Diterbitkan pada 31 Januari 2025, 14:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kewujudan Internet telah memberikan impak yang luar biasa kepada pelaksanaan perniagaan, termasuklah produk kesihatan yang semakin mendapat permintaan dalam kalangan masyarakat. Data daripada Laporan Digital Global 2024 yang dikeluarkan oleh Meltwater Digital menunjukkan sebanyak 28.7 juta rakyat Malaysia merupakan pengguna media sosial. Statistik ini cukup jelas memberikan gambaran betapa besarnya skop, liputan dan peluang yang boleh dimanfaatkan penjual, pengiklan dan pempengaruh media sosial dalam mempromosikan produk kesihatan secara dalam talian.

Perkembangan teknologi ini membolehkan penjualan pelbagai produk kesihatan secara dalam talian dapat menembusi golongan sasar yang lebih meluas. Namun begitu, terdapat sebilangan penjual tidak beretika ingin mendapatkan keuntungan segera yang menjual produk kesihatan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sebahagian produk ini juga didapati sengaja dicampurkan dengan ubat terkawal seperti sibutramine, sildenafil, tadalafil dan dexamethasone. Penggunaan produk tidak berdaftar dapat menjejaskan kesihatan dan keselamatan pengguna.

Keperluan Pengiklanan Secara Bertanggungjawab

Pemantauan dari segi pengiklanan produk merupakan langkah utama dalam memastikan penjualan yang tidak mengelirukan masyarakat. Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 ialah akta utama yang digunakan dalam menyelia aktiviti pengiklanan ubat, perkhidmatan dan kemahiran kesihatan di Malaysia. Di bawah akta ini, Lembaga Iklan Ubat (LIU) bertanggungjawab untuk memberikan kelulusan bagi sebarang iklan perubatan yang ingin disiarkan, termasuklah semua bentuk iklan dalam media cetak, media elektronik serta melalui media baharu seperti laman web dan media sosial.

Sesuatu iklan perubatan akan disaring untuk memastikan pematuhan kepada akta, polisi serta garis panduan sebelum dapat diluluskan untuk tujuan penyiaran. Menurut statistik Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF), KKM, sebanyak 158,696 iklan perubatan telah disaring dan diambil tindakan dari tahun 2018 hingga tahun 2023. BPF juga mengambil langkah proaktif dengan menyediakan panduan untuk penjual yang ingin mengiklankan produk kesihatan. Antara usaha yang telah dilakukan termasuklah menghasilkan Garis Panduan Kelulusan Pengiklanan Produk Ubat Berdaftar dan Panduan kepada Selebriti dalam Pengiklanan Produk Kesihatan.

Selain pematuhan kepada Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956, penjual juga hendaklah memastikan iklan yang ingin disiarkan mematuhi undang-undang atau peraturan lain yang berkaitan di Malaysia.  Sebagai contoh, iklan produk kesihatan juga haruslah berpandukan keperluan Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Tindakan Penguatkuasaan yang Bersepadu

Peranan dan tindakan penguatkuasaan adalah penting dalam usaha melindungi masyarakat daripada risiko produk tidak berdaftar memandangkan perniagaan secara dalam talian memberi cabaran yang lebih besar. Misalnya, penggunaan maklumat palsu dalam semua peringkat transaksi perniagaan yang sengaja dilakukan untuk mengaburi pihak berkuasa serta ketiadaan premis fizikal menjadikan jenayah ini sukar dipantau.

Walau bagaimanapun, cabaran ini tidaklah mustahil untuk diatasi. Hasil daripada siasatan dan risikan yang dilakukan secara efisien dan melibatkan Open–Source Intelligence (OSINT) serta kerjasama utuh antara agensi kerajaan membolehkan penjualan produk tidak berdaftar dapat ditangani.

Aktiviti penguatkuasaan diteruskan saban tahun dan melibatkan beberapa serbuan serta rampasan berskala besar di beberapa buah negeri. Operasi yang dilakukan merupakan bukti komitmen KKM dalam membanteras penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi. Antara tindakan penguatkuasaan yang pernah dijalankan dan dilaporkan menerusi media termasuklah:

  • Serbuan ke atas dua premis sekitar Bandar Jelutong oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang melibatkan rampasan 70 000 kotak produk tradisional tidak berdaftar dan 70 kotak kosmetik tidak bernotifikasi yang dijual secara dalam talian bernilai RM10.1 juta melalui OPS Joint. Siasatan yang dijalankan turut mendapati terdapat pelibatan seorang pempengaruh media sosial dalam penjualan produk tersebut.
  • Ops Legasi 2.0 yang melibatkan negeri Pulau Pinang, Kedah dan Johor pada Julai 2024 telah berjaya merampas 527 produk perangsang seks tidak berdaftar dan mengandungi racun berjadual bersama-sama 11 peranti digital dengan nilai keseluruhan mencecah RM4.4 juta. Hasil siasatan turut mendapati pengilang sendiri yang memproses produk tersebut dan seterusnya dibungkus semula oleh pengedar dengan menggunakan jenama sendiri. Produk tersebut kemudiannya dipasarkan secara dalam talian pada harga RM100 hingga RM200 sebotol.

Penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi ialah kesalahan yang melanggar Peraturan 7(1)(a) dan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952. Sekiranya disabitkan kesalahan, individu yang terlibat boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama. Bagi kesalahan berikutnya, individu tersebut boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Nasihat untuk Orang Awam

Selain tindakan penguatkuasaan yang proaktif, inisiatif pencegahan turut dititikberatkan dalam usaha mengelakkan orang awam terpedaya dengan muslihat penjualan produk tidak berdaftar dalam talian. Pelbagai kempen dilancarkan untuk meningkatkan kesedaran orang awam tentang kepentingan menggunakan produk berdaftar.

Kempen Tolak Ubat Tidak Sah (TOBaTS) merupakan satu usaha BPF, KKM dalam memerangi isu pembekalan dan penjualan ubat-ubatan yang menyalahi undang-undang di Malaysia. Kempen ini kesinambungan daripada kempen terdahulu seperti kempen “Pilih Ubat Berdaftar”, “Scan Dulu Baru Beli” dan “Waspada Penjualan Ubat Secara dalam Talian”. Menerusi kempen TOBaTS, pengguna diharapkan dapat lebih berwaspada dalam memilih produk kesihatan yang hendak digunakan.

Sebelum membeli atau menggunakan sebarang produk kesihatan, pengguna digalakkan untuk menyemak status pendaftaran produk tersebut melalui laman web NPRA (www.npra.gov.my) atau menggunakan aplikasi telefon pintar NPRA Product Status. Semakan boleh dilakukan dengan memasukkan nama produk, bahan aktif atau nombor pendaftaran. Di samping itu, pengguna turut disaran untuk menyemak ketulenan label keselamatan hologram yang terdapat pada produk kesihatan dengan menggunakan aplikasi telefon pintar FarmaChecker.

Orang awam juga dialu-alukan untuk melaporkan sebarang penjualan produk kesihatan yang disyaki tidak berdaftar. Aduan boleh dikemukakan melalui laman web Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) KKM (https://moh.spab.gov.my).

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).

Mohamad Farhan Adi Kasuma,
Pegawai Farmasi,
Kementerian Kesihatan Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi