Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJasin - SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai rakan strategik dalam aspek pendidikan masyarakat yang menjurus kepada elemen komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam berkaitan dengan pengurusan sisa pepejal, kelestarian alam dan amalan kitar semula.
MOU ini memberikan penekanan kepada perkongsian ilmu berkaitan dengan pengurusan sisa pepejal yang mampan melalui pembudayaan pengasingan sisa yang dijanakan di punca dengan tujuan untuk dikitar semula.
Menurut Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Tuan Haji Mohd Norlisam Mohd Nordin, pihaknya bersama-sama UiTM bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuklah penyelidikan dan pembangunan berkaitan dengan kempen kesedaran awam, perkhidmatan pengurusan sisa pepejal serta aktiviti kitar semula.
Sebagai sebuah syarikat konsesi bagi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negara ini, SWM Environment berbesar hati dapat bekerjasama dengan UiTM dalam menjalankan penyelidikan ke arah mengubah perilaku rakyat di negara ini dalam mewujudkan gaya hidup yang lebih mampan dan prihatin terhadap kepentingan memelihara alam sekitar melalui pengurusan sisa pepejal yang berhemah dan melaksanakan aktiviti kitar semula.
Kerjasama ini merangkumi perkongsian kepakaran, kemudahan, sumber serta maklumat yang diperlukan, di samping melibatkan warga universiti, khususnya mahasiwa dan mahasiswi dalam program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam berkaitan dengan kelestarian alam.

“Selain itu, inisiatif ini juga secara tidak langsung dapat mempromosikan amalan 3R, iaitu reduce, reuse dan recycle dalam kalangan warga universiti serta menarik minat mereka untuk menyertai aktiviti kitar semula berganjaran menerusi program KITARecycle anjuran SWM Environment,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis MoU antara SWM Environment yang diwakilinya dengan UiTM yang diwakili oleh Rektor UiTM Cawangan Melaka, Profesor Datuk Ts. Dr. Haji Mohd Rasdi Haji Zaini.
Sementara itu, Profesor Datuk Ts. Dr. Haji Mohd Rasdi Haji Zaini menyambut baik kerjasama itu dan mengalu-alukan SWM Environment sebagai rakan strategik dalam memperkasakan penyelidikan serta perkongsian kepakaran dalam bidang berkaitan dengannya.

“Kerjasama ini secara tidak langsung membuka peluang kepada warga institusi pengajian tinggi seperti UiTM untuk bertukar-tukar pengetahuan, ilmu dan kepakaran teknikal dengan SWM Environment yang bukan sahaja dikenali sebagai syarikat pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, malah mempunyai lebih banyak bidang kepakaran yang boleh dikongsikan, khususnya kepada para penuntut,” katanya.
Selain itu, MoU ini turut menyaksikan persetujuan kedua-dua pihak untuk mengadakan program latihan eksekutif dan profesional, seminar serta penempatan industri bagi kakitangan dan pelajar praktikal, selain meneroka kerjasama dalam bidang lain yang dipersetujui bersama.