Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 11 Mei 2025, 18:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (JPV) memaklumkan bahawa tiada sebarang laporan berkenaan dengan penyakit antraks dikesan dalam negara sehingga kini walaupun sentiasa aktif di kebanyakan negara.

Hal ini berikutan pihaknya memandang serius jangkitan penyakit berkenaan yang berlaku di Thailand pada 1 Mei lalu dan menyebabkan satu kematian sebagaimana laporan daripada Jabatan Kawalan Penyakit (DDC), Thailand baru-baru ini.

JPV berkata kes tersebut dikaitkan dengan penyembelihan lembu dan pengambilan daging mentah di Daerah Don Tan, Wilayah Mukdahan, timur laut Thailand yang bersempadan dengan Republik Demokratik Rakyat Lao.

“Pada ketika ini, JPV kekal berwaspada dan memohon jaminan dari Thailand bahawa tiada haiwan dan produk haiwan yang disyaki dari kawasan berisiko tinggi antraks dieksport ke Malaysia,” katanya dalam suatu kenyataan pada hari ini.

Jelas kenyataan itu lagi, JPV turut memohon supaya negara tersebut memberikan status semasa, langkah yang diambil untuk mengawal pergerakan haiwan dan produk haiwan serta pelan kontingensi mengenai penyakit antraks.

Tambah pihaknya, hal ini demikian kerana Malaysia mengimport ternakan hidup, iaitu lembu dan kerbau dari Thailand, dan semua ternakan yang memasuki negara ini perlu melalui proses pemeriksaan veterinar yang ketat sebelum dibenarkan masuk.

JPV menasihati dan menyeru para penternak agar meningkatkan tahap biosekuriti ladang, terutamanya menjelang musim perayaan hari raya korban yang akan datang.

Setiap ternakan baharu yang dibawa masuk ke ladang, perlu dipastikan tahap kesihatannya melalui pemeriksaan Pegawai Veterinar bertauliah dan permit pemindahan ternakan yang sah.

“Para penternak perlu berhati-hati dengan sebarang kemasukan ternakan yang tidak mempunyai permit pemindahan yang sah terutamanya ternakan yang dibawa masuk dari negara jiran,” ujarnya.

Pada masa yang sama, JPV turut meminta semua pihak, khususnya penternak agar sentiasa mengambil perhatian terhadap perkembangan semasa kejadian penyakit haiwan dan melaporkan segera kepada JPV sekiranya mengesan sebarang tanda klinikal penyakit pada haiwan ternakan masing-masing.

Sebagai langkah berjaga-jaga, JPV terus menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan demi memastikan negara sentiasa bebas daripada penyakit tersebut.

Antaranya termasuklah memaklumkan pihak berkuasa veterinar Thailand terhadap kebimbangan Malaysia ke atas wabak antraks yang berlaku, meneruskan aktiviti pemantauan klinikal ke atas ternakan ruminan dalam negara melalui Program Survelan Kebangsaan untuk mengesan penyakit antraks seawal yang mungkin.

Di samping itu, pihak JPV juga akan meningkatkan tahap kesiapsiagaan terhadap penyakit antraks pada semua peringkat termasuk JPV Negeri, Makmal Veterinar dan Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) melalui persediaan kelengkapan logistik, proses kerja menghadapi wabak penyakit antraks dan mengemas kini maklumat berkenaan antraks.

Malah, JPV turut menyediakan garis panduan pemeriksaan penyakit tersebut kepada pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di pintu masuk negara untuk memastikan penguatkuasaan teknikal dapat dijalankan dengan lebih efisien dan efektif, khususnya ke atas ternakan import dari Thailand, selain menyediakan risalah penyakit antraks untuk edaran umum sebagai panduan pencegahan penyakit.

Penyakit antraks berlaku disebabkan oleh bakteria Bacillus Anthracis dan merupakan penyakit zoonotik, iaitu penyakit haiwan yang menjangkiti manusia melalui kontak langsung dengan spora yang dihasilkan oleh bakteria dan boleh membawa maut.

Malaysia bebas daripada penyakit ini sejak kes terakhir yang dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) pada tahun 1976.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi