Diterbitkan pada 8 Mei 2025, 11:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Puncak Alam- Universiti Teknologi Mara (UiTM), menerusi Pusat Pengajian Fisioterapi telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat yang bertemakan “Penuaan Aktif: Memperkasakan Warga Emas Melawan Sarcopenia” yang berlangsung di kampus UiTM Puncak Alam.

Program Khidmat Masyarakat ini merupakan inisiatif di bawah kerjasama SULAM (Service Leraning Malaysia- University of Society) dan telah mendapat tajaan sepenuhnya daripada syarikat Care First PT, Pak Ali Nasi Lemak Daun Pisang serta Hill Park Puncak Alam.

Antara pengisian utama program ini termasuklah sesi ceramah dan saringan kesihatan yang merangkumi penilaian status sarkopenia, risiko jatuh, kekuatan anggota atas (genggaman tangan) dan bawah badan (duduk berdiri) serta tahap daya tahan (endurance) melalui ujian  dua langkah dua minit, selain pelbagai pemeriksaan kesihatan lain yang disediakan untuk warga emas yang hadir.

Program dimulakan dengan ceramah oleh Pakar Geriatrik Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam, YBrs. Dr. Mohd Zaquan Arif Abd Ghafar yang membentangkan tajuk “Pengenalan kepada Sarcopenia”.

Dalam ceramah tersebut, beliau menerangkan bahawa sarkopenia merupakan keadaan kehilangan jisim otot dan kekuatan fizikal yang lazim berlaku seiring dengan peningkatan usia.

Langkah pencegahan boleh diambil sejak awal lagi melalui amalan gaya hidup yang aktif serta pemakanan yang seimbang bagi mengekalkan kekuatan otot dan fungsi fizikal dalam kalangan warga emas.

“Pengenalan kepada Sarcopenia” menjadi pembuka tirai ceramah kesihatan yang disampaikan oleh Dr. Mohd Zaquan Arif Abd Ghafar dari Hospital Al-Sultan Abdullah.

Sesi diteruskan oleh pelajar Semester Enam Program Fisioterapi, Wan Syarafana Wan Jafri yang memperkenalkan pelbagai jenis senaman pencegahan sarkopenia yang direka khusus untuk keperluan warga emas.

“Senaman bukan hanya untuk golongan muda, malah merupakan pelaburan jangka panjang demi menjaga kesihatan otot dan sendi agar warga emas dapat menikmati kehidupan yang lebih bebas dan berkualiti,” katanya.

Pelajar Semester Enam Jurusan Fisioterapi, Wan Syarafana Wan Jafri memperkenalkan senaman pencegahan sarkopenia yang direka khusus untuk warga emas.

Sesi ceramah ketiga disampaikan oleh Pegawai Dietetik, Encik Muhammad Hazeem Na’imullah Mohammad Nazari yang membentangkan tajuk “Pemakanan untuk Otot Sihat”.

Dalam ceramah tersebut, beliau menegaskan bahawa pemakanan memainkan peranan penting dalam menyokong kekuatan dan fungsi otot, khususnya melalui pengambilan protein berkualiti dan mikronutrien penting.

“Otot memerlukan makanan yang betul,” jelas beliau.

Jika aspek pemakanan diabaikan, senaman sahaja tidak mencukupi untuk mengekalkan kesihatan otot.

Pegawai Dietetik, Encik Muhammad Hazeem Na’imullah Mohammad Nazari menyampaikan ceramah bertajuk “Pemakanan untuk Otot Sihat” semasa Program Khidmat Masyarakat di UiTM Puncak Alam.

Menurut Penasihat Program, YBrs. Profesor Madya Dr. Maria Justine, program ini merupakan langkah signifikan dalam usaha memperkasakan komuniti warga emas dengan ilmu dan kemahiran dalam pengurusan sarkopenia.

“Kami mahu setiap peserta pulang dengan pengalaman, pengetahuan dan panduan praktikal yang boleh diamalkan. Kehadiran peserta dari pelbagai negeri dan latar belakang membuktikan bahawa kesedaran terhadap isu ini semakin meningkat,” ujarnya.

Program ini turut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para peserta yang berpeluang menyertai aktiviti senaman rintangan yang dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar Semester Enam Jurusan Fisioterapi, selain menyertai bengkel pengisian buku panduan kendiri sarkopenia.

Senaman rintangan dengan menggunakan tali elastik sebagai usaha meningkatkan kekuatan otot dalam kalangan warga emas.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi