Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLangkawi – Penganjuran Karnival TVET POLYCC pada tahun ini menjadi platform dalam usaha merealisasikan Pelan Transformasi Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) ke arah penyediaan bakat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terbaik bagi negara.
Penganjuran karnival tersebut oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan kerjasama POLYCC Zon Kedah/Perlis berlangsung selama tiga hari, bermula 14 Februari hingga 16 Februari lalu di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC).

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat (YB) Dato’ TS. Mustapha Sakmud dalam ucapan perasmiannya berkata, institusi TVET tidak boleh bergerak maju bersendirian dalam keadaan dunia yang semakin mencabar.
Aktiviti perkongsian kepakaran dan cadangan penambahbaikan perlu ditingkatkan dengan kerjasama pihak industri
Pada masa yang sama, Ketua Pengarah JPPKK, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Zahari Ismail memaklumkan bahawa pelaksanaan karnival berkenaan buat kali pertama pada tahun ini turut mengadakan majlis pertukaran sijil kolaborasi strategik bersama dengan institusi, syarikat serta firma dalam dan luar negara.
“Kerjasama pintar antara POLYCC dengan pihak industri terus diperhebat demi menjamin graduan sentiasa relevan dengan keperluan industri dan ucapan terima kasih kepada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) atas kesudian menjadi penganjur bersama untuk menjayakan program ini,” ujarnya.
Selain itu, antara pengisian utama yang menarik dalam karnival itu termasuklah POLYCC Ride, Karnival TVET dan Kursus Pendek Pembelajaran Sepanjang Hayat MADANI.
POLYCC Ride merupakan acara berbasikal dengan trek sejauh 76 kilometer sekitar Langkawi bersempena dengan Tahun Melawat Kedah 2025 yang membabitkan pelajar POLYCC dan orang awam.
Terdapat 38 jenis Kursus Pendek Pembelajaran Sepanjang Hayat MADANI untuk memberikan ruang kepada khalayak mengenali lebih dekat tentang pengajian kemahiran yang ditawarkan dalam POLYCC.
Malah, karnival ini juga menampilkan pelbagai aktiviti yang memikat para pengunjung anak muda seperti pertandingan e-sukan dan Drone Soccer, selain program keusahawanan yang terdiri daripada Festival Filem LOKA, The Apprentice: POLYCC Product Challenge serta Habaq Mai Podcast LIVE.
Di samping itu, pengunjung berpeluang menyaksikan demonstrasi dan pameran dengan penyertaan daripada 36 buah politeknik, 106 buah kolej komuniti dan pelbagai industri yang mempamerkan inovasi serta teknologi terkini dalam bidang TVET.
Turut hadir dalam majlis perasmian karnival tersebut ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LADA, YBrs. Encik Ahmad Fuad Che Ani@Abdul Ghani.