Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBesut – Nilai tambah Program Citra Negara MADANI (CNM) 2025 terserlah melalui pengisian elemen psikologi organisasi yang memperkenalkan kefahaman tentang tingkah laku kerja kontraproduktif dan tingkah laku kewarganegaraan organisasi kepada peserta.
Slot yang dikendalikan oleh Pegawai Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tuan Haji Mohd Syubailli Mohsin ini membuka dimensi baharu kepada penjawat awam dalam memahami corak tingkah laku individu yang memberikan kesan terhadap persekitaran kerja, termasuklah dalam aspek kepimpinan, komunikasi dan budaya organisasi.
Pendekatan ini juga memberikan penekanan kepada pembangunan keupayaan kepimpinan berasaskan empati, kolaborasi dan integriti yang amat penting dalam menangani cabaran persekitaran kerja semasa yang semakin kompleks dan pelbagai.
Pengisian nilai psikologi ini melengkapi matlamat utama CNM untuk membentuk penjawat awam yang memahami nilai teras Malaysia MADANI seperti kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan secara bersepadu.
Program yang berlangsung di Pusat Latihan Kenegaraan Besut, Terengganu ini dianjurkan oleh JPA bersama-sama Majlis AKRAB Kebangsaan dan disokong oleh Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM).
Pelaksanaan CNM melibatkan penjawat awam daripada pelbagai kementerian dan agensi, sekali gus menampilkan kepelbagaian latar belakang peserta yang menjadi asas kepada wacana kenegaraan yang inklusif dan progresif.
Ahli AKRAB yang hadir bukan sahaja menerima pengisian nilai dan ilmu kenegaraan, malah dipertanggungjawabkan sebagai ejen penggerak perubahan untuk menyebarluaskan pengaruh program ini dalam kalangan warga kerja melalui pendekatan kesan berangkai (snowball effect).
Antara modul utama yang dilaksanakan sepanjang program termasuklah Demi Negara, Interaktif Kenegaraan, Penetapan Minda, Bina Kota Bina Insan dan Inspirasi 1963 yang digarap untuk merangsang pemikiran yang kritikal dan penilaian semula terhadap identiti nasional serta komitmen terhadap kemajuan bersama.

Menurut Ketua Seksyen Perkhidmatan Persekutuan, Bahagian Latihan Eksekutif AKM, Encik Hazli Haji Hamzah, keseimbangan antara pembinaan nilai rohani dengan pembangunan fizikal merupakan tunjang penting dalam melahirkan penjawat awam berjiwa MADANI.
Peserta program, Puan Sharifah Hayati Syed Noh dari Majlis Bandaraya Subang Jaya menyatakan bahawa penyertaan dalam program ini memberikan kefahaman yang mendalam tentang konsep MADANI dan kaitannya dengan tanggungjawab sebagai penjawat awam.


Bagi Encik Sayful Nuraqmal Mohammad dari AKRAB Polis Diraja Malaysia Johor pula, pendekatan penyampaian yang bersahaja, namun sarat dengan isi menjadikan nilai kenegaraan lebih mudah dihayati oleh peserta daripada pelbagai bidang.
CNM 2025 hadir bukan semata-mata sebagai kursus latihan jangka pendek, malah menjadi pelaburan berimpak tinggi dalam pembentukan budaya kerja berasaskan nilai dan ilmu yang mampu memperkukuh fungsi perkhidmatan awam dalam mendukung aspirasi negara.
Apabila penjawat awam melaksanakan tugas dengan kefahaman psikologi dan penghayatan nilai secara menyeluruh, Malaysia MADANI bukan lagi sekadar gagasan dasar, sebaliknya menjadi amalan yang hidup dalam setiap tindakan, keputusan dan perkhidmatan.