Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSungai Petani – Pertubuhan Kebajikan Pesakit Ichthyosis Negeri Kedah (PERKID) meraikan 17 orang penghidap penyakit kulit yang dikenali sebagai iktiosis di Hotel Zaques, Sungai Petani, Kedah dalam Majlis Makan Malam Amal Setulus Budi Seikhlas Hati bagi mengeratkan hubungan baik antara badan bukan kerajaan ini dengan keluarga pesakit.
Dianggarkan sebanyak 300 orang, termasuklah penduduk di kawasan utara Kedah menghidap penyakit itu dengan gejala mata pesakit kemerah-merahan, berair, badan diselaputi sisik seakan-akan sisik ikan serta kulit kering dan sentiasa mengelupas.
Setakat ini, sebarang ubat untuk menyembuhkan penyakit berkenaan masih belum dapat ditemukan.
Ahli Jawatankuasa Kehormat Majlis Jaksa Pendamai Negeri Kedah, YBhg. Datuk Shahanim Mohamad Yusoff merangkap Pengerusi Giat Mara Sungai Petani ketika merasmikan majlis itu berkata, langkah yang diambil oleh PERKID bagi membantu pesakit iktiosis amat disanjungi.
Menurut beliau, sesiapa sahaja sudah pasti akan bersimpati apabila melihat kanak-kanak berbadan sedemikian rupa hingga usia tua berbanding dengan keadaan badan kanak-kanak lain yang normal.
Katanya,
Keadaan yang pesakit hadapi merupakan kehendak Allah dan mereka juga berhak untuk hidup bahagia dengan adanya sokongan daripada orang ramai yang terus prihatin.

Sementara itu, Pengerusi PERKID, Encik Mohd Firdaus Mehat dalam ucapannya berkata, PERKID banyak menjalankan aktiviti untuk pesakit berkenaan di kawasan Asia.
Ujarnya,
Dengan adanya pelbagai aktiviti yang dianjurkan sekurang-kurangnya dapat menceriakan keluarga pesakit termasuklah jualan teh tarik yang diadakan dalam majlis pada hari ini.
Beliau memaklumkan bahawa minuman teh tarik yang dibuat oleh Encik Mohd Fakir Jamil dari Alor Setar dalam majlis tersebut telah berjaya dijual dengan harga RM200.00 secawan.
Dalam majlis itu juga, pesakit beliau, iaitu Encik Irshad Azizan dari Siong, Baling dipilih sebagai Ikon Iktiosis 2025.

