Diterbitkan pada 16 April 2025, 13:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bukit batu kapur di Semenanjung Malaysia merupakan ekosistem yang bersifat tidak boleh diperbaharui. Formasi geologi ini mempunyai nilai estetik yang tinggi dari segi panorama dan menyokong kepelbagaian biologi yang luar biasa. Malaysia, sebagai salah sebuah negara yang tergolong dalam kelompok dua belas negara megadiversiti tertinggi dunia berdasarkan Indeks Biodiversiti Kebangsaan mempunyai tanggungjawab besar untuk memelihara khazanah alam yang tidak ternilai ini.

Meskipun bukit batu kapur hanya meliputi sekitar 0.04 peratus daripada keseluruhan keluasan Semenanjung Malaysia, kawasan ini telah merekodkan lebih daripada 1300 spesies flora batu kapur. Kewujudan biodiversiti yang tinggi dalam kawasan yang relatif kecil ini menggambarkan nilai ekologi yang sangat signifikan, sekali gus menjadikan bukit batu kapur sebagai habitat yang penting dari sudut pemuliharaan.

Dari sudut geografi, taburan bukit batu kapur di Semenanjung Malaysia membentuk satu jajaran utama yang melintasi beberapa negeri yang bermula dari utara di Perlis dan Kedah, merentasi bahagian tengah di Perak dan Selangor, sehinggalah ke kawasan timur seperti Pahang, Kelantan dan Terengganu. Kepelbagaian lokasi ini menyumbang kepada pembentukan pelbagai ekosistem mikro yang unik, yang seterusnya memperkaya kepelbagaian biologi tempatan.

Namun begitu, kewujudan ekosistem berharga ini kini diancam oleh pelbagai tekanan antropogenik. Aktiviti kuari yang berleluasa, pembukaan kawasan bagi tujuan pertanian serta pembangunan tempatan yang tidak terancang telah mengganggu kestabilan dan keutuhan habitat semula jadi ini. Sekiranya tiada usaha pemuliharaan yang sistematik dan bersepadu dilaksanakan, kepupusan biodiversiti yang terkandung di dalam ekosistem bukit batu kapur berpotensi berlaku dalam skala yang tidak dapat dipulihkan.

Keunikan Flora Batu Kapur

Flora batu kapur sangat menarik untuk dikaji kerana keupayaannya beradaptasi dalam persekitaran yang ekstrem. Tumbuhan ini mampu hidup di kawasan yang dilitupi dengan mineral batu kapur seperti di celahan batuan, kaki bukit yang terlindung, puncak bukit yang terdedah kepada cahaya matahari, gua dan pada dinding bukit batu yang curam.

Terdapat lapan spesies flora yang istimewa dan terpilih yang boleh ditemukan di bukit batu kapur, iaitu Pandanus irregularis, Pyrrosia penangiana, Phlegmariurus iminii, Impatiens foxworthyi, Microchirita caliginosa, Miliusa eupoda, Hoya verticillata dan Phanera bidentata.

Pandanus irregularis merupakan spesies daripada famili Pandanaceae yang dikenali secara tempatan sebagai pokok pandan. Spesies ini mempunyai ciri morfologi yang tersendiri seperti batang yang berduri halus dan daun berbentuk tirus dengan duri kecil pada bahagian tepinya.

Keistimewaan Pandanus irregularis terletak pada kemampuannya untuk bertahan dalam habitat yang ekstrem. Spesies ini sering ditemukan tumbuh dalam celahan batuan di tebing dan puncak bukit batu kapur yang sangat terdedah kepada cahaya matahari langsung.

Pandanus irregularis boleh ditemukan pada celahan batuan, puncak dan tebing bukit batu kapur.

Kepelbagaian spesies flora batu kapur di Semenanjung Malaysia amat tinggi, khususnya apabila dibandingkan antara bukit batu kapur yang berbeza. Antara kelompok tumbuhan yang ketara termasuklah paku-pakis yang mampu hidup dalam habitat yang ekstrem.

Sebahagian daripada spesies paku-pakis mampu tumbuh dalam celahan batu kapur yang mengandungi tanah yang sangat sedikit. Contohnya, Pyrrosia penangiana daripada famili Polypodiaceae ialah tumbuhan epifit yang gemar tumbuh di kawasan tebing yang terlindung daripada cahaya matahari.

Sorus berwarna coklat gangsa berbentuk bulat dan terkumpul pada hujung daun dan membentuk corak seperti jantung.

Walaupun bukit batu kapur sering mendapat perhatian dari sudut geologi dan landskap semula jadi, keistimewaan floranya masih kurang dikenali oleh orang ramai. Hakikatnya, banyak spesies flora unik dan menarik hidup tersembunyi dalam ekosistem ini.

Misalnya, Phlegmariurus iminii, iaitu sejenis paku-pakis daripada famili Lycopodiaceae merupakan spesies epifit baharu yang ditemukan di bukit batu kapur di Pahang, Tumbuhan ini tumbuh pada batang pokok di puncak bukit batu kapur.

Spesies ini hidup dalam keadaan yang terlindung daripada cahaya matahari langsung dan menumpang pada pokok yang tumbuh di celahan batu kapur. Keupayaannya untuk bertahan dalam persekitaran yang sempit, lembap dan kurang pencahayaan menjadikannya antara flora istimewa yang wajar diberikan perhatian yang khusus.

Spesies paku pakis Phlegmariurus iminii mempunyai daun halus dan berbentuk tirus yang menyelaputi secara padat, lalu membentuk tiub penyedut minuman yang kecil dan berjurai ke bawah.

Meskipun habitat di bukit batu kapur terkenal dengan keadaan yang ekstrem, kawasan ini masih menyokong pertumbuhan tumbuhan herba, termasuklah daripada famili Balsaminaceae yang dikenali secara tempatan sebagai keembung. Satu daripada spesies menarik daripada famili ini ialah Impatiens foxworthyi yang tumbuh di celahan batuan di kawasan kaki bukit batu kapur yang lembap dan terlindung daripada cahaya matahari langsung.

Spesies ini agak istimewa kerana bunganya berwarna kuning terang dan berbintik merah gelap. Ketika musim berbunga, tumbuhan ini sering kelihatan tumbuh subur pada permukaan batu kapur, terutamanya semasa musim hujan. Selain itu, Impatiens foxworthyi turut dikenali melalui ciri daunnya yang unik, iaitu berurat putih yang jelas kelihatan dan memberikan identiti morfologi yang tersendiri.

Impatiens foxworthyi yang mempunyai urat daun berwarna putih dan berbunga kuning pekat.

Antara tumbuhan herba yang sering ditemukan di kaki bukit batu kapur termasuklah Microchirita caliginosa yang tergolong dalam famili Gesneriaceae. Spesies ini mempunyai keupayaan luar biasa untuk hidup di celahan rekahan dinding batu kapur, khususnya di kawasan yang redup dan lembap.

Keistimewaan Microchirita caliginosa terletak pada bunganya yang berwarna ungu pekat yang amat menarik perhatian. Spesies ini mempunyai kapsul buah yang berbentuk lonjong dan halus serta banyak dijumpai selepas musim hujan. Ketika musim berbunga, spesies ini boleh dilihat memenuhi permukaan dinding batu kapur dan pada muka pintu gua.

Bunga Microchirita caliginosa yang berbentuk trumpet dan berbunga ungu pekat.

Selain flora herba dan paku-pakis, habitat bukit batu kapur turut menjadi tempat tumbuhnya beberapa spesies pokok kecil. Antaranya termasuklah Miliusa eupoda daripada famili Annonaceae yang turut dikenali dalam kalangan masyarakat tempatan sebagai pokok mempisang.

Spesies ini merupakan pokok renek yang boleh mencapai ketinggian hingga dua meter. Ketika berbuah, pokok ini menghasilkan buah yang banyak dengan tangkai yang panjang.

Buahnya berwarna hijau ketika muda dan akan bertukar menjadi merah atau hitam apabila masak. Milusa eupoda lazimnya ditemukan di kaki bukit batu kapur dan cenderung tumbuh subur dalam keadaan redup, terutamanya di bawah naungan kanopi pokok besar lain.

Spesies ini jarang-jarang ditemukan dan hanya hidup pada satu-satu kawasan bukit sahaja walaupun terdapat bukit lain yang berdekatan. Spesies ini juga sangat memilih keadaan habitat di bukit batu kapur kerana terdapat elemen mikrohabitat tertentu yang menjadikan spesies ini istimewa.

Miliusa eupoda berbuah lebat yang berwarna merah gelap.

Selain spesies herba, paku-pakis dan pokok renek, bukit batu kapur di Semenanjung Malaysia turut merekodkan kehadiran tumbuhan pemanjat yang menarik untuk dikenali. Antara spesies tersebut termasuklah Hoya verticillata yang tergolong dalam famili Apocynaceae.

Tumbuhan pemanjat ini dikenali melalui bunganya yang berbentuk seperti bintang. Spesies ini mempunyai jambak bunga yang padat dengan bunga yang akan membentuk seperti bola tenis. Keindahan morfologi bunganya menjadikan spesies ini antara tumbuhan pemanjat yang signifikan dari sudut estetika dan kajian taksonomi.

Pada habitat asal, Hoya verticillata jarang-jarang ditemukan berbunga. Namun begitu, spesies ini mudah dikenali kerana mempunyai daun yang tebal dan berbentuk eliptik atau telur.

Bunga Hoya verticilata berbentuk bintang dan mempunyai daun yang tebal.

Dalam kalangan tumbuhan pemanjat yang menghuni bukit batu kapur, Phanera bidentata daripada famili Fabaceae merupakan antara spesies yang sering ditemukan pada kanopi pokok di bukit batu kapur. Keunikan spesies ini terserlah melalui bunganya yang terdiri daripada lima kelopak berwarna kuning dan jingga serta daunnya yang berbentuk seperti ladam kuda. Spesies ini juga mempunyai daun muda berwarna merah dan apabila matang, warna tersebut bertukar menjadi warna hijau.

Tidak seperti sesetengah spesies yang memerlukan kawasan terlindung, Phanera bidentata menunjukkan kecenderungan untuk hidup di kawasan yang terdedah kepada cahaya matahari, khususnya di tebing bukit batu kapur yang tinggi. Adaptasi ini menjadikannya sebagai tumbuhan pemanjat yang dominan dalam persekitaran berbatu dan terbuka serta penting dalam menyokong struktur ekologi di kawasan tersebut.

Bunga Phanera bidentata berwarna kuning dan jingga terang. Apabila musim berbunga, spesies pemanjat ini berbunga lebat di tebing bukit batu kapur.

Keperluan Pemuliharaan Habitat Bukit Batu Kapur

Kepelbagaian spesies flora di bukit batu kapur yang berlainan di Semenanjung Malaysia adalah sangat tinggi. Bukit batu kapur merupakan habitat yang sensitif terhadap gangguan persekitaran. Sekiranya aktiviti pembangunan dan eksploitasi dijalankan secara berlebihan dan berterusan, tindakan tersebut boleh mengakibatkan kehilangan flora batu kapur.

Spesies flora ini amat bergantung pada kestabilan habitat semula jadinya dan sangat sensitif terhadap perubahan persekitaran. Tanpa langkah pencegahan dan pemantauan yang berkesan, kepupusan flora batu kapur di Semenanjung Malaysia menjadi ancaman yang nyata.

Antara aktiviti manusia yang perlu diberikan perhatian termasuklah operasi kuari, pembangunan infrastruktur, kegiatan pelancongan yang tidak terkawal, pertanian komersial serta pembinaan rumah ibadat secara haram di kawasan bukit batu kapur. Pencerobohan ke kawasan ini bukan sahaja menjejaskan struktur geologi dan landskap, malah berisiko menyebabkan kejadian seperti kebakaran dan pembersihan hutan batu kapur secara besar-besaran. Akibatnya, kehilangan spesies flora batu kapur berlaku dengan pantas, sekali gus menyebabkan Malaysia kehilangan sebahagian daripada biodiversiti yang unik dan endemik.

Sehubungan dengan itu, bukit batu kapur wajar diberikan perhatian yang serius oleh pihak berkuasa tempatan dan negeri. Langkah pemuliharaan seperti penguatkuasaan undang-undang, pelaksanaan zon perlindungan serta pemantauan berterusan terhadap sebarang aktiviti pembangunan perlu dilaksanakan segera. Pada masa yang sama, kesedaran tentang kepentingan ekosistem bukit batu kapur harus diterapkan dalam kalangan masyarakat Malaysia secara menyeluruh agar kekayaan biodiversiti, khususnya flora batu kapur dapat dipelihara untuk generasi akan datang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi