Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPerubahan iklim yang dicirikan oleh peningkatan suhu global, perubahan melampau dalam corak hujan dan peningkatan paras laut bukan lagi tertakluk sebagai isu alam sekitar semata-mata, malah telah menjadi ancaman terbesar yang dihadapi di dunia pada masa ini. Ancaman ini memberikan kesan meluas yang merentas pelbagai aspek kehidupan, termasuklah menjejaskan kelangsungan tamadun manusia akibat kekurangan sumber dan peningkatan risiko bencana alam. Pada masa yang sama, kesan perubahan iklim turut menjejaskan ekosistem semula jadi yang menjadi asas kepada kelestarian bumi.
Satu daripada ekosistem yang paling terancam dan pada masa yang sama memainkan peranan penting dalam usaha mengurangkan perubahan iklim ialah hutan. Oleh itu, artikel ini akan memperincikan cabaran yang dihadapi oleh ekosistem hutan akibat perubahan iklim, mengupas peranan kritikal hutan dalam menstabilkan iklim global dan meneroka harapan serta inisiatif yang sedang dijalankan bagi menjamin masa hadapan yang lebih mampan untuk ekosistem ini.

Cabaran yang Dihadapi oleh Ekosistem Hutan
Peningkatan suhu global secara berterusan telah menyebabkan gangguan yang meluas terhadap kitaran hidup pelbagai spesies flora dan fauna dalam ekosistem hutan. Perubahan iklim turut menjejaskan isyarat semula jadi yang mengawal pembungaan, pembuahan dan penghijrahan. Sebagai contoh, suhu tinggi yang berada di luar julat sejarah boleh menyebabkan pokok tertentu gagal menghasilkan benih yang berdaya maju, sekali gus mengancam kelangsungan hidup tumbuhan tersebut dan mengurangkan kepelbagaian genetik hutan.
Keadaan ini turut memberi kesan langsung kepada haiwan herbivor yang sangat bergantung pada sumber makanan daripada tumbuhan. Ketidakseimbangan ini akhirnya mencetuskan kesan domino yang merebak ke seluruh rantaian makanan, lalu menganggu keseimbangan ekologi hutan secara keseluruhan.
Peningkatan suhu juga mendorong perubahan dalam zon habitat secara global. Sebahagian spesies terpaksa berhijrah ke kawasan berlatitud lebih tinggi atau altitud yang lebih sejuk untuk menyesuaikan diri. Walau bagaimanapun, tidak semua spesies mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan diri atau kebolehan migrasi yang mencukupi untuk mengikuti kadar perubahan iklim yang pesat. Keadaan ini berpotensi menyebabkan penurunan populasi dan kepupusan bagi sesetengah spesies tempatan.

Sementara itu, perubahan iklim turut menyebabkan kemusnahan habitat hutan secara langsung dan tidak langsung. Corak taburan hujan yang berubah-ubah, termasuklah peningkatan kemarau di sesetengah kawasan dan kejadian banjir di kawasan lain menyumbang kepada pengeringan tanah serta perubahan dalam komposisi tumbuh-tumbuhan hutan. Kehilangan habitat secara tidak seimbang ini memberi kesan besar kepada spesies yang mempunyai toleransi ekologi yang sempit dan tidak mampu menyesuaikan diri terhadap perubahan persekitaran.
Di kawasan tropika yang kaya dengan biodiversiti seperti Malaysia, perubahan ketara dalam corak hujan telah mengganggu fenologi tumbuhan, termasuklah musim bunga dan musim buah yang penting bagi kemandirian kebanyakan spesies haiwan. Gangguan ini mewujudkan ketidakpadanan trofik, iaitu ketidakseimbangan antara ketersediaan sumber makanan dan keperluan pembiakan atau pertumbuhan haiwan yang menyebabkan penurunan populasi dan potensi kepupusan.

Lebih merisaukan, kesan perubahan iklim terhadap ekosistem hutan semakin diperburuk oleh perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab. Aktiviti seperti pembalakan haram, penukaran hutan kepada ladang pertanian monokultur seperti kelapa sawit serta pembandaran yang tidak terkawal telah mempercepatkan kemusnahan hutan dan mengurangkan daya tahan ekosistem terhadap tekanan perubahan iklim.
Di Malaysia, aktiviti penebangan hutan yang meluas bagi tujuan pembukaan ladang kelapa sawit merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada kehilangan kawasan hutan secara besar-besaran dan berlakunya pemecahan ekosistem. Amalan penggunaan tanah yang tidak mampan ini bukan sahaja memusnahkan habitat dan mengurangkan kepelbagaian biologi, malah turut meningkatkan pembebasan karbon dioksida ke atmosfera. Pelepasan ini berlaku melalui pembakaran biojisim dan pengoksidaan karbon dalam tanah. Keadaan ini juga mempercepatkan proses pemanasan global serta mencetuskan kitaran ganas yang terus merosakkan kestabilan iklim dan ekosistem hutan.

Peranan Ekosistem Hutan dalam Menangani Perubahan Iklim
Ekosistem hutan memainkan peranan yang amat penting dan tidak boleh ditukar ganti sebagai penyerap semula jadi karbon dioksida paling berkesan daripada atmosfera. Melalui proses fotosintesis, tumbuhan hutan menyerap karbon dioksida, lalu menukarkannya kepada biojisim dan seterusnya menyimpan sejumlah besar karbon di dalam kayu, akar, daun dan tanah hutan.
Hutan yang sihat dan tidak terganggu berfungsi sebagai simpanan karbon untuk jangka masa panjang, membantu mengurangkan kepekatan gas rumah hijau dalam atmosfera dan memperlahankan kadar perubahan iklim global. Hutan tropika yang luas dan kaya seperti Taman Negeri Royal Belum, Perak yang mengagumkan dan ekosistem unik di hutan tanah gambut merupakan contoh konkrit ekosistem yang mempunyai kapasiti penyimpanan karbon yang luar biasa dan menyumbang kepada kestabilan iklim dunia.

Selain berperanan dalam penyerapan karbon, ekosistem hutan juga berfungsi sebagai penampan semula jadi terhadap pelbagai bencana alam yang berpunca daripada perubahan iklim seperti banjir kilat dan tanah runtuh. Sistem akar pokok yang kompleks dan saling berkait membantu menstabilkan struktur tanah dan meningkatkan penyerapan air ke dalam lapisan bawah tanah. Keadaan ini secara langsung mengurangkan risiko hakisan dan kejadian tanah runtuh, khususnya di kawasan berbukit dan cerun curam.
Di samping itu, kanopi hutan yang tebal mampu memecah dan memperlahankan kesan langsung hujan lebat ke atas permukaan tanah, seterusnya mengurangkan air larian permukaan serta risiko banjir di kawasan hilir. Dalam konteks ekosistem paya gambut, kapasiti penyimpanan air yang tinggi di lapisan gambut membantu mengurangkan risiko kemarau dan kebakaran hutan ketika musim kemarau yang panjang. Ekosistem ini turut bertindak sebagai benteng semula jadi terhadap pencerobohan air masin di kawasan pesisir pantai.

Antara contoh terbaik di Malaysia ialah hutan paya gambut yang merupakan ekosistem yang sangat unik dan mempunyai nilai ekologi yang luar biasa, terutamanya dalam konteks penyimpanan karbon. Tanah gambut yang terbentuk hasil pengumpulan bahan organik separa terurai di bawah keadaan anaerobik mampu menyimpan lebih banyak karbon di setiap unit kawasan berbanding dengan jenis ekosistem hutan yang lain.
Walau bagaimanapun, ciri istimewa ini juga menjadikan hutan paya gambut sangat rentan terhadap kesan perubahan iklim dan gangguan aktiviti manusia yang tidak bertanggungjawab. Kemarau yang berpanjangan akibat perubahan corak hujan meningkatkan risiko kebakaran tanah gambut. Apabila situasi tersebut berlaku, sejumlah besar karbon dibebaskan ke atmosfera sebagai gas rumah hijau dan memburukkan lagi pemanasan global dengan ketara.
Selain itu, saliran dan penukaran tanah gambut untuk tujuan pertanian dan pembangunan infrastruktur juga menyebabkan pembebasan karbon tersimpan dan memusnahkan habitat yang penting bagi kelestarian biodiversiti. Sehubungan dengan itu, pelaksanaan inisiatif dan projek pemulihan tanah gambut yang berterusan di pelbagai kawasan di Malaysia seperti di Pahang Tenggara merupakan langkah kritikal bagi memastikan kemampanan serta kestabilan ekosistem ini kekal terpelihara.

Harapan untuk Masa Hadapan ke Arah Kelestarian Hutan
Perjanjian antarabangsa yang komprehensif seperti Perjanjian Paris telah menyediakan rangka kerja dan jangkaan penting untuk menyelaraskan usaha global bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau serta mengehadkan pemanasan global. Dalam perjanjian ini, negara di seluruh dunia, termasuklah Malaysia telah menyatakan komitmen masing-masing untuk melindungi dan mengurus hutan secara mampan sebagai satu daripada langkah utama dalam menangani perubahan iklim.
Komitmen ini turut dizahirkan melalui pelibatan aktif Malaysia dalam program antarabangsa seperti program Mengurangkan Pelepasan daripada Penyahhutanan dan Degradasi Hutan (REDD+). Penyertaan dalam inisiatif ini menunjukkan kesungguhan negara dalam mengimbangi keperluan pembangunan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar serta menyumbang kepada usaha global untuk mengurangkan pelepasan karbon akibat penebangan dan degradasi hutan. Program seperti REDD+ bukan sahaja menyediakan insentif kewangan, malah turut menggalakkan amalan pengurusan hutan yang mampan dan pelaksanaan sistem pemantauan hutan yang lebih berkesan.

Pada peringkat nasional dan tempatan, pelbagai projek pemulihan hutan yang bersifat inovatif dan mampan sedang giat dilaksanakan di Malaysia. Inisiatif penting seperti Central Forest Spine (CFS) dan Heart of Borneo (HoB) merupakan antara usaha bersepadu bagi menyambung semula kawasan hutan yang berpecah akibat pembangunan. Usaha ini bertujuan memulihkan ekosistem hutan yang terancam, meningkatkan biodiversiti dan mengukuhkan daya tahan terhadap impak perubahan iklim.
Seterusnya, kempen penanaman semula pokok yang melibatkan penyertaan aktif masyarakat serta program pendidikan awam yang meningkatkan kesedaran tentang kepentingan fungsi ekologi dan ekonomi hutan juga merupakan langkah penting dalam usaha pemuliharaan dan pemulihan hutan. Pelibatan masyarakat dalam program seperti ini amat diperlukan untuk memastikan kejayaan jangka panjang dalam memulihkan kawasan hutan yang terdegradasi dan menjamin pengurusan hutan yang mampan untuk generasi akan datang.

Kemajuan dalam bidang teknologi hijau turut menawarkan harapan baharu dan menjadi alat berkuasa dalam meningkatkan keberkesanan usaha pemuliharaan hutan. Teknologi seperti dron yang digunakan untuk pemetaan kawasan hutan secara tepat, teknik pengedaran benih untuk penanaman semula hutan secara cekap serta sistem pemantauan satelit bagi mengesan aktiviti pembalakan haram secara masa nyata merupakan antara inovasi yang menyumbang kepada kelestarian ekosistem hutan.
Teknologi ini membolehkan pemantauan yang lebih tepat dan tindak balas yang pantas terhadap ancaman yang dihadapi oleh ekosistem hutan serta meningkatkan kecekapan dan keberkesanan usaha pemulihan yang dijalankan. Pembangunan dan aplikasi teknologi hijau pada masa hadapan dijangka memainkan peranan yang semakin penting dalam melindungi serta mengurus hutan secara mampan dalam era perubahan iklim ini.

Walaupun cabaran yang dihadapi oleh ekosistem hutan akibat perubahan iklim dan aktiviti manusia adalah besar dan kompleks, harapan untuk masa hadapan hutan yang lebih mampan terus wujud. Kerjasama dan usaha yang diselaraskan pada pelbagai peringkat dan disertai dengan peningkatan kesedaran serta pelibatan aktif daripada pelbagai pihak, termasuklah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia memberikan peluang untuk melindungi ekosistem hutan yang amat berharga ini agar terus dapat menjalankan peranannya sebagai pelindung bumi.
Hutan bukan sekadar warisan semula jadi yang tidak ternilai, malah merupakan asas kepada kelangsungan hidup dan masa hadapan yang mampan bagi semua hidupan di planet ini. Sesungguhnya, masa hadapan hutan bergantung sepenuhnya pada tindakan kolektif manusia pada hari ini.
Azian Mohti (Pegawai Penyelidik), Cawangan Perubahan Iklim Perhutanan, Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
Nurafiqah Nabilah Sarippudin, Nur ‘Arif Mohd Tarmudi dan Muhammad Farish Daniel Shamsul Imran (Pelatih Industri) di Cawangan Perubahan Iklim Perhutanan, Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar, FRIM.