Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPetaling Jaya – Musim Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 10 Mei dan akan berterusan sehingga September ini berikutan keadaan angin yang mula bertiup secara konsisten dari arah barat daya ke rantau negara.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), YBrs. Dr. Mohd Hisham Mohd Anip menerusi suatu kenyataannya semalam, kadar kelembapan udara secara lazimnya rendah menyebabkan pembentukan awan hujan kurang di kebanyakan tempat sepanjang musim ini.
“Sehubungan dengan itu, negara akan menerima jumlah hujan yang lebih rendah berbanding dengan tempoh lain, (iaitu) bilangan hari tanpa hujan adalah lebih banyak berbanding dengan bilangan hari hujan,” katanya.
Walau bagaimanapun, jelas beliau lagi, hujan lebat berserta angin kencang dan ribut petir masih boleh berlaku di kawasan barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah, terutamanya pada awal pagi, susulan kehadiran fenomena garis badai (squall line).
Beliau turut memaklumkan bahawa fenomena tersebut merupakan barisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.
“Semasa kemuncak musim ini (bermula) pada Julai hingga September, fenomena jerebu setempat dan rentas sempadan boleh berlaku sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal,” ujarnya.
Oleh itu, beliau mengingatkan kepada khalayak bahawa sebarang pembakaran terbuka perlu dielakkan bagi mengurangkan risiko bencana jerebu yang akan mencemarkan alam sekitar negara, selain penggunaan air secara berhemah sepanjang tempoh ini.