Diterbitkan pada 22 Mei 2025, 18:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia mencatatkan sejarah apabila seorang saintis terkemukan negara, YBrs. Dr. Ravigadevi Sambanthamurthi FASc menjadi rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai felow di Royal Society, sebuah akademi sains tertua dan paling berprestij di dunia.

Menurut kenyataan rasmi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), pelantikan ini merupakan penghormatan sulung buat rakyat Malaysia sejak penubuhan Royal Society pada tahun 1660.

YBrs. Dr. Ravigadevi Sambanthamurthi FASc, saintis Malaysia pertama yang dilantik sebagai Felow Royal Society menerima pengiktirafan tertinggi atas sumbangan cemerlang dalam bidang bioteknologi dan penyelidikan kelapa sawit bertaraf global.

YBrs. Dr. Ravigadevi Sambanthamurthi FASc akan dilantik secara rasmi sebagai felow dalam satu majlis di London pada 11 Julai 2025 yang pada ketika itu beliau akan menandatangani Charter Book Royal Society, sebuah rekod bersejarah yang mengandungi tandatangan tokoh saintifik paling berpengaruh sepanjang lebih tiga abad.

MOSTI memaklumkan bahawa beliau merupakan Felow Akademi Sains Malaysia sejak tahun 2010 dengan pengiktirafan sebagai perintis dalam bidang bioteknologi negara.

Kini, beliau menyandang jawatan sebagai Pengerusi Disiplin Sains Biologi, Pertanian dan Alam Sekitar di Akademi Sains Malaysia serta turut diiktiraf sebagai felow oleh The World Academy of Sciences (TWAS).

Sebagai bekas Pengarah Pusat Bioteknologi dan Pembiakbakaan Lanjutan di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), beliau telah mengetuai pelbagai penyelidikan transformatif dalam biokimia dan genomik kelapa sawit yang membawa kepada penemuan penting yang memberikan impak global.

Antara kejayaan paling bersejarah termasuklah kejayaan pasukan beliau menyahkod genom kelapa sawit yang diterbitkan dalam jurnal Nature yang dianggap sebagai pencapaian yang diiktiraf sebagai penemuan saintifik penting.

Penemuan ini telah membawa kepada pengenalpastian gen SHELL yang menentukan tahap pengeluaran minyak sawit, sekali gus membuka jalan kepada pemilihan pokok berpotensi tinggi melalui ujian DNA.

Melalui teknologi tersebut, pekebun kini dapat menghasilkan minyak yang lebih banyak dengan keluasan tanah yang minimum, justeru mengurangkan impak terhadap alam sekitar.

Beliau turut berjaya menemui sebatian bioaktif bernilai tinggi dalam efluen kilang sawit, bahan buangan yang sebelum ini dianggap pencemar dan membangunkan kaedah untuk mengekstraknya sebagai sumber ekonomi baharu.

Inovasi tersebut bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi kitaran, malah menukar aliran sisa kepada aset lestari yang menyokong kelestarian industri sawit negara.

Antara penghormatan yang pernah diterima beliau termasuklah anugerah Knight of the International Order of Merit of Inventors oleh International Federation of Inventors Association pada tahun 2009.

Beliau turut menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Tan Sri Augustine Ong atas Ciptaan dan Inovasi dalam Kelapa Sawit pada tahun 2022.

Pada peringkat antarabangsa, beliau pernah diiktiraf sebagai Intel Environment Laureate oleh Tech Museum Award, Amerika Syarikat atas sumbangan beliau dalam menghasilkan inovasi yang mengubah dunia.

Dalam reaksinya kepada berita pelantikan ini, YBrs. Dr. Ravigadevi Sambanthamurthi FASc menyatakan rasa rendah diri dan berbesar hati menerima penghormatan tersebut.

Beliau menegaskan bahawa anugerah ini bukan kejayaan peribadi semata-mata, sebaliknya merupakan pengiktirafan kepada pasukan penyelidik cemerlang yang pernah bekerjasama dengannya.

Tambah beliau, segala pencapaian itu adalah hasil daripada ekosistem penyelidikan yang dinamik di MPOB serta sokongan daripada rakan penyelidik yang dedikasi.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Tuan Chang Lih Kang turut merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan bersejarah ini.

Menurutnya,

Pengiktirafan antarabangsa ini merupakan detik membanggakan buat Malaysia dan mencerminkan aspirasi negara dalam kerangka Malaysia MADANI yang menjunjung kesejahteraan berasaskan ilmu dan inovasi.

Beliau menegaskan komitmen MOSTI untuk terus memperkukuh ekosistem penyelidikan negara, mempercepatkan impak saintifik dan mengangkat Malaysia sebagai penyumbang dihormati dalam lanskap sains global.

Kredit Foto: Facebook Akademi Sains Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi