Diterbitkan pada 13 Mei 2025, 17:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Singapura – Kepakaran Malaysia dalam bidang gangguan pemprosesan auditori atau auditory processing disorder (APD) terus diperkukuh menerusi lawatan rasmi kumpulan pakar ke Pusat Pendengaran, Pertuturan dan Pengimbangan, Hospital Universiti Nasional (NUH).

Lawatan ini melibatkan Kumpulan Kepentingan Khusus Pemprosesan Auditori Pusat atau Special Interest Group (SIG) APD di bawah Pusat Telinga, Pendengaran dan Pertuturan (HEARS), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

SIG APD ditubuhkan pada tahun 2024 sebagai sebuah inisiatif Pusat HEARS untuk memajukan perkhidmatan dan penyelidikan APD pada peringkat nasional dan serantau dengan memberikan tumpuan kepada perkongsian kepakaran dan pengembangan jaringan profesional.

Ahli SIG APD terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti pensyarah dan pegawai audiologi UKM, pegawai audiologi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), serta hospital swasta.

Sepanjang lawatan ke NUH, ahli SIG berpeluang mempelajari pendekatan penilaian dan pengurusan pesakit APD yang diguna pakai di Klinik Audiologi NUH serta meninjau operasi klinikal dan penyelidikan yang dilaksanakan secara menyeluruh.

Kunjungan ini turut membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara Pusat HEARS dengan NUH, termasuklah dalam penganjuran Bengkel APD: Siri Profesional Pusat HEARS yang dijadualkan berlangsung pada 27 hingga 28 Julai 2025.

Ketua Unit Audiologi NUH, Profesor Madya Dr. Jenny Loo Hui Ying menyatakan bahawa perkhidmatan audiologi di institusi tersebut bukan sahaja tertumpu di hospital, malah diperluas ke peringkat komuniti bagi memastikan akses rawatan yang lebih menyeluruh.

Menurut beliau,

Pada awalnya, rujukan ke klinik APD lebih tertumpu pada pesakit pediatrik, namun trend terkini menunjukkan peningkatan kes rujukan dalam kalangan pesakit dewasa, selari dengan tahap kesedaran masyarakat yang semakin tinggi.

YBrs. Profesor Madya Dr. Jenny Loo Hui Ying.

Dalam sesi perkongsian itu juga, beliau mendedahkan pelbagai inisiatif komuniti dan penyelidikan berkaitan dengan kesihatan pendengaran yang digerakkan oleh pihak NUH, sekali gus memberikan inspirasi dan nilai tambah kepada delegasi dari Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada program lawatan, Ketua SIG APD Pusat HEARS, Dr. Nashrah Maamor turut dijemput menyampaikan ceramah bertajuk “Understanding Teacher’s Perspective on Supporting Children with Hearing Challenges in Schools”.

Beliau juga telah dilantik sebagai juri dalam sesi pembentangan penyelidikan yang menjadi pentas penting dalam pertukaran ilmu dan penilaian dapatan kajian semasa antara negara.

Dr. Nashrah Maamor ketika menyampaikan ceramah bertajuk “Understanding Teacher’s Perspective on Supporting Children with Hearing Challenges in Schools” semasa lawatan rasmi ke NUH, Singapura.
Dr. Nashrah Maamor ketika menjalankan sesi penjurian pembentangan penyelidikan semasa lawatan rasmi ke NUH, Singapura.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi