Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBelimbing buluh atau nama saintifiknya Averrhoa bilimbi L. merupakan spesies tumbuhan daripada famili Oxalidaceae. Tumbuhan berbunga dalam famili ini kebanyakannya bersifat herba, renek atau pokok kecil dan dikenali dengan ciri daun majmuk yang biasanya trifoliat, iaitu mempunyai tiga anak daun serta bunga berbentuk corong yang terdiri daripada lima kelopak.
Pengelasan dan Taburan
Di Malaysia, famili Oxalidaceae diwakili oleh beberapa genus, terutamanya genus Oxalis. Secara global, famili ini merangkumi kira-kira lima hingga enam genus dan lebih daripada 900 spesies yang berada di pelbagai habitat, termasuklah kawasan tropika dan beriklim sederhana.
Genus Oxalis ialah genus yang paling meluas dan terdapat di hampir semua benua. Beberapa spesies, seperti Oxalis tuberosa ditanam sebagai tanaman makanan kerana umbisinya yang boleh dimakan. Selain itu, spesies hiasan dalam famili ini ditanam kerana keindahan daun dan bunga yang cerah. Buah daripada spesies ini juga popular sebagai bahan masakan dan sering dimasukkan dalam pelbagai hidangan seperti masak lemak cili padi, asam pedas dan asam rebus.
Famili Oxalidaceae terdiri daripada beberapa genus yang terdiri daripada Oxalis, Averrhoa, Biophytum, Dapania dan Sarcotheca. Oxalis ialah genus terbesar dan paling dikenali dalam famili ini yang mengandungi lebih daripada 800 spesies di pelbagai habitat di seluruh dunia – bermula dari kawasan tropika sehingga kawasan beriklim sederhana. Contoh spesiesnya termasuklah Oxalis corniculata (semanggi kecil) dan Oxalis tuberosa.
Averrhoa pula merupakan genus yang merangkumi tumbuhan berkayu seperti Averrhoa carambola (belimbing) dan Averrhoa bilimbi (belimbing buluh). Kedua-dua spesies ini penting sebagai tanaman buah di kawasan tropika, termasuklah di Malaysia, Indonesia dan Thailand.
Sementara itu, Biophytum ialah genus yang mengandungi tumbuhan herba kecil yang sering menyerupai mini pokok palma. Contoh spesiesnya termasuklah Biophytum sensitivum yang dikenali kerana daunnya yang sensitif dan boleh tertutup dengan sendiri apabila disentuh.
Seterusnya, Dapania merupakan genus yang jarang-jarang ditemukan dan kurang dikenali. Hanya beberapa spesies daripada genus ini yang tersebar di kawasan tropika Asia Tenggara.
Akhir sekali, Sarcotheca merupakan genus kecil yang terdiri daripada tumbuhan berkayu. Kumpulan ini boleh ditemukan di Asia Tenggara.
Ciri Botani
Averrhoa bilimbii L. merupakan spesies daripada genus Averrhoa yang paling dikenali di Malaysia dan negara serantau. Spesies ini dikategorikan sebagai pokok kecil hingga sederhana dan boleh mencapai ketinggian hingga 15 meter.

Pokok belimbing mempunyai daun majmuk yang bersusun secara bertentang. Panjang pelepah daunnya antara 30 sentimeter hingga 60 sentimeter. Setiap pelepah daun pula mempunyai 11 hingga 37 anak daun yang berbentuk oval hingga oblong yang panjangnya antara dua sentimeter hingga 10 sentimeter dan lebar antara satu sentimeter hingga dua sentimeter. Bunganya pula memiliki lima kelopak yang berukuran panjang 10 milimeter hingga 30 milimeter serta berwarna hijau kekuningan hingga ungu kemerahan.


Belimbing Buluh
Belimbing buluh berasal dari Malaysia dan Kepulauan Maluku di Indonesia. Pokok ini biasanya tidak ditanam secara komersial tetapi sering ditanam oleh penduduk kampung di sekeliling rumah untuk kegunaan harian atau untuk dijual di pasar.
Spesies ini juga sesuai untuk ditanam di kawasan tanah rendah yang subur serta memiliki sistem pengudaraan yang baik, suhu yang tinggi dan sistem pengairan yang efektif. Keadaan ini diperlukan untuk memastikan pertumbuhan yang optimum dan memudahkan penggunaan buahnya dalam kehidupan sehari-hari.
Penggunaan dalam Masakan
Buah belimbing buluh berbentuk bujur memanjang, bersudut dan berukuran antara empat sentimeter hingga 10 sentimeter. Warna buahnya berubah dari hijau muda ke hijau kekuningan apabila matang, isi buahnya berjus dan mempunyai rasa yang sangat masam. Disebabkan oleh rasanya yang terlalu masam, buah belimbing jarang-jarang dimakan segar. Sebaliknya, buah ini biasanya digunakan sebagai penyedap rasa, bahan tambahan dalam masakan dan sebagai ramuan sambal yang menjadi pencecah untuk sayur dan ulaman.
Pelbagai masakan tradisi Melayu seperti masak asam pedas, masak lemak kuning dan masak lemak cili api mengandungi belimbing buluh sebagai bahan tambahan. Buah belimbing buluh yang masak juga digunakan untuk menghilangkan rasa dan bau hanyir, terutamanya pada ikan air tawar. Disebabkan oleh kegunaannya yang pelbagai dalam masakan dan ubat-ubatan, belimbing buluh sering disebut sebagai belimbing sayur atau belimbing asam.
Kaedah Pembiakan
Pembiakan belimbing buluh boleh dilakukan melalui dua kaedah, iaitu dengan menggunakan keratan batang atau biji benih. Anak pokok yang telah mencapai ketinggian 1.5 meter hingga 2.0 meter boleh dipindahkan ke tanah. Lubang tanaman sebaik-baiknya bersaiz 1.0 meter x 1.0 meter dengan kedalaman 0.5 meter. Jarak antara tanaman pula disyorkan sekitar 6.0 meter x 6.0 meter untuk memastikan pertumbuhan anak pokok yang baik.
Baja yang digunakan pada awal penanaman ialah baja organik serta NPK 15:15:15 dan seterusnya diikuti dengan penggunaan baja mengikut umur tanaman. Kawalan rumpai pula perlu dilakukan secara berterusan untuk mengelakkan serangan penyakit dan serangga perosak. Rumpai yang tidak dikawal dengan baik boleh menjadi tempat perlindungan bagi serangga perosak dan menjadi pembawa penyakit kepada tanaman. Selain itu, pemberian baja yang mencukupi juga penting dalam pengawalan serangga perosak dan penyakit.
Belimbing buluh mula berbunga kira-kira 1.5 tahun hingga dua tahun selepas ditanam dan boleh menghasilkan buah sepanjang tahun. Untuk merangsang lebih banyak pembungaan dan penghasilan buah, pokok belimbing buluh biasanya dibaja dengan menggunakan baja NPK 12:12:17.

Peranan dalam Perubatan Tradisional
Belimbing buluh sangat popular dalam masyarakat kerana potensi yang ditunjukkan melalui pelbagai hasil penyelidikan. Kajian ini melaporkan keupayaan tanaman ini dalam merawat penyakit tertentu serta sebagai bahan antibakteria terhadap Pseudomonas aeruginosa dan Staphylococcus aureus. Antara manfaat buah belimbing buluh termasuklah dalam rawatan sakit perut, gusi berdarah, gigi berlubang dan masalah pencernaan.
Jus belimbing buluh juga dikatakan berkesan untuk melegakan diabetes dan penyakit darah tinggi. Selain itu, buah ini mujarab dalam merawat kulit, khususnya untuk melicinkan kulit muka dan mengatasi masalah jerawat yang boleh dilakukan dengan memarut buah tersebut dan mencampurkannya dengan sedikit garam sebelum ditampalkan pada kawasan yang berjerawat. Penghidap batuk berterusan pula disarankan untuk mengambil air rebusan buah belimbing buluh setiap hari pada waktu pagi dan petang.

Selain buahnya, bahagian lain seperti batang, bunga atau daun juga berguna dalam perubatan tradisional. Bahagian ini boleh digunakan untuk melegakan batuk pada kanak-kanak, batuk biasa serta mengatasi masalah seperti jerawat, panau, ulser, kelemumur dan sembelit.
Untuk mengatasi masalah kelemumur, cara yang digunakan adalah dengan membelah buah belimbing dan menggosoknya pada seluruh kepala. Belimbing buluh diketahui berkesan menurunkan kadar kolesterol. Cara penggunaannya adalah dengan mengambil tiga biji belimbing buluh, mencucinya dengan bersih, memarutnya dengan halus, menapis dan kemudian ditambahkan sedikit air suam sebelum diminum.
Daun belimbing buluh yang digiling halus pula boleh dilumurkan ke atas kulit dan muka untuk melicinkan kulit dan merawat penyakit kulit seperti panau. Rebusan daun belimbing buluh pula dikatakan berupaya merendahkan tekanan darah tinggi dan mengatasi pitam.
Sementara itu, bunga belimbing buluh boleh digunakan untuk meredakan batuk dengan mencampurkan bunganya bersama-sama sedikit pegaga yang telah ditumbuk, dua biji bawang merah dan sepotong kulit kayu manis sebesar jari kelingking. Campuran ini kemudiannya direbus, disaring dan diminum bersama-sama madu sebanyak tiga kali sehari. Untuk mengubati sakit gigi, disarankan agar pesakit menampal bunga belimbing buluh pada tempat yang sakit.
Kesimpulannya, belimbing buluh merupakan tumbuhan yang kaya dengan pelbagai kebaikan dan manfaat, terutamanya dalam konteks masyarakat Malaysia. Selain penggunaannya yang meluas dalam masakan tradisional sebagai penambah rasa masam semula jadi, belimbing buluh juga mempunyai nilai perubatan tertentu dan hal ini menjadikan belimbing buluh sebagai pilihan semula jadi yang unggul untuk meningkatkan kesihatan.
Profesor Dr. Noraini Talip dan Mohamad Ruzi Abdul Rahman, Taman Botani Bangi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia.