Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pejabat Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Sains Kesihatan (FSK) telah menganjurkan sesi Syarahan Khas bertajuk “From Fundamentals to Innovation: Exploring the Technology Development Fund (TeD) by Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)“.
Inisiatif ini bertujuan memberikan pendedahan kepada penyelidik mengenai peluang pembiayaan geran yang ditawarkan oleh MOSTI, di samping berkongsi panduan serta pengalaman pakar bagi membantu penyelidik memperoleh dana yang sesuai dengan bidang kajian mereka.
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Madya Dr. Satirah Zainalabidin menegaskan bahawa penyelidik Fakulti Sains Kesihatan perlu lebih proaktif dalam mendapatkan pembiayaan penyelidikan dengan meneroka pelbagai sumber dana.
Beliau menekankan bahawa selain bergantung pada dana daripada Kementerian Pengajian Tinggi, penyelidik wajar memanfaatkan peluang yang ditawarkan oleh MOSTI, institusi antarabangsa dan sektor industri bagi memastikan kelangsungan serta impak kajian yang lebih luas.
Dalam sesi pertama, penceramah utama ialah penerima Dana TeD dari Fakulti Farmasi yang juga merupakan penilai pada peringkat kementerian, iaitu Profesor Dr. Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin yang berkongsi pengalaman berharga sepanjang tempoh perkhidmatannya di kementerian dan sebagai penilai geran MOSTI.

Beliau turut menunjukkan cara pendaftaran Sistem Dana Bersepadu (SDB) sebagai langkah awal dalam penghantaran kertas kerja penyelidikan.
Peserta juga berpeluang mendengar perkongsian daripada penerima Geran TeD dari FSK, iaitu Profesor Dr. Suzana Shahar yang juga merupakan Dekan FSK serta Profesor Dr. Noraziah Mohamad Zin dari Pusat Kajian Diagnostik, Teraputik dan Penyiasatan (CODTIS).

Profesor Dr. Suzana menceritakan perjalanan pasukannya yang memulakan penyelidikan asas sejak tahun 2019 yang menghasilkan paten Cosmos caudatus (ulam raja) sebagai suplemen untuk warga emas, sebelum berjaya memperoleh Dana TeD2 sebanyak RM1.8 juta pada tahun 2024.
Sementara itu, Profesor Dr. Noraziah menerangkan kejayaan pasukannya dalam memperoleh Dana TeD1 sebanyak RM668,300 bagi projek pengesanan Escherichia coli di dalam air dengan menggunakan alat penderia pantas dan sensitif serta Dana TeD2 sebanyak RM1.6 juta untuk projek pembasmian bakteria rintang dengan teknologi ultraungu lembayung di hospital.

Pada sesi kedua pula, penyelidik FSK, UKM mendengar taklimat daripada Penolong Setiausaha Kanan, Seksyen Operasi Unit Dana 3, MOSTI, Puan Siti Murnirah Jaafar yang membentangkan maklumat berkaitan dengan syarat pemohon, kriteria kelayakan geran, panduan permohonan, cara mengisi borang, dokumen yang diperlukan serta garis masa permohonan.
Menurut beliau, antara kesilapan utama dalam pengisian borang Sistem Dana Bersepadu (SDB) termasuklah penekanan terhadap isu bersifat global dan bukannya masalah nasional, sedangkan projek penyelidikan dan pembangunan yang diluluskan mesti mampu menangani isu nasional secara menyeluruh dan mampan.
“Selain itu, penyelidik juga sering gagal menyatakan potensi pengkomersialan produk atau teknologi dalam borang permohonan,” jelasnya lagi.
Dana TeD1 diberikan kepada projek yang mempunyai konsep mantap dengan reka bentuk yang berpotensi menghasilkan teknologi, prosedur atau produk baharu yang boleh membawa keuntungan, manakala Dana TeD2 mensyaratkan konsep idea yang disertakan dengan prototaip berfungsi atau proof of concept (POC).
Projek tersebut perlu mempunyai reka bentuk yang baik, daya saing dalam penyelidikan serta teknologi terkini dan disokong oleh bukti saintifik.
Matlamat utama geran ini adalah untuk menyokong pra-pengkomersialan teknologi, proses dan produk baharu yang berpotensi dipasarkan, sekali gus memberikan manfaat kepada masyarakat dan meningkatkan ekonomi negara.
Turut hadir dalam sesi ini ialah pegawai dari Pejabat Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, termasuklah Puan Rogayah Abu Hassan @Mohamed, Encik Mohammad Shafiq Rahmat serta Pegawai Penyelidik FSK, UKM.