Diterbitkan pada 2 Jun 2025, 13:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Malaysia terus mengukuhkan reputasinya pada peringkat global apabila lebih 83 peratus Hutan Simpan Kekal (HSK) di seluruh negara kini disijilkan di bawah Program untuk Pengesahan Pensijilan Hutan (PEFC), lalu menjadikan negara ini antara 10 negara teratas dunia dalam pensijilan hutan.

Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, YBhg. Dato’ Hj. Zahari Ibrahim berkata, pencapaian ini menjadikan Malaysia satu-satunya negara hutan hujan tropika yang berada dalam kelompok tersebut dan mengatasi negara tropika utama lain seperti Brazil dan Indonesia.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan ini membuktikan kecekapan pelaksanaan dasar negeri serta keupayaan penguatkuasaan tempatan, selaras dengan komitmen berterusan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia terhadap amalan pengurusan hutan yang lestari, bertanggungjawab dan bertaraf antarabangsa.

YBhg. Dato’ Hj. Zahari Ibrahim menyampaikan kenyataan tersebut ketika berucap dalam majlis penutup Festival Hutan Hujan Nakawan bersempena dengan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis Tahun 2025 di Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat, Kangar.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan turut dihadiri oleh DYMM Tuanku Tengku Fauziah AlMarhum Tengku Abdul Rashid.

Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail berkenan menyampaikan titah diraja dalam majlis penutup Festival Hutan Hujan Nakawan bersempena dengan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis Tahun 2025.

Menurut beliau, empat lokasi baharu telah diwartakan sebagai HSK di Perlis dan keluasan keseluruhan kawasan tersebut meningkat kepada 11 140 hektar pada tahun lalu berbanding dengan 10 870 hektar pada tahun 2023.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 114.72 juta pokok yang melibatkan 1972 spesies telah berjaya ditanam di seluruh negara sejak pelancaran Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.

Sementara itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perlis atas usaha menanam sebanyak 1 039 759 pokok setakat 22 Mei lalu, sekali gus melepasi sasaran awal sebanyak sejuta pokok.

Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, YBhg. Dato’ Hj. Zahari Ibrahim menyembah persembahan kepada Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail bersempena dengan majlis penutup Festival Hutan Hujan Nakawan 2025 di Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat, Perlis.

Dalam sebuah majlis lain anjuran Jabatan Perhutanan Negeri, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bersama-sama 25 ketua jabatan negeri dan persekutuan telah menanam 82 batang pokok hutan bersempena dengan sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis Tahun 2025.

Jumlah 82 batang pokok tersebut diambil bersempena dengan Hari Ulang Tahun Tuanku Raja, manakala angka 25 mewakili sambutan Jubli Perak pemerintahan baginda.

Pokok yang ditanam terdiri daripada spesies meranti temak nipis (Anthoshorea roxburgii), merawan siput jantan (Hopea odorata) dan keruing belimbing (Dipterocarpus grandifloras) yang merupakan antara spesies berharga dalam ekosistem hutan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi