Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – AKRAB Nuklear Malaysia menganjurkan kursus dua hari yang memberikan tumpuan kepada sokongan psikologi kendiri bagi meningkatkan keseimbangan emosi dalam kalangan warga kerja.
Langkah ini diambil susulan dapatan ujian Depression, Anxiety, Stress Scale (DASS) pada tahun 2023 yang menunjukkan sebanyak 32 kakitangan berumur 31 tahun hingga 40 tahun merekodkan skor kebimbangan yang rendah.
Meskipun bilangan itu kecil, hasil saringan dianggap sebagai isyarat awal kepada keperluan intervensi yang berfokuskan kesedaran kendiri dan pengurusan tekanan dengan lebih berkesan.
Kursus Pemerkasaan Jati Diri telah berlangsung di Dewan Tun Dr. Ismail, Agensi Nuklear Malaysia dan melibatkan penyertaan sebanyak 50 peserta daripada pelbagai bahagian dan latar belakang perkhidmatan.
Modul kursus disusun bagi membina sahsiah yang mantap, memperluas kefahaman tentang kemahiran insaniah dan menyokong kesejahteraan emosi dalam konteks kerja harian.
Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan dalam ucapan perasmiannya menyifatkan program ini sebagai usaha yang memberikan penekanan kepada pengukuhan nilai peribadi, pembangunan kekuatan dalaman dan penghayatan unsur kerohanian dalam diri warga kerja.

Beliau menegaskan bahawa kesejahteraan psikologi penjawat awam tidak hanya bergantung pada kebolehan teknikal semata-mata, sebaliknya perlu dipandu oleh kesedaran diri yang mendalam serta kejelasan dalam tujuan dan peranan.
“Kita mahu membentuk warga kerja yang seimbang, bukan sahaja cekap dalam bidang tugas, malah stabil dari segi emosi dan mempunyai daya tahan untuk menghadapi tekanan kerja dengan berhemah,” ujar beliau.
Dalam program ini, sesi personaliti warna yang dijalankan dengan menggunakan instrumen kaji selidik oleh Profesor Mohd Sidek Mohd. Noah dari Universiti Putra Malaysia membolehkan peserta mengenal corak komunikasi, kecenderungan emosi dan potensi kendiri.
Sesi tersebut dikendalikan oleh Puan Manisah Saedon selaku Setiausaha AKRAB Nuklear Malaysia yang mengajak peserta meneliti warna dominan sebagai cerminan gaya diri masing-masing.
Pendekatan ini membantu peserta menilai keseimbangan dalam aspek kognitif, emosi dan sosial bagi tujuan peningkatan kefahaman kendiri dalam persekitaran kerja yang mencabar.
Modul “Mindset vs Heartset” pula disampaikan oleh Encik Khaeril Anuar Darus yang berpengalaman dalam bidang terapi dengan menggunakan pendekatan hipnoterapi, pemprograman neurolinguistik (NLP) dan creative trauma cleansing (CTC).
CTC diperkenalkan sebagai kaedah rawatan psikologi yang berupaya menangani kesan tekanan emosi melalui teknik mengenal pasti dan melepaskan beban mental secara terkawal dan selamat.

Pendekatan ini turut membuka ruang kepada peserta untuk membina semula keyakinan dan merawat emosi yang terpendam dalam diri secara berperingkat.

Sementara itu, Dr. Rida anak Tajau dari Bahagian Teknologi Sinaran menyatakan bahawa sesi personaliti warna memberikan kefahaman baharu terhadap corak emosi dan komunikasi yang selama ini tidak disedari.
Encik Faizal Azrin Razalim dari Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Sinaran pula menyambut baik penyampaian kursus yang disifatkan berkesan, segar dan mampu mendorong refleksi kendiri.
Program ini turut dihadiri oleh Pengarah Kanan Program Pengurusan, YBrs. Dr. Shukri Mohd, yang juga berperanan sebagai penyelaras AKRAB Nuklear Malaysia dan Pengerusi AKRAB, YBrs. Ts. Dr. Husaini Salleh.