Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAyer Keroh – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mengukuhkan reputasinya pada peringkat antarabangsa apabila dipilih sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) utama oleh institusi luar negara, termasuklah dari India untuk menjalinkan kerjasama strategik.
Selaras dengan pengiktirafan tersebut, PACE Institute of Technology and Science (PACE ITS), sebuah IPT swasta autonomi yang terkemuka di India telah memilih UTeM sebagai rakan strategik utama menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU).
Majlis penandatanganan MoU antara PACE ITS dengan UTeM berlangsung di Bangunan Canselori, Kampus Induk UTeM di Durian Tunggal dan disaksikan oleh wakil utama daripada kedua-dua institusi.
Dalam sesi pemeteraian MoU itu, PACE ITS diwakili oleh YBrs. Dr. Sridhar Maddisetty dan YBrs. Dr. G.V.K. Murthy, manakala pihak UTEM diwakili oleh Naib Canselor UTeM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin.

Naib Canselor UTeM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi UTEM dalam memperluas jaringan kerjasama antarabangsa yang meliputi mobiliti pelajar, pembangunan kapasiti, penyelidikan bersama serta pemindahan pengetahuan.
Menurut beliau, sebagai sebahagian daripada perjanjian ini, UTeM dijangka akan menerima 15 orang pelajar mobiliti (inbound) dari PACE ITS pada Julai 2025, sekali gus menunjukkan komitmen UTeM dalam menyediakan peluang pendidikan antarabangsa kepada warganya.
Ujar beliau,
Kerjasama ini turut merangkumi pelaksanaan projek konsultasi pembangunan sahsiah pelajar yang dijadualkan berlangsung pada Disember 2025 dengan pelibatan pelajar PACE ITS dalam inisiatif pembangunan holistik dan kepimpinan yang bertujuan membentuk graduan yang seimbang dari segi intelek dan sahsiah.
Beliau juga menyatakan bahawa inisiatif kerjasama ini juga berpotensi untuk mewujudkan pelbagai geran penyelidikan dan program pembangunan kapasiti yang akan mengeratkan lagi hubungan akademik dan profesional antara kedua-dua institusi.

Kedua-dua universiti itu juga bersetuju untuk memfokuskan pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti bengkel dan seminar dalam bidang kecerdasan buatan (AI) serta keselamatan siber, selain meneroka penerbitan akademik dan penyelidikan bersama yang memberikan nilai tambah kepada kedua-dua negara.
Mengulas lanjut, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin menyatakan bahawa inisiatif kerjasama antarabangsa ini juga adalah selari dengan Pelan Strategik UTeM yang mendukung aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memperkasakan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara.
“Kerjasama ini diharapkan dapat memantapkan kedudukan UTeM sebagai IPT yang berdaya saing pada peringkat antarabangsa dan menyediakan ruang lebih luas untuk pertukaran ilmu serta pengalaman antara pelajar dengan penyelidik antarabangsa,” katanya.