Diterbitkan pada 7 Februari 2025, 11:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) tidak hanya menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan pelbagai pihak, malah memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan banyak sektor, termasuklah sektor pendidikan. Perkembangan AI yang begitu pesat menjadikan sektor pendidikan kini berada di ambang revolusi teknologi yang membuka peluang dan cabaran baharu dalam cara mengajar mengajar dan belajar.

AI merujuk kemampuan mesin dan komputer untuk meniru proses berfikir dan membuat keputusan seperti manusia. Melalui teknologi ini, mesin dapat belajar, memahami dan menyelesaikan masalah secara autonim tanpa arahan terperinci untuk setiap tugas.

Dalam konteks pendidikan matematik, integrasi AI memang membawa kelebihan serta kelemahan. Oleh itu, sangat penting untuk menemukan keseimbangan yang tepat antara memanfaatkan kemajuan yang dipacu oleh AI dengan mengekalkan prinsip pedagogi yang kukuh dalam lingkungan pengajaran dan pembelajaran matematik.

Dalam bidang pendidikan matematik, teknologi AI menjanjikan manfaat yang berpotensi kepada mereka yang terlibat dalam ekosistem pendidikan. Hal ini termasuklah arahan secara kendiri, persekitaran pembelajaran interaktif dan maklum balas masa sebenar. Namun begitu, tidak seperti kecerdasan manusia, AI masih mempunyai kekurangan seperti kreativiti, ketiadaan kecerdasan emosi dan kerahsiaan data.

Alat yang dipacu oleh AI boleh bertindak balas terhadap pemikiran dan minat murid dengan cara yang tidak dapat dilakukan oleh alat atau aplikasi sebelum ini. Segulai sejalai dengan penyataan dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) untuk mata pelajaran matematik, teknologi bukanlah berfungsi sebagai pengganti guru, sebaliknya menjadi pelengkap kepada pembelajaran matematik murid yang bertujuan untuk meningkatkan kefahaman konsep matematik mereka.

Murid akan terus memerlukan kepakaran matematik, pedagogi dan hubungan professionalisme guru, walaupun guru juga mendapat manfaat daripada teknologi yang dipacu oleh AI. Walaupun AI boleh berfungsi sebagai pembantu guru, namun murid masih memerlukan guru untuk membantu mereka. Situasi ini mewujudkan jambatan antara pengetahuan sedia ada, pengetahuan baharu dengan pengetahuan yang dikongsi antara guru dengan murid.

Rajah 1 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan penekanan kepada lima proses matematik, iaitu (i) penyelesaian masalah, (ii) penaakulan, (iii) komunikasi secara matematik, (iv) perwakilan dan (v) perkaitan.
(Sumber: DSKP Matematik KSSM)

Dalam proses matematik yang pertama, iaitu penyelesaian masalah, AI memainkan peranan penting dengan menyediakan kepantasan, ketepatan dan automasi kepada penyelesaian masalah matematik. Proses ini meningkatkan pembelajaran secara kendiri, menyediakan alat visualisasi dan simulasi serta menyokong pengiraan simbolik dan berangka.

AI boleh mengenali masalah, menganalisis set data yang besar dan juga menyumbang kepada penemuan teorem baharu. Murid boleh menggunakan AI dalam membantu mereka mendapatkan jawapan daripada masalah matematik yang diberikan.

Jawapan yang diberikan oleh ChatGPT (kiri) dan Photomath (kanan) untuk soalan yang berbunyi, “Bundarkan 0.060541 kepada tiga angka bererti”.

Walau bagaimanapun, di sebalik kelebihan ini, penggunaan AI mempunyai batasannya yang tersendiri. Hal ini termasuklah kekurangan pemahaman yang mendalam, terlalu bergantung pada penyelesaian automatik dan kesilapan dalam mentafsir masalah.

AI hanya terhad kepada algoritma yang telah diprogramkan dan tidak mempunyai intuisi manusia. Hal ini menjadikannya tidak sesuai untuk penaakulan bersifat autentik atau kreatif.

Selain itu, AI boleh menimbulkan kebimbangan etika berkenaan integriti akademik dan kebergantungan keterlaluan murid terhadap teknologi ini. Apabila murid terlalu bergantung terhadap AI untuk menyelesaikan masalah matematik, mereka akan kehilangan keupayaan untuk berfikir secara kritikal dan menyelesaikan masalah secara manual. Situasi ini boleh melemahkan asas matematik mereka dalam jangka panjang.

Sehubungan dengan itu, walaupun AI boleh dimanfaatkan dalam penyelesaian masalah matematik, teknologi ini seharusnya melengkapi dan bukannya menggantikan proses penyelesaian matematik. Hal ini penting dalam usaha untuk memastikan murid mengembangkan kemahiran menyelesaikan masalah matematik mereka yang kukuh seiring dengan kemajuan teknologi.

Dari aspek penaakulan, AI boleh membantu dalam pembelajaran matematik dengan menyediakan panduan penyelesaian masalah langkah demi langkah, pengalaman pembelajaran secara kendiri dan maklum balas segera. Teknologi ini boleh mengenal pasti kelemahan murid, mencadangkan latihan yang disesuaikan dan menyediakan pelbagai pendekatan penyelesaian, meningkatkan kemahiran pemikiran kritikal dan penaakulan mereka.

Alat dipacu AI seperti tutor maya dan pembukti teorem automatik membantu murid meneroka konsep matematik secara dinamik. Situasi ini akan hanya menjadi lebih bermakna sekiranya murid memanfaatkannya untuk memahami proses yang dijana oleh AI.

Jawapan dan proses kerja matematik yang dijana oleh AI selepas penulis memberikan soalan, “Seorang penternak memiliki 20 ekor haiwan, yang terdiri daripada ayam dan kambing. Jika jumlah bilangan kaki ialah 56, berapa ekor ayam dan kambing yang dimiliki oleh penternak itu?” kepada AI untuk diselesaikan.

Dalam hal ini, murid seharusnya memahami proses kerja tersebut dan bukannya mengambil jawapan secara bulat-bulat. Apabila mereka memahami jalan kerja penyelesaian tersebut, murid seterusnya dapat mengaplikasikannya sekiranya berhadapan dengan soalan dengan bentuk dan pola yang serupa.

Walau bagaimanapun, kebergantungan secara keterlaluan kepada AI boleh menjejaskan kemahiran menaakul mereka kerana murid mungkin terlalu bergantung pada penyelesaian automatik dan bukannya mengembangkan kemahiran penaakulan mereka. Sekiranya murid hanya menyalin jawapan daripada AI tanpa berusaha untuk memahami prosesnya, mereka akan mengalami kesukaran dalam menyelesaikan masalah yang lebih kompleks pada masa hadapan.

Komunikasi secara matematik, sama ada secara lisan mahupun bertulis sangat penting dalam persekitaran kelas matematik. AI boleh membantu murid memahami konsep yang kompleks melalui visualisasi, penjelasan langkah demi langkah dan platform pembelajaran menarik yang memenuhi keperluan individu.

Platform berasaskan AI boleh memudahkan perbincangan melalui chatbot dan tutor maya yang membantu murid untuk berkomunikasi secara matematik. Alat ini juga boleh menganalisis penerangan bertulis atau lisan murid, selain memberikan cadangan untuk kejelasan dan ketepatan.

Selain itu, platform kolaboratif dipacu AI membolehkan murid bekerjasama dalam masalah matematik, menggambarkan konsep abstrak melalui graf dinamik dan simulasi dan menerima maklum balas serta-merta tentang penyelesaian mereka. Namun begitu, sekali lagi, peranan guru sangat ditagih dalam merangsang komunikasi secara matematik dalam kalangan murid.
Misalnya, guru menerangkan konsep graf kuadratik dengan bantuan perisian GeoGebra. Guru menunjukkan beberapa contoh graf kuadratik dengan memanipulasi pemboleh ubah dan meminta murid berfikir sebelum membuat kesimpulan mereka sendiri.

Namun begitu, teknologi AI ini juga boleh menggalakkan murid bergantung pada penyelesaian pantas dan bukannya terlibat dalam perbincangan yang bermakna untuk mengembangkan kemahiran penaakulan mereka dan kemahiran insaniah mereka. Pergantungan ini boleh mengehadkan komunikasi dan interaksi murid kepada murid atau murid kepada guru. Murid seharusnya secara kolaboratif meneroka strategi penyelesaian masalah yang berbeza.

Tambahan pula, penjelasan yang dijana oleh AI mungkin tidak mempunyai kedalaman seperti dialog manusia. Hal ini menjadikannya sukar bagi murid untuk menjelaskan miskonsepsi melalui perbincangan. Keterbatasan ini secara tidak langsung melemahkan keupayaan murid untuk menyatakan idea matematik dengan berkesan dan akhirnya memberikan kesan kepada pemahaman mereka yang lebih mendalam tentang konsep matematik. Selain itu, murid juga boleh menjadi lebih pasif dalam pembelajaran mereka berikutan terlalu bergantung pada AI untuk memberikan jawapan daripada terlibat secara aktif bersama-sama rakan dan guru mereka.

Proses perwakilan merujuk sebarang tatarajah huruf, imej atau objek konkrit yang boleh melambangkan atau mewakilkan sesuatu yang lain. Dalam konteks penggunaan AI, perwakilan visual konsep matematik yang kompleks yang seterusnya menjadikan idea abstrak lebih mudah diakses dan boleh dicipta.

Misalnya, perisian dipacu AI seperti GeoGebra membolehkan murid meneroka konsep geometri, algebra dan kalkulus secara interaktif. Perisian ini menggambarkan konsep matematik seperti fungsi, bentuk dan transformasi yang membantu murid memahami idea yang kompleks dengan cara yang lebih difahami.

Murid boleh memanipulasi kemudahan dan fungsi yang terdapat padanya untuk melihat bentangan sebuah kiub dengan menggunakan perisian GeoGebra.
Rajah 2 Gambaran visual teorem Pythagoras yang dijana oleh ChatGPT.

Rajah 2 menunjukkan segi tiga tegak dengan sisi dilabelkan sebagai a, b dan hipotenus c. Petak pada sisi mewakili kawasan a², b² dan c². Menurut teorem, jumlah luas segi empat sama yang lebih kecil pada kaki segi tiga (a² + b²) adalah sama dengan luas segi empat sama pada hipotenus (c²) yang menggambarkan hubungan asas dalam teorem. Walaupun teknologi AI dapat menjana penerangan bagi menjelaskan konsep teorem tersebut, guru masih memainkan peranan penting bagi menjelaskan konsep tersebut kepada murid.

AI juga boleh meningkatkan proses perkaitan dengan menggambarkan perkaitan antara konsep dengan menyediakan bantuan penyelesaian masalah yang dinamik. Simulasi dan visualisasi interaktif yang disediakan oleh AI boleh menjelmakan idea abstrak dan membantu murid melihat cara konsep matematik saling berkaitan.

Dalam bidang algebra dan geometri, AI boleh membantu murid menghubungkan konsep algebra kepada tafsiran geometri. Sebagai contoh, Desmos membolehkan murid untuk   menggambarkan persamaan kuadratik dan parabola sepadannya serta menunjukkan penyelesaian kepada ax2+bx+c=0 sepadan dengan titik di mana parabola bersilang dengan paksi-x. Hubungan secara visual ini membantu murid memahami hubungan antara persamaan algebra dengan bentuk geometri.

Sebagai contoh, AI boleh membimbing murid dalam membuat perkaitan antara teori kebarangkalian dengan analisis statistik. Penggunaan AI boleh membantu mereka melihat cara taburan kebarangkalian (normal atau binomial) berkaitan dengan analisis statistik dunia sebenar seperti ujian hipotesis atau selang keyakinan. AI seperti StatQuest pula boleh digunakan untuk menunjukkan cara teori kebarangkalian menyokong kaedah statistik seperti regresi dan seterusnya membantu murid memahami cara aspek tersebut dikaitkan.

Dari aspek perkaitan konsep matematik yang dipelajari dalam kelas matematik dan aplikasinya dalam kehidupan sebenar murid, AI boleh menunjukkan cara konsep geometri digunakan dalam reka bentuk dan seni bina. Misalnya, konsep seperti simetri, sudut, luas dan perimeter adalah penting untuk membina struktur dan mereka bentuk perabot dan produk. Platform seperti GeoGebra membolehkan murid untuk mereka bentuk objek dua dimensi dan tiga dimensi serta membantu mereka menghubungkan geometri dengan penciptaan ruang fizikal atau model secara maya.

Contoh lain ialah AI boleh membantu murid menggunakan konsep statistik dalam situasi kehidupan seharian seperti membuat keputusan berdasarkan data. Teknologi yang dipacu oleh AI seperti Google Sheets atau Excel menggunakan algoritma untuk membantu murid menganalisis data, menggambarkan pengedaran, mengira min/median/mod dan seterusnya membuat ramalan.

Namun begitu, penggunaan AI juga boleh menghalang proses membuat perkaitan dalam matematik jika tidak digunakan dengan sewajarnya. Murid boleh sewenang-wenangnya menggunakan AI untuk mendapatkan jawapan kepada masalah tanpa memahami konsep asas atau kaitan antara topik matematik yang berbeza.

Selain itu, AI banyak menumpukan pada prosedur langkah demi langkah. Hal ini dapat mengehadkan keupayaan murid untuk melihat konsep seperti algebra dan geometri yang saling berkaitan dalam kegunaan dunia sebenar.

Tuntasnya, AI mempunyai potensi besar dalam meningkatkan pengalaman pembelajaran matematik, namun penggunaannya perlu dikawal dengan sewajarnya. Walaupun teknologi ini dapat membantu murid memahami konsep dengan lebih mudah dan meningkatkan kecekapan guru, terdapat juga risiko kebergantungan yang boleh melemahkan pemikiran kritikal murid. Oleh itu, peranan guru tetap penting dalam memastikan AI digunakan sebagai pelengkap dan bukan pengganti kepada kecerdasan manusia.

Kesedaran dalam kalangan murid perlu dipupuk supaya mereka menggunakan AI sebagai alat pembelajaran yang membantu, bukan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan jawapan. Melalui pendekatan yang seimbang, AI boleh menjadi inovasi yang memperkasakan pendidikan matematik tanpa mengorbankan kecerdasan manusia yang dikurniakan oleh Tuhan.

Profesor Madya Dr. Abdul Halim Abdullah,
Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi,
Universiti Teknologi Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi