Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Budaya membaca harus diangkat sebagai asas utama dalam memupuk minat dan kecemerlangan dalam bidang STREAM, khususnya dalam kalangan generasi muda masa ini.
Sebagai usaha merealisasikan hasrat tersebut, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Forum STREAM DBP–PBAKL bertemakan “Menjana Kecemerlangan STREAM melalui Amalan Membaca” yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn (DTHO), Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), semalam.
Forum ini memperkukuh mesej tersebut dengan memperkenalkan pendekatan pendidikan bersepadu melalui konsep STREAM yang semakin mendapat tempat dalam landskap pendidikan global.
STREAM merupakan akronim bagi sains, teknologi, membaca (reading), kejuruteraan (engineering), seni (art) dan matematik, iaitu model yang menekankan penggabungan disiplin ilmu secara holistik.
Bagi menghuraikan konsep ini dengan lebih mendalam, forum tersebut menampilkan dua ahli panel berwibawa, iaitu Pengarah Pusat Sains Negara, Encik Mohammad Fuad Rahman dan Pensyarah di Jabatan Sains Makanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Lim Seng Joe yang juga penerima Anugerah Sains Muda Negara 2024.
Perbincangan turut dipandu oleh moderator berpengalaman, Encik Mohd Idrus Said yang merupakan Munsyi Muda Bahasa yang memberikan tumpuan pada peranan membaca sebagai asas pengukuhan pengetahuan dalam bidang STREAM.

Sepanjang perbincangan berlangsung, kedua-dua panel bersetuju bahawa pembacaan merupakan asas penting yang menyokong perkembangan ilmu merentas pelbagai disiplin serta merangsang pemikiran kritis dan kreatif dalam kalangan masyarakat.
Pengarah Pusat Sains Negara, Encik Mohammad Fuad Rahman menegaskan bahawa amalan membaca perlu mendorong kepada penghayatan ilmu yang mendalam, bukan hanya tertumpu pada pencapaian gred dalam peperiksaan.
Beliau menyifatkan budaya membaca sebagai pemangkin penting kepada pencetusan idea dan pembinaan daya fikir abad ke-21, terutamanya dalam menyemai minat terhadap sains dan teknologi.
“Saya sangat percaya bahawa membaca boleh memupuk minat terhadap sains dan teknologi, khususnya dalam bidang STREAM,” ujar beliau yang berpengalaman luas dalam bidang strategi, komunikasi dan pembudayaan sains pada peringkat nasional.

Dalam sesi yang sama, Profesor Madya Ts. Dr. Lim Seng Joe menyeru ibu bapa agar memainkan peranan aktif dalam membudayakan amalan membaca di rumah walaupun dalam kesibukan seharian.
Beliau menggesa agar masa, tenaga dan sumber kewangan dilaburkan oleh ibu bapa demi memupuk budaya membaca sejak usia muda dan sebagai pelaburan jangka panjang dalam pendidikan anak-anak.
“Kadangkala, kita penat setelah pulang bekerja, namun kita tetap perlu meluangkan masa, walau hanya 30 minit sebelum tidur untuk membaca bersama-sama anak-anak,” katanya yang juga merupakan ahli teknologi profesional dan pakar dalam bidang kimia makanan.
Menurut beliau lagi, pembacaan mampu membentuk kosa kata teknikal dan memberikan inspirasi dalam bidang reka bentuk, seni, penemuan serta merangsang kreativiti pelajar dalam pendekatan STREAM.
Forum tersebut turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai; Ahli Biologi Alam Sekitar dari Akademi Sains Malaysia, Profesor Dr. Ahmad Ismail; tokoh akademik dan penggiat ilmu, selain menarik perhatian pengunjung reruai DBP yang hadir mengikuti sesi secara langsung.