Diterbitkan pada 4 Mei 2025, 16:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperkenalkan transformasi dalam kaedah saringan dan diagnostik penyakit paru-paru menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), khususnya bagi pengesanan awal kanser paru-paru di bawah Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Kebangsaan 2025–2030.

Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, inisiatif ini merupakan pelan komprehensif bagi menangani beban penyakit paru-paru melalui pendekatan pencegahan, saringan awal, rawatan dan kerjasama rentas sektor.

“Pendekatan baharu ini melibatkan penggunaan X-ray dada yang dilengkapi dengan teknologi AI untuk mengesan nodul pulmonari bagi diagnosis awal kanser paru-paru, di samping mampu mengesan penyakit lain seperti tuberkulosis (TB),” katanya dalam sesi taklimat media di kementeriannya, hari ini.

Menurut beliau, kaedah saringan menggunakan X-ray berasaskan AI itu akan dilaksanakan di kemudahan kesihatan primer yang menawarkan kelebihan dari segi kos, akses yang mudah serta keupayaan mengesan penyakit dengan lebih pantas dan tepat.

Lebih signifikan, Malaysia juga bakal membawa resolusi berkaitan dengan kesihatan paru-paru ke pentas antarabangsa melalui Perhimpunan Kesihatan Sedunia (World Health Assembly) yang dijadualkan berlangsung pada bulan ini.

“Hal ini merupakan langkah penting untuk meletakkan kesihatan paru-paru dalam agenda kesihatan global dan menyeru komitmen Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta negara anggota untuk menangani krisis senyap ini secara menyeluruh,” jelas beliau.

Sebanyak tujuh kemudahan kesihatan dikenal pasti sebagai projek perintis bagi pelaksanaan saringan kanser paru-paru menggunakan AI, iaitu Klinik Kesihatan (KK) Seberang Perai (Pulau Pinang), KK Kok Lanas (Kelantan), KK Beserah (Pahang), KK Luyang (Sabah), KK Kajang dan KK Batu 9 Cheras (Selangor) serta KK Pendang (Kedah).

Antara penyakit paru-paru utama di Malaysia termasuklah kanser paru-paru, penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD), asma dan pelbagai jangkitan saluran pernafasan seperti pneumonia, TB, COVID-19 dan influenza.

Kredit Foto: Facebook Dr Dzulkefly Ahmad
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi