Diterbitkan pada 27 Februari 2025, 22:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Epilepsi merupakan gangguan saraf yang berlaku akibat penghasilan isyarat yang tidak normal atau tidak terkawal pada otak. Epilepsi boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti faktor genetik, kecederaan otak, jangkitan, strok atau tumor otak. Penyakit epilepsi tidak berjangkit dan lazimnya boleh dikawal dengan ubat-ubatan.

Gangguan pada sistem saraf ini boleh mencetuskan serangan sawan, yang menyebabkan kekejangan serta pergerakan tubuh yang tidak terkawal. Sawan boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa sebarang amaran dan hadir dalam pelbagai bentuk bergantung pada bahagian otak yang terjejas. Misalnya, sawan separa hanya melibatkan sebahagian kecil otak, manakala sawan menyeluruh membabitkan keseluruhan bahagian otak.

Rawatan Epilepsi melalui Ubat-ubatan

Ubat-ubatan merupakan antara kaedah rawatan utama bagi epilepsi. Kebanyakan ubat ini berfungsi untuk mengawal penyakit dengan mengurangkan kekerapan sawan yang berpunca daripada isyarat saraf yang tidak normal. Selain itu, penggunaan ubat-ubatan dapat mengurangkan risiko komplikasi yang mungkin berlaku selepas serangan sawan.

Pemilihan ubat bergantung pada jenis epilepsi, keadaan kesihatan, serta sejarah perubatan pesakit. Faktor seperti kebarangkalian interaksi dan risiko kesan sampingan turut dipertimbangkan sebelum sesuatu ubat diberikan. Doktor akan menetapkan satu atau lebih jenis ubat berdasarkan tahap keberkesanan serta penerimaan pesakit terhadap rawatan tersebut.

Terdapat beberapa jenis ubat yang digunakan dalam rawatan epilepsi. Antaranya termasuklah:

  • Ubat antiepilepsi

Ubat antiepilepsi yang juga dikenali sebagai ubat antikonvulsan bertindak dengan menghalang aktiviti pengaliran impuls antara sel saraf di otak. Mekanisme ini membantu mencegah penghasilan isyarat tidak normal, sekali gus mengurangkan risiko berlakunya sawan. Antara contoh ubat antiepilepsi termasuklah carbamazepine, phenytoin, sodium valproate, lamotrigine dan levetiracetam.

Rawatan lazimnya dimulakan dengan dos yang rendah sebelum dinaikkan secara beransur-ansur sehingga mencapai tahap yang optimum bagi mengawal sawan dengan kesan sampingan yang minimum. Tempoh penyesuaian dos pula bergantung pada respons individu terhadap ubat yang diberikan.

Dari segi kesan sampingan, ubat antiepilepsi boleh menyebabkan gejala seperti mengantuk, pening, keletihan, kebas, ruam dan pertambahan berat badan. Sesetengah pesakit turut mengalami perubahan tingkah laku seperti kemurungan, keresahan, sikap agresif atau hiperaktif. Dalam kes yang jarang-jarang berlaku, kesan sampingan yang lebih serius seperti sindrom Steven-Johnson boleh berlaku yang boleh diperhatikan melalui gejala alahan kulit yang teruk.

Kesan sampingan ini biasanya muncul dalam beberapa hari pertama selepas pengambilan ubat dan akan beransur-ansur hilang. Walau bagaimanapun, pesakit yang mengalami kesan sampingan serius dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan perubatan dengan segera.

  • Benzodiazepines

Benzodiazepines merupakan kumpulan ubat yang bertindak dengan pantas untuk menghentikan sawan akut. Ubat ini sering digunakan dalam situasi kecemasan bagi mengawal kekejangan semasa serangan sawan.

Benzodiazepines berfungsi dengan mengawal aktiviti neurotransmiter, iaitu bahan kimia yang menghantar isyarat antara sel saraf di otak, sekali gus mengurangkan penghasilan isyarat yang tidak normal. Antara contoh benzodiazepines termasuklah lorazepam, clonazepam dan diazepam.

Penggunaan benzodiazepines perlu dikawal kerana berisiko menyebabkan kebergantungan jika diambil secara berterusan. Oleh itu, ubat ini lebih sesuai digunakan sebagai rawatan jangka pendek atau dalam situasi tertentu berdasarkan penilaian doktor.

Pemantauan Terapeutik Ubat

Pemantauan terapeutik ubat merupakan proses pengukuran kepekatan ubat dalam darah bagi memastikan dos yang diambil berada dalam julat terapeutik yang selamat dan berkesan. Prosedur ini amat penting bagi ubat-ubatan yang mempunyai indeks terapeutik sempit, iaitu ubat yang mempunyai jurang kecil antara dos berkesan dengan dos toksik.

Antara ubat yang sering dipantau melalui TDM termasuklah digoxin, beberapa jenis antibiotik seperti aminoglikosida dan vancomycin serta beberapa ubat antiepilepsi seperti phenytoin dan sodium valproate.

TDM membantu pesakit memperoleh manfaat maksimum daripada rawatan yang diberikan. Selain itu, prosedur ini juga bertujuan untuk:

(a) Menyesuaikan dos mengikut keperluan individu kerana setiap pesakit mempunyai kadar metabolisme ubat yang berbeza.

(b) Menjadi petunjuk dalam memantau tahap kepatuhan pesakit terhadap pengambilan ubat antiepilepsi.

(c) Mengesan kemungkinan interaksi antara ubat antiepilepsi dengan ubat lain atau produk kesihatan yang mungkin diambil oleh pesakit.

Nasihat untuk Pesakit

Pesakit yang tidak patuh dalam pengambilan ubat berisiko mengalami sawan dengan lebih kerap atau dalam keadaan yang lebih teruk. Oleh itu, pengambilan ubat antiepilepsi haruslah mengikut dos, kekerapan dan masa yang telah ditetapkan. Kepatuhan terhadap rawatan bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti hidup, malah mampu meminimumkan kesan sampingan serta mengelakkan komplikasi.

Walaupun pesakit berasakan keadaan mereka bertambah baik, ubat antiepilepsi tidak seharusnya dihentikan tanpa nasihat dan pengawasan doktor. Sebarang kesukaran dalam pengambilan ubat atau kesan sampingan yang dialami perlu dibincangkan dengan doktor atau ahli farmasi bagi memastikan rawatan yang sesuai.

Selain itu, pesakit dinasihatkan supaya berhati-hati dengan produk yang dipromosikan sebagai penawar epilepsi, sama ada yang dijual di premis fizikal atau dalam talian. Sebarang penggunaan produk kesihatan lain harus dirujuk terlebih dahulu kepada doktor atau ahli farmasi bagi mengelakkan risiko interaksi ubat yang boleh menjejaskan keberkesanan rawatan.

Sebagai kesimpulan, rawatan epilepsi yang efektif memerlukan pendekatan menyeluruh, termasuklah pengambilan ubat secara konsisten serta janji temu dan pemantauan berkala. Kepatuhan terhadap rawatan merupakan kunci utama dalam mengurangkan risiko sawan dan meningkatkan kualiti hidup pesakit.

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).

Nurul Nasrah Mohd Ariffin,
Pegawai Farmasi,
Klinik Kesihatan Manong.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi