Diterbitkan pada 23 Mei 2025, 17:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Silterra Malaysia Sdn. Bhd. menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang membuka lembaran baharu kerjasama strategik dalam bidang mikrofabrikasi peranti semikonduktor dan sistem mikroelektromekanikal.

Pemeteraian perjanjian ini merupakan hasil kejayaan pendanaan Projek Dana Penyelidikan Pembangunan Teknologi  (TED) 1 yang dibiayai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Inisiatif ini turut disokong oleh Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik, UKM serta diselaraskan dengan agenda nasional melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Strategi Semikonduktor Kebangsaan.

Majlis penandatangan MoU antara UKM dengan Silterra Malaysia Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Pro Naib Canselor Penjanaan dan Prasarana UKM, YBhg. Profesor Sr. Ts. Dr. Adi Irfan Che Ani serta Pengarah Kanan Komunikasi Korporat, EHS-ESG Silterra Malaysia, Encik Tahirruddin Hamdan,

Majlis penandatangan MoU yang berlangsung di UKM ini diserikan dengan kehadiran Pro Naib Canselor Penjanaan dan Prasarana UKM, YBhg. Profesor Sr. Ts. Dr. Adi Irfan Che Ani; Pengarah Kanan Komunikasi Korporat, EHS-ESG Silterra Malaysia, Encik Tahir Hamdan; wakil MOSTI, Puan Nurru Adila Ibrahim; dan Pengarah Eksekutif Forward Energy Sdn. Bhd., YBhg. Dato’ Azmi Abdullah.

Majlis tersebut turut menyaksikan tiga agenda utama yang mencerminkan kemajuan negara dalam bidang teknologi tinggi, khususnya penyelidikan dan aplikasi industri.

Satu daripada agenda tersebut ialah Bengkel Kerjasama Penyelidikan Universiti (KPU) yang memberikan tumpuan kepada teknologi dielektroforesis (DEP) dan penggunaannya dalam pengesanan patogen secara masa nyata di dalam air yang menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) ketiga, iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan.

Teknologi DEP yang diketengahkan berpotensi mempercepat dan mempertingkat keberkesanan kaedah pengesanan patogen, terutamanya dalam menangani isu keselamatan air awam.

MoU antara UKM dengan Silterra Malaysia Sdn. Bhd. juga membuka ruang kerjasama dalam pembangunan teknologi mikroelektronik dan nanoelektronik yang selari dengan SDG kesembilan, iaitu Industri, Inovasi dan Infrastruktur.

Kerjasama ini dijangka memperkukuh kapasiti penyelidikan dan latihan negara dalam bidang teknologi tinggi, sekali gus merangsang pertumbuhan industri semikonduktor tempatan.

Agenda ketiga yang turut dilancarkan dalam majlis ini ialah Projek TED 1 oleh MOSTI menerusi sebuah projek penyelidikan berimpak tinggi yang berjudul “Laboratory Validation of Sensitive and Rapid Dielectrophoresis Sensor Detection of E. Coli and ESKAPE Pathogen in Malaysia Water Cycle (TDF09241800)”.

Penyerahan cek replika bersempena dengan peluncuran pendanaan projek TED1.

Projek yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Muhamad Ramdzan Buyong dari UKM ini akan menilai keberkesanan teknologi DEP dalam pengesanan patogen berbahaya di lokasi sebenar seperti Sungai Semenyih dan Sungai Langat.

Projek tersebut juga akan dilaksanakan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia dan Forward Energy Sdn. Bhd.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi