat sukarelawan dan keprihatinan terhadap isu alam sekitar.
Satu daripada slot yang mencuri perhatian pelajar ialah ceramah bertajuk “OSH in School” yang disampaikan oleh mahasiswa UKM dan menekankan kepentingan pengenalpastian serta pengawalan hazard dalam persekitaran sekolah.


Ceramah ini memberikan pendedahan tentang pelbagai jenis hazard seperti fizikal, kimia, biologi, ergonomik dan psikososial yang boleh berlaku di sekolah dan langkah pencegahan yang boleh diambil oleh pelajar untuk memastikan keselamatan diri dan rakan.
Penceramah turut menegaskan bahawa pelajar perlu sentiasa peka terhadap potensi bahaya di persekitaran sekolah kerana kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa diduga.
Ketua Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri, Profesor Madya Dr. Nurul Farahana Kamaludin menjelaskan bahawa tema yang dipilih amat relevan dengan keperluan semasa dalam menyemai gaya hidup lestari yang berasaskan kesedaran ekologi dan kesejahteraan pekerjaan.
Menurut beliau, aspek kesihatan pekerjaan juga tidak boleh diabaikan kerana hal tersebut memainkan peranan penting dalam memastikan seseorang individu dapat bekerja secara produktif, sihat dan bebas daripada tekanan yang boleh menjejaskan prestasi serta kesihatan diri.
Penolong Kanan Kokurikulum SMK Taman Kosas, Puan Rosleena Ahmad merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas inisiatif murni ini yang telah membuka minda pelajar tentang peranan penting mereka dalam memelihara kelestarian alam sekitar.

Beliau turut berharap agar segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh oleh pelajar sepanjang program ini dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian sebagai panduan kepada pembentukan gaya hidup sihat dan bertanggungjawab.
Pelajar tingkatan 4, Sumayyah Saberi meluahkan rasa gembira kerana berpeluang mempelajari pelbagai maklumat baharu mengenai kesan buruk rokok terhadap paru-paru dan cara untuk menjaga alam sekitar dengan lebih baik.
Menurutnya, aktiviti pembuatan mudball merupakan pengalaman yang menarik kerana membuktikan bahawa tindakan kecil yang dilakukan bersama mampu memberikan impak besar kepada alam sekitar.

Program ini turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak seperti Yayasan Taqwa, Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd., Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan PMFSK serta Fakulti Sains Kesihatan UKM.