Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMalaysia merupakan satu daripada 17 negara mega biodiversiti di dunia yang memiliki hutan tropika dengan kepelbagaian kulat yang tinggi, termasuklah kulat makro atau cendawan liar. Pelbagai spesies cendawan liar boleh ditemukan di dalam hutan, sama ada tumbuh pada tanah, kayu reput, daun atau substrat lain. Kehadiran cendawan liar juga memainkan peranan penting dalam ekosistem hutan sebagai saprofit, mikoriza dan patogen yang menyumbang kepada keseimbangan ekologi.
Dalam kumpulan kulat makro yang terdapat di hutan Malaysia, terdapat cendawan biopendarcahaya yang mampu bercahaya pada waktu malam. Cendawan ini mempunyai taburan yang meluas dan boleh ditemukan bukan sahaja di hutan tropika, malah di hutan beriklim sederhana. Beberapa negara yang mencatatkan kehadiran cendawan ini termasuklah Amerika Syarikat, Australia, Brazil, China, India, Jepun, Malaysia, Mexico dan Taiwan.
Cendawan biopendarcahaya lazimnya tumbuh pada substrat seperti akar, batang pokok, kayu reput atau daun dan kebanyakannya berfungsi sebagai saprofit. Peranan cendawan ini dalam ekosistem ialah mengurai serta menukarkan bahan organik pada substrat kayu dan daun kepada biojisim, karbon serta asid organik yang seterusnya diserap ke dalam persekitaran hutan. Proses ini membantu dalam kitaran nutrien dan menyumbang kepada kesuburan tanah hutan secara semula jadi.
Terdapat lebih kurang 130 spesies cendawan biopendarcahaya telah direkodkan di seluruh dunia dan 22 spesies daripadanya ditemukan di Malaysia. Kebanyakan cendawan biopendarcahaya ini tergolong dalam filum Basidiomycota dan order Agaricales yang boleh dikategorikan kepada lima kumpulan utama.
Kumpulan pertama terdiri daripada genus Armillaria dalam famili Physalacriaceae. Kumpulan kedua merangkumi beberapa genus di bawah famili Mycenaceae. Seterusnya, kumpulan ketiga melibatkan genus Omphalotus, Nothopanus dan Neonothopanus daripada famili Omphalotaceae. Kumpulan keempat terdiri daripada genus Eoscyphella dalam famili Cyphellopsidaceae, manakala kumpulan terakhir merangkumi spesies yang kedudukan taksonominya masih belum dikenal pasti dan dipercayai berada dalam famili Cyphellaceae atau Porotheleaceae.
Di Malaysia, majoriti cendawan biopendarcahaya yang ditemukan berasal daripada famili Mycenaceae. Selain itu, hanya satu spesies daripada setiap famili Physalacriaceae, Omphalotaceae dan Pleurotaceae yang telah direkodkan. Bilangan spesies ini dipercayai akan terus meningkat dengan penemuan baharu pada masa hadapan, memandangkan masih banyak spesies yang belum dikenal pasti dan kawasan hutan yang belum diteroka sepenuhnya.
Jadual 1 Spesies cendawan biopendarcahaya di Malaysia.


Sifat biopendarcahaya pada cendawan sukar dikesan dan tidak mudah dikenal pasti pada waktu siang yang terang. Oleh itu, pencarian cendawan biopendarcahaya di dalam hutan hanya boleh dilakukan dan diperhatikan pada waktu malam. Cendawan ini menghasilkan cahaya melalui tindak balas kimia yang melibatkan molekul luciferin dan enzim luciferase dalam kulat dengan kehadiran oksigen, sama seperti proses yang berlaku pada kunang-kunang.
Cahaya yang dipancarkan oleh cendawan biopendarcahaya berwarna kehijauan dengan panjang gelombang dalam julat 520 nanometer hingga 530 nanometer. Sifat biopendarcahaya ini dapat dilihat pada keseluruhan jasad buah cendawan, namun terdapat juga spesies yang hanya bercahaya pada bahagian tertentu seperti tangkai, payung cendawan atau miselium pada kultur kulat.
Selain itu, terdapat spesies yang mampu menghasilkan cahaya pada kedua-dua bahagian, iaitu jasad buah dan miselium atas kultur kulat. Biopendarcahaya yang dihasilkan oleh cendawan ini dapat diperhatikan secara berterusan dalam tempoh beberapa hari hingga beberapa minggu, bergantung pada keadaan persekitaran dan spesies cendawan tersebut.
Fungsi biologi dan sebab cendawan biopendarcahaya menghasilkan cahaya masih belum dapat dipastikan secara muktamad dan pelbagai hipotesis telah dikemukakan bagi menjelaskan fenomena ini. Satu daripada hipotesis yang dikemukakan ialah cahaya yang dipancarkan oleh cendawan biopendarcahaya berkemungkinan berfungsi untuk menarik serangga, sekali gus membantu dalam penyebaran spora.
Walau bagaimanapun, terdapat spesies cendawan biopendarcahaya yang hanya menghasilkan cahaya pada bahagian tangkai dan bukan pada keseluruhan jasad buah atau bahagian yang mengandungi spora. Keadaan ini menimbulkan keraguan terhadap hipotesis bahawa biopendarcahaya berperanan dalam penyebaran spora, lalu menjadikannya kurang meyakinkan.
Selain itu, terdapat hipotesis yang menyatakan bahawa cendawan biopendarcahaya mungkin menggunakan cahaya sebagai satu bentuk komunikasi atau amaran kepada pemangsa agar tidak menghampiri atau memakannya. Namun begitu, ada juga pendapat yang beranggapan bahawa aroma yang tidak menyenangkan pada cendawan adalah lebih berkesan berbanding dengan cahaya yang dihasilkan dalam usaha mengelakkan diri daripada dimakan oleh pemangsa.

Di samping itu, satu lagi hipotesis mencadangkan bahawa cendawan biopendarcahaya mengeluarkan cahaya sebagai mekanisme pertahanan terhadap tekanan oksidatif. Meskipun pelbagai hipotesis telah dikemukakan, masih banyak kajian penyelidikan yang perlu dijalankan bagi mendapatkan jawapan yang lebih pasti mengenai fungsi sebenar biopendarcahaya dalam cendawan ini.
Sebagai kesimpulan, pemeliharaan hutan amat penting bagi memastikan kelangsungan hidup cendawan yang terdapat di dalamnya agar tidak pupus. Usaha pemuliharaan yang berterusan akan membolehkan orang ramai serta generasi akan datang terus menikmati dan menghayati kepelbagaian biodiversiti kulat, khususnya cendawan biopendarcahaya yang begitu unik dan istimewa.