Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Dalam era digital yang semakin mencabar kini, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) terus memperkukuh kesiapsiagaan teknologinya menerusi penganjuran Hari Bersama ICT 2025 (HBICT 2025) yang berlangsung semalam.
Program ini dianjurkan oleh Bahagian Sokongan Teknikal sebagai platform untuk memupuk budaya kerja berteraskan digital serta meningkatkan tahap kesedaran keselamatan siber dalam kalangan warga kerja Nuklear Malaysia.
Majlis yang berlangsung di Dewan Tun Dr. Ismail, Kompleks Bangi itu dirasmikan oleh Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan yang menegaskan kepentingan penguasaan teknologi maklumat dalam memperkasakan penyampaian perkhidmatan awam.

“Penerapan teknologi maklumat merupakan suatu keperluan yang mesti diintegrasikan dalam setiap aspek pentadbiran dan operasi organisasi dan hal ini menuntut pemahaman yang mendalam, kemahiran yang relevan serta kesediaan setiap warga kerja untuk melaksanakan perubahan secara menyeluruh,” tegas Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan dalam ucapan perasmiannya.
Program itu juga telah menghimpunkan lebih 200 orang warga kerja Nuklear Malaysia dan turut disiarkan secara dalam talian bagi memastikan penyertaan yang lebih inklusif.
Antara pengisian utama program ini termasuklah ceramah berkenaan dasar keselamatan siber, taklimat berkaitan dengan pengurusan media sosial organisasi serta perkongsian oleh Polis Diraja Malaysia mengenai ancaman jenayah siber dan aplikasi Internet benda dalam penyelidikan dan pembangunan nuklear.

Sesi ceramah ini turut membuka perspektif baharu dalam kalangan peserta mengenai kepentingan kawalan keselamatan digital dalam era teknologi maklumat yang pesat, di samping menekankan keperluan untuk mematuhi segala dasar dan garis panduan keselamatan yang telah ditetapkan oleh pihak agensi serta selaras dengan peraturan negara bagi memastikan kelestarian sistem ICT organisasi.
Turut menjadi tarikan dalam program ini ialah sesi kuiz keselamatan siber yang berjaya mencetuskan semangat bersaing secara sihat dalam kalangan peserta sambil mengukuhkan pemahaman terhadap isu keselamatan maklumat.
Pemenang kuiz menerima hadiah menarik sebagai galakan kepada warga kerja untuk terus menimba ilmu dan berperanan aktif dalam memperkasakan budaya digital yang lebih berdaya tahan.

“Program ini benar-benar membuka mata saya tentang betapa seriusnya risiko dan ancaman siber masa kini serta menyedarkan saya bahawa setiap individu, tidak mengira jawatan atau bahagian mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan integriti dan keselamatan sistem ICT organisasi sentiasa terpelihara,” ujar seorang peserta yang ditemu bual.
HBICT 2025 juga menjadi medan untuk pertukaran idea antara warga agensi dalam usaha membentuk persekitaran kerja yang lebih selamat, pintar dan seiring dengan aspirasi pendigitalan sektor awam.
Turut hadir memeriahkan program ialah Timbalan Ketua Pengarah (Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi) YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed serta Pengurus Pusat Teknologi Maklumat dan Aplikasi, YBrs. Dr. Mohamad Safuan Sulaiman.
Kredit Foto: Norzalina Nasirudin