Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada setiap 25 April, masyarakat antarabangsa menyambut Hari Malaria Sedunia sebagai usaha bersama untuk meningkatkan kesedaran global terhadap ancaman penyakit malaria yang masih berleluasa di beberapa kawasan dunia. Sambutan ini mempunyai signifikan yang mendalam, terutamanya bagi negara di kawasan tropika, termasuklah Malaysia yang masih berhadapan dengan cabaran penyakit bawaan vektor tersebut dalam sistem kesihatan awam.
Objektif utama sambutan Hari Malaria Sedunia adalah untuk memperkasakan pendidikan masyarakat mengenai aspek pencegahan dan kaedah rawatan yang berkesan bagi penyakit malaria. Secara tidak langsung, sambutan ini juga menekankan kepentingan kerjasama pada peringkat global dan tempatan dalam usaha pembasmian penyakit yang masih menjejaskan jutaan nyawa pada setiap tahun di seluruh dunia.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memainkan peranan penting dengan menetapkan tema khusus pada setiap tahun bagi memberikan tumpuan kepada aspek kritikal dalam strategi pembasmian malaria. Tema yang ditetapkan juga merupakan seruan tindakan yang bertujuan untuk mengarahkan usaha global ke arah matlamat yang sama.
Pada tahun ini, WHO telah menggariskan tema “Malaria Ends with Us: Reinvest, Reimagine, Reignite”. Tema ini mengandungi mesej yang mendalam mengenai keperluan mendesak untuk tindakan segera dan bersepadu dalam memerangi penyakit malaria pada peringkat global. Tiga aspek utama yang ditekankan dalam tema ini ialah keperluan untuk meningkatkan dana dan sumber dalam program pencegahan dan kawalan malaria yang telah terbukti berkesan, dorongan untuk berfikir di luar kotak dan meneroka pendekatan inovatif dalam strategi pembasmian malaria dan seruan untuk memperbaharui komitmen dan semangat dalam perjuangan menentang malaria pada semua peringkat masyarakat.
Pelibatan Malaysia dalam Usaha Pembasmian Malaria
Di Malaysia, sambutan Hari Malaria Sedunia turut mendapat perhatian daripada banyak pihak. Sebagai sebuah negara yang terletak di kawasan tropika, Malaysia telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan dalam usaha kawalan dan pencegahan malaria. Namun begitu, cabaran masih wujud, terutamanya di kawasan pedalaman dan sempadan negara.
Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang selaras dengan strategi global WHO untuk memerangi malaria. Program tersebut merangkumi aktiviti kawalan vektor, peningkatan akses kepada perkhidmatan diagnosis dan rawatan serta program pendidikan kesihatan awam yang komprehensif.
Pelibatan aktif Malaysia dalam usaha serantau dan antarabangsa untuk memerangi malaria mencerminkan komitmen negara terhadap matlamat pembasmian malaria. Kerjasama antara pihak kerajaan, organisasi bukan kerajaan, sektor swasta dengan komuniti setempat telah memainkan peranan penting dalam kejayaan program kawalan malaria di Malaysia.
Malaria
Malaria merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh parasit protozoa daripada genus Plasmodium yang disebarkan melalui gigitan nyamuk Anopheles betina. Terdapat lima spesies parasit Plasmodium yang telah dikenal pasti boleh menyebabkan jangkitan malaria pada manusia. Setiap spesies mempunyai ciri epidemiologi dan manifestasi klinikal yang berbeza-beza. Dua daripada spesies ini juga, iaitu Plasmodium falciparum dan Plasmodium vivax menimbulkan ancaman yang paling besar di kebanyakan negara tropika dan subtropika di seluruh dunia.
Plasmodium falciparum ialah parasit malaria yang amat bahaya dan paling berleluasa di benua Afrika. Sementara itu, Plasmodium vivax ialah parasit malaria yang dominan di kebanyakan negara di luar sub Sahara Afrika.
Spesies malaria lain yang boleh menjangkiti manusia ialah Plasmodium malariae dan Plasmodium ovale. Selain daripada empat jenis Plasmodium ini, terdapat juga parasit malaria zoonotik, Plasmodium knowlesi yang disebarkan daripada haiwan seperti monyet kepada manusia dan kini menjadi ancaman utama di Malaysia.
Istilah malaria zoonotik merujuk penyakit malaria yang disebabkan oleh parasit yang ditularkan dari haiwan kepada manusia melalui gigitan nyamuk vektor. Malaria zoonotik biasanya melibatkan interaksi antara manusia, nyamuk dan haiwan yang berperanan sebagai reservoir atau pembawa parasit malaria tersebut.

Ancaman Penyakit Malaria Zoonotik Bawaan Monyet di Malaysia
Malaysia telah mencapai pencapaian yang membanggakan dengan mencatatkan sifar kes malaria tempatan bawaan manusia sejak tahun 2018. Walau bagaimanapun, negara kini berhadapan dengan ancaman baharu yang utama, iaitu parasit malaria zoonotik, Plasmodium knowlesi.
Dalam konteks global, Malaysia merupakan negara yang telah melaporkan jumlah kes zoonotik Plasmodium knowlesi yang tertinggi di dunia, berlawanan dengan pengurangan drastik kes malaria manusia. Pada masa ini, Plasmodium knowlesi telah menjadi spesies utama yang dilaporkan dalam kes malaria knowlesi di Malaysia, dengan kebanyakan kes dilaporkan berasal dari Sabah dan Sarawak.
Walaupun program kawalan malaria yang berkesan telah berjaya mengurangkan beban malaria manusia dengan ketara di Malaysia, kehadiran Plasmodium knowlesi telah menyebabkan peningkatan bilangan kes malaria zoonotik secara drastik sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Keadaan ini telah menyebabkan kesan yang tidak diingini terhadap status kesihatan awam negara. Sungguhpun Malaysia telah bebas daripada parasit malaria bawaan manusia selama tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2018, peningkatan kes malaria knowlesi telah menyebabkan penangguhan pensijilan status bebas malaria oleh WHO.
Kitaran Hidup Parasit Plasmodium Penyebab Malaria
Kesemua spesies parasit Plasmodium mempunyai kitaran hidup yang serupa. Kitaran ini terbahagi kepada dua fasa utama, iaitu fasa di dalam perumah manusia dan fasa di dalam vektor nyamuk. Nyamuk Anopheles merupakan vektor yang menyebarkan parasit Plasmodium yang menjangkiti manusia secara semula jadi dan seterusnya menyebabkan penyakit malaria.
Fasa dalam perumah manusia
Kitaran hidup parasit Plasmodium dalam manusia bermula apabila nyamuk Anopheles yang terjangkit menggigit. Semasa gigitan, parasit pada peringkat sporozoit yang berada pada kelenjar air liur nyamuk akan memasuki aliran darah manusia. Sporozoit ini kemudian akan menuju ke hati dan menjangkiti sel hati. Seterusnya, parasit ini membiak dan berubah menjadi skizon.
Selepas tempoh pematangan, skizon akan pecah untuk membebaskan merozoit ke dalam aliran darah. Merozoit yang dibebaskan ini akan menjangkiti sel darah merah. Di dalam sel darah merah, parasit berkembang untuk menjadi tropozoit yang berbentuk cincin.
Kitaran ini berulang pada setiap 24 jam hingga 72 jam (bergantung pada spesies Plasmodium) dan menyebabkan manifestasi gejala malaria seperti demam berselang, menggigil dan anemia akibat kemusnahan sel darah merah. Sesetengah parasit akan melalui proses pematangan untuk menjadi gametosit (sel seksual) di dalam sel darah merah. Terdapat dua jenis gametosit, iaitu gametosit jantan dan gametosit betina.
Fasa dalam vektor nyamuk
Peringkat kitaran seterusnya berlangsung di dalam tubuh nyamuk. Apabila nyamuk Anopheles menggigit manusia yang terjangkit, nyamuk tersebut akan mengambil gametosit bersama-sama darah yang dihisap. Di dalam perut nyamuk, gametosit jantan akan bersenyawa dengan gametosit betina untuk membentuk zigot.
Zigot yang terbentuk akan berkembang menjadi ookinet, iaitu bentuk bergerak yang menembusi dinding perut nyamuk. Ookinet akhirnya akan membentuk oosista di dinding perut nyamuk yang kemudiannya akan membahagi untuk menghasilkan sporozoit yang baru.
Sporozoit ini akan bergerak ke kelenjar air liur nyamuk. Apabila nyamuk yang dijangkiti menggigit manusia yang lain, sporozoit yang terdapat dalam air liur nyamuk akan masuk ke dalam aliran darah manusia dan kitaran hidup parasit Plasmodium akan bermula semula.
Sememangnya, pemahaman yang mendalam tentang kitaran hidup ini sangat penting dalam usaha untuk membasmi malaria. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap fasa dalam kitaran ini menyediakan peluang untuk intervensi, terutamanya dalam kajian vaksin malaria.

Faktor Peningkatan Kes Malaria Zoonotik
Peningkatan kes malaria zoonotik dipengaruhi oleh pelbagai faktor yang saling berkaitan. Faktor ini meliputi aspek perubahan ekologi, aktiviti manusia serta kemajuan dalam teknologi diagnostik perubatan.
Aktiviti penerokaan dan perubahan guna tanah
Satu daripada faktor utama peningkatan kes malaria zoonotik ialah aktiviti penerokaan hutan yang intensif bagi tujuan pertanian, pembalakan dan pembangunan infrastruktur. Aktiviti penerokaan hutan secara berleluasa telah mengakibatkan kehilangan habitat semula jadi bagi haiwan seperti monyet ekor panjang (Macaca fascicularis) yang merupakan satu daripada perumah semula jadi bagi parasit P. knowlesi. Apabila habitat haiwan ini terganggu, monyet ini lebih cenderung bergerak ke kawasan berdekatan dengan manusia, lalu meningkatkan risiko penularan parasit daripada haiwan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Anopheles yang berperanan sebagai vektor.

Pembentukan habitat pembiakan nyamuk
Perubahan guna tanah juga mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk pembiakan nyamuk. Sebagai contoh, aktiviti pertanian seperti penanaman kelapa sawit dan tanaman komersial lain menghasilkan kawasan tadahan air yang ideal untuk pembiakan nyamuk Anopheles, sekali gus meningkatkan populasi vektor dan kebarangkalian penularan malaria zoonotik. Selain itu, sistem pengairan seperti saliran terbuka, terusan dan takungan air untuk tujuan pertanian juga menyediakan habitat yang ideal bagi larva Anopheles.
Pertembungan antara manusia dengan habitat semula jadi
Di samping itu, aktiviti ekopelancongan dan penempatan manusia yang semakin berkembang di kawasan berhampiran habitat semula jadi turut menyumbang kepada peningkatan kes. Ketika manusia berada lebih dekat dengan ekosistem semula jadi, risiko penyebaran penyakit zoonotik, termasuklah malaria zoonotik meningkat dengan ketara.
Kemajuan teknik diagnostik
Tambahan pula, kemajuan dalam teknik pendiagnostikan molekul juga telah menjadi satu daripada faktor utama dalam peningkatan jumlah kes malaria zoonotik yang dilaporkan. Dahulu, pengesanan malaria zoonotik menghadapi cabaran yang besar kerana kaedah diagnostik yang digunakan seperti mikroskopi mempunyai keterbatasan dalam mengenal pasti spesies Plasmodium dengan tepat.
Plasmodium knowlesi sering disalah anggap sebagai Plasmodium malariae dalam ujian mikroskopi. Hal ini dikatakan demikian kerana kedua-dua spesies ini mempunyai ciri morfologi yang hampir serupa pada filem darah tebal dan nipis.
Oleh sebab itu, banyak kes Plasmodium knowlesi mungkin tidak dilaporkan dengan betul pada masa lalu dan menyebabkan jumlah kes malaria zoonotik yang direkodkan kelihatan lebih rendah daripada keadaan sebenar. Namun begitu, dengan perkembangan teknik pendiagnostikan molekul seperti tindak balas berantai polimerase (PCR), identifikasi spesies Plasmodium kini dapat dilakukan dengan lebih tepat dan sensitif. Teknik ini dapat mengesan asid deoksiribonukleik (DNA) parasit secara langsung dan mampu membezakan Plasmodium knowlesi daripada Plasmodium malariae serta spesies Plasmodium yang lain.
Kebarangkalian Jangkitan Manusia oleh Spesies Plasmodium Zoonotik Lain
Walaupun Plasmodium knowlesi merupakan spesies parasit malaria zoonotik yang paling dikenali dan dilaporkan, terdapat beberapa spesies Plasmodium zoonotik lain yang juga berpotensi menyebabkan jangkitan terhadap manusia. Antaranya termasukla Plasmodium cynomolgi dan Plasmodium inui.
Kes jangkitan Plasmodium cynomolgi dalam kalangan manusia telah mula dilaporkan di beberapa negara Asia Tenggara, termasuklah Malaysia dan Thailand. Parasit ini, seperti juga Plasmodium inui, biasanya ditemukan dalam populasi monyet di rantau Asia Tenggara. Kedua-dua spesies ini dianggap sebagai parasit malaria zoonotik yang berpotensi menjangkiti manusia, walaupun kes yang dilaporkan masih jarang-jarang berbanding dengan Plasmodium knowlesi.
Peningkatan dalam kajian epidemiologi dan kemajuan teknologi pendiagnostikan molekul telah menunjukkan bahawa kebarangkalian jangkitan manusia oleh parasit ini bukanlah sesuatu yang mustahil. Terdapat juga bukti kukuh bahawa spesies ini boleh menyebabkan malaria zoonotik dalam kalangan manusia.
Pada masa yang sama, peningkatan interaksi manusia dengan habitat monyet serta kemajuan dalam kaedah diagnostik akan menyebabkan kebarangkalian lebih banyak kes dilaporkan pada masa hadapan. Perkembangan ini menimbulkan keperluan untuk pemantauan yang lebih rapi terhadap spesies Plasmodium zoonotik selain Plasmodium knowlesi dalam strategi kawalan dan pencegahan malaria di kawasan yang berisiko.
Hala Tuju Masa Hadapan
Kesimpulannya, selain Plasmodium knowlesi, parasit Plasmodium zoonotik lain seperti Plasmodium cynomolgi dan Plasmodium inui juga berpotensi menjadi masalah kesihatan awam di Malaysia dan negara jiran dalam masa terdekat. Gangguan terhadap persekitaran semula jadi monyet dan vektor serta evolusi parasit ini mungkin akan mendorong kepada penularan penyakit zoonotik ini pada masa hadapan. Sememangnya, pemusnahan habitat secara meluas dan perubahan iklim yang drastik telah memberikan impak yang besar kepada dinamik penularan Plasmodium zoonotik baharu ini.
Oleh itu, penyelidikan molekul amat diperlukan untuk pengesanan spesies Plasmodium zoonotik dengan lebih tepat melalui teknik seperti PCR yang membantu dalam diagnosis awal dan rawatan yang lebih berkesan. Pendekatan multidisiplin yang menggabungkan bidang entomologi, epidemiologi, perubatan dan ekologi dapat mengenal pasti faktor persekitaran serta dinamika vektor yang mempengaruhi transmisi malaria zoonotik. Selain itu, kerjasama antara penyelidik, pakar kesihatan awam dan pihak berkuasa dalam pemantauan vektor, perlindungan habitat serta pendidikan masyarakat amat penting dalam mengurangkan risiko jangkitan dan membendung peningkatan kes malaria zoonotik.
Dalam konteks Hari Malaria Sedunia 2025, tema “Malaria Ends with Us: Reinvest, Reimagine, Reignite” amat relevan kepada Malaysia. Memahami dinamik penularan malaria zoonotik adalah langkah penting dalam memperbaharui usaha global untuk menghapuskan malaria dengan memberikan fokus kepada ancaman malaria zoonotik.
Oleh itu, penemuan awal dan tindakan proaktif sangat penting untuk mencegah penularan malaria zoonotik dalam kalangan manusia, sekali gus mengurangkan risiko penyakit ini pada masa akan datang. Hari Malaria Sedunia 2025 mengingatkan kita bahawa usaha global dalam membasmi malaria tidak hanya tertumpu pada Plasmodium yang biasa dijangkiti oleh manusia, malah perlu memperluaskan perhatian kepada ancaman Plasmodium zoonotik yang semakin meningkat.
Oleh sebab itu, langkah pencegahan yang berkesan harus disesuaikan dengan perubahan alam sekitar dan dinamik vektor untuk memastikan dunia bebas daripada malaria. Sememangnya, pendekatan yang lebih holistik seperti pemantauan berterusan terhadap populasi nyamuk vektor, pemerkasaan komuniti dalam aspek pencegahan penyakit dan kajian lanjut mengenai strategi kawalan malaria zoonotik amat diperlukan untuk menangani isu ini
Melalui usaha yang bersepadu, penularan penyakit ini dapat dikurangkan, sekali gus melindungi kesihatan masyarakat yang terdedah kepada risiko jangkitan. Strategi yang menyeluruh bukan sahaja akan membantu menangani cabaran malaria zoonotik pada masa kini, malah akan memperkukuh sistem kesihatan awam untuk menghadapi ancaman serupa pada masa hadapan.
Dr. Nantha Kumar a/l Jeyaprakasam (Pensyarah Kanan bidang parasitologi dan entomologi perubatan dalam Program Sains Bioperubatan) dan Mohamad Zulfikrie Mohd Zulkifli (Pelajar Sarjana Muda Sains Bioperubatan),
Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan (CORE),
Fakulti Sains Kesihatan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.