Diterbitkan pada 5 Jun 2025, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Puncak Alam – Model ikan zebrafish membuka lembaran baharu dalam penyelidikan translasi penyakit dan tingkah laku di Universiti Teknologi MARA (UiTM) apabila Pusat Penyelidikan Optometri dan Sains Visual (iROViS) menganjurkan bengkel berimpak tinggi kepada penyelidik dan pelajar pascasiswazah.

Penganjuran Bengkel Zebrafish oleh iROViS, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UiTM Cawangan Selangor baru-baru ini merupakan inisiatif untuk memperkukuh kapasiti penyelidik dan pelajar pascasiswazah dalam penerokaan kaedah penyelidikan dengan menggunakan model haiwan akuatik tersebut.

Bengkel ini telah dilaksanakan secara bersemuka di Postgraduate Lounge FSK1.5 dan Makmal Penyelidikan RIG dengan kerjasama Jabatan Sains Asas (JSA), pihak Pengurusan Makmal FSK serta Danio Assay Laboratory Sdn. Bhd.

Bengkel yang dihadiri oleh 25 orang peserta terdiri daripada penyelidik FSK, kakitangan makmal dan pelajar pascasiswazah yang mempunyai komitmen serta minat yang tinggi terhadap pemantapan kemahiran penyelidikan berasaskan zebrafish.

Bengkel ini dirangka bagi membolehkan peserta memahami teknik pemeliharaan ikan zebrafish secara sistematik dalam persekitaran makmal, termasuklah pengurusan parameter air, penjagaan embrio serta pelaksanaan ujian toksikologi secara beretika.

Peserta bengkel menjalani sesi praktikal pengendalian zebrafish di makmal.

Pendedahan turut diberikan berkaitan dengan kerangka perundangan dan garis panduan etika penggunaan haiwan dalam penyelidikan, selari dengan keperluan pematuhan terhadap akta perlindungan sedia ada yang perlu difahami oleh penyelidik.

Peserta mempelajari kaedah menetapkan set pengawanan ikan untuk mendapatkan embrio.

Bagi menjamin keberkesanan pengendalian bengkel, sesi latihan dan pembelajaran telah disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Syahida Ahmad dari Universiti Putra Malaysia yang berpengalaman luas dalam kajian zebrafish dengan sokongan fasilitator teknikal dari Danio Assay Laboratory Sdn. Bhd.

Peserta bengkel turut mengikuti sesi ceramah yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Syahida Ahmad yang merangkumi prinsip penyelidikan translasi dan aplikasi model zebrafish dalam kajian saintifik.

Menurut Ketua Pusat Penyelidikan iROViS, Dr. Saiful Azlan Rosli, pelaksanaan bengkel ini seiring dengan trend global dalam penyelidikan penyakit, terutamanya melibatkan gangguan visual dan fisiologi yang kini banyak dijalankan menggunakan model zebrafish.

Beliau menambah bahawa model ikan ini amat signifikan dalam merungkai persoalan saintifik berkaitan dengan fungsi visual, sistem pembiakan, perkembangan saraf dan perubahan genetik yang menjadi tumpuan dalam pelbagai projek penyelidikan di iROViS.

Satu daripada projek yang sedang dijalankan adalah untuk menyelidik kesan cahaya digital daripada gajet terhadap penglihatan dan tingkah laku kanak-kanak, termasuklah perubahan seperti hiperaktif dan tantrum dengan menggunakan pendekatan translasi berasaskan zebrafish.

iROViS turut menumpukan penyelidikan terhadap bahan kimia seperti bisfenol, kafein dan dioxin yang terdapat dalam pembungkusan makanan dan minuman dengan menganalisis kesannya terhadap kesihatan melalui pendekatan Physiological-Based Toxicology and Kinetics (PBTK) serta pemodelan biofizik dengan menggunakan perisian MATLAB.

Sambungan bengkel pada hari kedua menyaksikan peserta mengikuti sesi praktikal intensif melibatkan sepuluh modul teknikal sebagai syarat kelayakan untuk mendapatkan pensijilan kelulusan kursus.

Modul tersebut merangkumi latihan khusus seperti teknik pemijahan, penyediaan akuarium dan persekitaran asas pembiakan, penyelarasan suhu dan pencahayaan, manipulasi embrio, analisis tumbesaran dan pigmentasi, pengecaman skoliosis serta penilaian kadar denyutan jantung.

Keberhasilan program turut menyerlahkan peranan penting kerjasama dengan industri seperti Danio Assay Laboratory Sdn. Bhd. dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan universiti ke arah pembangunan lestari yang berimpak tinggi.

Pada masa yang sama, inisiatif ini secara tidak langsung berfungsi sebagai platform untuk meningkatkan visibiliti iROViS dalam kalangan masyarakat dan mempromosikan bidang sains serta penggunaan model haiwan dalam penyelidikan yang beretika.

Program ini diakhiri dengan sesi penyerahan sijil oleh Profesor Madya Dr. Syahida Ahmad bersama-sama wakil daripada Danio Assay Laboratory Sdn. Bhd. kepada peserta yang berjaya menamatkan kursus.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi