Diterbitkan pada 23 April 2025, 13:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kajian yang dijalankan oleh penyelidik Program Pemantauan Ubat Antarabangsa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Uppsala Monitoring Centre pada tahun 2019 menunjukkan bahawa secara umumnya kadar penggunaan ubat dalam kalangan wanita adalah lebih tinggi berbanding dengan lelaki. Secara tidak langsung, keadaan ini telah mengetengahkan kepentingan kesedaran dan pengetahuan dalam kalangan wanita berhubung penggunaan ubat-ubatan yang selamat dan berkesan.

Hal ini menjadi semakin penting memandangkan wanita juga lebih kerap dilaporkan mengalami kesan sampingan akibat pengambilan ubat. Sehubungan dengan itu, amalan pengambilan ubat dengan betul dan selamat dalam kalangan wanita merupakan aspek yang perlu diberikan perhatian oleh pihak yang berkepentingan dalam sektor kesihatan.

Kategori Ubat-ubatan yang Digunakan oleh Wanita

Ubat-ubatan yang lazim diambil oleh wanita secara umumnya boleh dikategorikan kepada dua kumpulan utama:

1. Ubat-ubatan khusus untuk wanita

Kategori ini merangkumi ubat-ubatan yang diambil bagi merawat gejala atau masalah kesihatan yang dihidapi seiring dengan perubahan fisiologi tubuh wanita. Antara ubat-ubatan dalam kategori ini termasuklah:

  • Hormon dan ubat pencegah kehamilan

Digunakan untuk perancangan keluarga dan pengawalan kitaran haid. Ubat-ubatan ini mengandungi hormon sintetik seperti estrogen dan progesteron yang bertindak mengubah keseimbangan hormon semula jadi dalam badan.

  • Terapi hormon

Digunakan terutamanya untuk merawat gejala selepas menopaus seperti panas muka (hot flashes), perubahan mood dan penurunan ketumpatan tulang.

  • Suplemen kesihatan

Wanita, terutamanya yang merancang untuk hamil atau sedang hamil sering kali mengambil suplemen vitamin dan mineral seperti asid folik, zat besi dan kalsium. Suplemen ini penting untuk mengurangkan risiko kecacatan neural pada janin, mencegah anemia dan mengekalkan kesihatan tulang.

2. Ubat-ubatan umum yang diambil oleh kedua-dua jantina

Kategori ini merangkumi ubat-ubatan yang digunakan oleh kedua-dua jantina, namun mungkin memberikan kesan yang berbeza kepada wanita berbanding dengan lelaki:

  • Ubat-ubatan untuk rawatan penyakit kronik

Termasuklah ubat untuk diabetes, hipertensi, sawan, asma dan masalah psikiatri. Farmakokinetik dan farmakodinamik ubat-ubatan ini mungkin dipengaruhi oleh faktor hormon dan fisiologi yang berbeza antara wanita dengan lelaki.

  • Ubat-ubatan untuk sakit ringan

Antaranya termasuk analgesik (ubat tahan sakit) seperti paracetamol serta ubat antiradang bukan steroid (NSAID) seperti ibuprofen dan asid mefenamat. Ubat-ubatan ini kerap digunakan untuk meredakan sakit haid, sakit kepala dan kesakitan muskuloskeletal.

Pertimbangan Keselamatan dalam Penggunaan Ubat oleh Wanita

Terdapat beberapa pertimbangan penting berhubung keselamatan penggunaan ubat dalam kalangan wanita:

1. Status pendaftaran ubat

Wanita harus memastikan ubat-ubatan yang diambil telah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pendaftaran ubat merupakan petunjuk penting bahawa ubat tersebut telah melalui penilaian kualiti, keselamatan dan keberkesanan yang ketat.

2. Konsultasi dengan ahli profesional kesihatan

Sebelum mengambil sebarang ubat, wanita digalakkan untuk merujuk kepada doktor atau ahli farmasi. Langkah ini adalah penting kerana:

  • Sesetengah ubat mungkin tidak sesuai untuk wanita dalam keadaan tertentu seperti semasa kehamilan, penyusuan atau keadaan kesihatan tertentu.
  • Terdapat kemungkinan interaksi antara ubat yang diambil dengan ubat lain, makanan atau suplemen.
  • Kesensitifan terhadap sesetengah ubat mungkin berbeza antara individu, bergantung pada faktor genetik, umur dan keadaan kesihatan.

Panduan Pengambilan Ubat oleh Wanita Hamil

Sebilangan besar wanita akan melalui fasa kehamilan dan seterusnya penyusuan bayi dalam kehidupan mereka. Penggunaan ubat-ubatan sepanjang fasa ini memerlukan perhatian khusus kerana sesetengah ubat-ubatan boleh memberikan kesan langsung kepada bayi dalam kandungan atau yang sedang disusukan.

Penggunaan ubat tertentu semasa trimester pertama kehamilan mampu meningkatkan risiko keguguran atau kecacatan janin kerana fasa ini merupakan tempoh perkembangan organ penting bayi. Ubat-ubatan tersebut boleh dipindahkan kepada bayi dalam kandungan melalui plasenta yang bertindak sebagai medium pertukaran nutrien, gas dan bahan lain antara ibu dan janin.

Beberapa contoh ubat yang perlu dielakkan termasuklah vitamin A pada dos tinggi yang boleh menyebabkan kecacatan kongenital pada sistem kardiovaskular, saraf pusat dan kraniofasial janin. Selain itu, thalidomide diketahui menyebabkan kecacatan anggota badan yang teruk seperti fokomelia (ketiadaan atau kekurangan perkembangan anggota). Ubat antiepilepsi tertentu seperti sodium valproate pula telah dikaitkan dengan peningkatan risiko kecacatan neural dan kognitif pada bayi, manakala ubat pencair darah seperti warfarin boleh menyebabkan masalah pendarahan dan kecacatan janin, terutamanya jika digunakan pada trimester pertama.

Pesakit wanita yang sedang menjalani rawatan, terutamanya yang melibatkan ubat-ubatan yang berpotensi menjejaskan kehamilan, hendaklah memaklumkan ahli profesional kesihatan sekiranya mereka merancang untuk hamil. Pendekatan proaktif ini membolehkan pengubahsuaian rawatan dilakukan oleh doktor dengan menilai semula rejimen ubat sedia ada dan membuat pengubahsuaian yang sesuai dengan mempertimbangkan nisbah risiko-manfaat.

Di samping itu, tindakan itu dapat memastikan penyakit yang dihidapi oleh ibu sentiasa terkawal kerana ketidakstabilan keadaan kesihatan ibu juga boleh memberikan  kesan negatif kepada janin. Pemakluman awal juga membolehkan pemantauan yang lebih rapi terhadap perkembangan janin bagi mengesan sebarang komplikasi pada peringkat awal.

Wanita hamil juga memerlukan ubat-ubatan dan suplemen khusus untuk memastikan kesihatan optimum ibu dan perkembangan janin yang sihat. Zat besi dan asid folik memainkan peranan penting dalam mencegah anemia dan membantu perkembangan neural janin.

Waktu terbaik untuk pengambilan zat besi adalah ketika perut kosong, iaitu satu jam sebelum makan atau dua jam selepas makan bagi memastikan penyerapan yang optimum. Walau bagaimanapun, jika berlaku ketidakselesaan perut, zat besi boleh diambil bersama-sama sedikit makanan tanpa menjejaskan penyerapan secara signifikan.

Penyerapan zat besi juga dapat ditingkatkan melalui pengambilan bersama-sama suplemen atau minuman yang kaya vitamin C. Sebaliknya, minuman bersusu, suplemen kalsium, antasid atau minuman berkafein perlu dielakkan kerana boleh mengganggu penyerapan zat besi.

Selain zat besi dan asid folik, kalsium dan vitamin D juga penting untuk kesihatan tulang ibu dan pembentukan rangka tulang bayi. Pengambilan suplemen kalsium digalakkan pada waktu yang berlainan daripada suplemen zat besi untuk mengelakkan interaksi yang mengurangkan penyerapan. Vitamin D pula membantu meningkatkan penyerapan kalsium, justeru pengambilan kedua-duanya secara serentak adalah disarankan untuk kesan yang optimum pada kesihatan tulang ibu dan perkembangan tulang janin.

Panduan Pengambilan Ubat oleh Wanita yang Menyusukan Bayi

Sesetengah ubat yang diambil semasa penyusuan boleh meresap masuk ke dalam susu ibu dan berpotensi memberikan kesan kepada bayi yang menyusu. Jumlah ubat yang masuk ke dalam susu bergantung pada beberapa faktor seperti jenis ubat yang diambil, dos yang ditetapkan untuk rawatan serta kepekatan ubat yang terdapat di dalam badan ibu ketika proses penyusuan.

Pengambilan ubat-ubatan semasa penyusuan memerlukan pertimbangan klinikal yang teliti dan pendekatan yang berhemah. Jika pengambilan ubat-ubatan perlu diteruskan sepanjang tempoh penyusuan, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk meminimumkan risiko pendedahan ubat kepada bayi.

Satu daripada strategi utama adalah dengan mengambil ubat sebaik sahaja selepas sesi penyusuan. Pendekatan ini memberikan peluang kepada badan ibu untuk memproses ubat tersebut sebelum sesi penyusuan yang seterusnya, lantas mengurangkan kepekatan ubat dalam susu ibu semasa sesi penyusuan berikutnya. Di samping itu, perbincangan dengan doktor adalah amat digalakkan untuk membolehkan pengubahsuaian dos dan tempoh rawatan yang lebih sesuai dengan keperluan kesihatan ibu serta memastikan keselamatan bayi yang sedang menyusu.

Walau bagaimanapun, terdapat keadaan apabila pengambilan ubat tertentu berpotensi mendatangkan kemudaratan kepada bayi. Dalam situasi sedemikian, proses penyusuan mungkin perlu dihentikan buat sementara waktu sehingga rawatan selesai atau sehingga ubat tersebut dikeluarkan sepenuhnya daripada sistem badan ibu.

Sepanjang tempoh penangguhan penyusuan ini, ibu dinasihatkan untuk memerah dan membuang susu tersebut. Langkah ini adalah untuk mengelakkan susu yang mengandungi ubat daripada diberi kepada bayi di samping mengekalkan penghasilan susu ibu. Proses penyusuan juga dapat disambung semula dengan lancar sebaik sahaja tempoh rawatan selesai dan ubat telah disingkirkan sepenuhnya daripada sistem badan ibu.

Panduan Pengambilan Ubat Pencegah Kehamilan

Wanita yang telah melahirkan bayi juga lazimnya akan disarankan untuk mengambil ubat pencegah kehamilan bagi tempoh tertentu sebelum ingin hamil semula. Pengambilan ubat pencegah kehamilan perlu dilakukan dengan betul bagi memastikan keberkesanan yang maksimum. Hal ini termasuklah memahami jenis ubat pencegah kehamilan yang sesuai dengan keadaan kesihatan individu serta kaedah pengambilan yang tepat.

Pemilihan jenis ubat pencegah kehamilan merupakan aspek penting yang perlu diberikan perhatian dan perlu disesuaikan dengan keadaan kesihatan wanita yang akan mengambilnya. Terdapat dua kategori utama ubat pencegah kehamilan oral, iaitu yang mengandungi kombinasi hormon estrogen dan progesteron atau yang mengandungi hormon progesteron sahaja.

Setiap kategori mempunyai kesesuaian yang berbeza, bergantung pada keadaan fisiologi wanita. Misalnya, wanita yang sedang menyusukan bayi lebih sesuai mengambil ubat pencegah kehamilan yang mengandungi hormon progesteron sahaja kerana ubat jenis ini tidak mengganggu proses penyusuan.

Hal ini dikatakan demikian kerana formulasi yang mengandungi estrogen boleh mengurangkan penghasilan susu ibu, seterusnya menjejaskan kualiti dan kuantiti susu yang dihasilkan. Selain itu, wanita yang mempunyai faktor risiko tertentu seperti tekanan darah tinggi, migrain dengan aura atau merokok pada usia melebihi 35 tahun juga lebih sesuai mengambil ubat progesteron sahaja berbanding dengan jenis kombinasi.

Kaedah pengambilan ubat pencegah kehamilan perlu difahami dengan jelas kerana caranya berbeza mengikut jenis formulasi. Sebahagian ubat pencegah kehamilan perlu diambil secara berterusan setiap hari tanpa henti, manakala yang lain perlu diambil secara kitaran selama 21 hari diikuti dengan tempoh rehat selama 7 hari.

Bagi ubat yang diambil secara kitaran, wanita biasanya akan mengalami pendarahan haid semasa tempoh rehat tersebut. Untuk memastikan keberkesanan yang optimum, ubat pencegah kehamilan harus diambil pada waktu yang sama setiap hari bagi mengekalkan tahap hormon yang stabil dalam badan.

Jika berlaku keadaan apabila dos ubat terlewat atau tertinggal, tindakan segera perlu diambil untuk mengelakkan risiko kehamilan yang tidak dirancang. Sekiranya terlewat atau tertinggal satu dos, pil tersebut perlu diambil secepat mungkin sebaik sahaja teringat, walaupun hal ini bermakna mengambil dua pil pada hari yang sama.

Namun begitu, jika dua atau lebih dos tertinggal secara berturut-turut, keberkesanan ubat pencegah kehamilan mungkin terjejas. Dalam keadaan sedemikian, kaedah perancang keluarga alternatif seperti kondom perlu digunakan selama tujuh hari berikutnya sebagai tambahan kepada pengambilan ubat pencegah kehamilan yang diteruskan mengikut jadual.

Sebagai kesimpulannya, pengambilan ubat secara selamat adalah penting untuk menjaga kesihatan wanita dan mengelakkan kesan sampingan yang tidak diingini. Kajian oleh WHO menunjukkan bahawa wanita lebih cenderung mengalami kesan sampingan ubat berbanding dengan lelaki.

Keperluan ubat wanita juga berubah sepanjang fasa hidup mereka yang merangkumi proses kehamilan, penyusuan dan penggunaan pencegah kehamilan. Oleh itu, pengambilan ubat perlu disesuaikan mengikut setiap fasa untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan.

Wanita juga disarankan untuk sentiasa berbincang dengan doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil sebarang ubat, terutamanya ketika hamil, menyusukan anak atau menghidap masalah kesihatan lain. Pendekatan yang lebih berhati-hati serta pengetahuan yang tepat akan membolehkan wanita membuat keputusan kesihatan yang lebih baik dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup mereka.

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).

Khairunnisa Mohamad,
Pegawai Farmasi,
Hospital Kepala Batas.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi