Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDisediakan oleh: Noraisah Akbar Ali
Kuala Lumpur – Kemalangan di tempat kerja boleh berlaku di mana-mana sahaja, termasuklah di makmal penyelidikan yang terdedah kepada pelbagai risiko bahaya yang berpotensi mengancam keselamatan penyelidik dan persekitaran kerja.
Menyedari akan kepentingan aspek keselamatan dalam penyelidikan, Program Sains Bioperubatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Bengkel Keselamatan Makmal 2024 sebagai langkah proaktif untuk meningkatkan kesedaran serta kefahaman pelajar mengenai kepentingan pematuhan terhadap prosedur keselamatan makmal.
Menurut Pengerusi Bengkel merangkap Ketua Program Sains Bioperubatan, Profesor Madya Dr. Asmah Hamid, kesedaran awal memainkan peranan penting dalam memastikan penyelidikan dijalankan secara selamat, teratur dan bebas daripada sebarang risiko yang berpotensi menjejaskan kelancaran serta kualiti hasil penyelidikan.
Bengkel yang berlangsung di Dewan Kuliah 3, UKM, Kampus Kuala Lumpur ini merupakan sebuah inisiatif tahunan yang telah dilaksanakan secara konsisten sejak tahun 2013 dengan matlamat untuk memperkukuh kesedaran dan pemahaman pelajar mengenai keselamatan di makmal.
Bengkel ini bertujuan memberikan pendedahan menyeluruh kepada pelajar mengenai pelbagai aspek keselamatan di makmal, termasuklah keselamatan biologi dan kimia, pengurusan sampel yang sistematik serta pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan di tempat kerja bagi memastikan persekitaran penyelidikan yang selamat dan terkawal.
Pelaksanaan bengkel ini merupakan inisiatif berterusan yang bertujuan memastikan para pelajar sentiasa peka terhadap pelbagai risiko yang wujud di makmal serta memahami dengan mendalam langkah pencegahan yang perlu diambil bagi menjamin keselamatan dan kelancaran penyelidikan.
Bengkel ini terbahagi kepada dua sesi utama, iaitu sesi ceramah keselamatan yang bertujuan meningkatkan pemahaman teori dan sesi latihan praktikal yang memberikan peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi sebenar di makmal.
Sesi pertama merangkumi ceramah keselamatan makmal yang menekankan aspek penting seperti pengurusan bahan kimia yang selamat, kaedah pengendalian peralatan makmal yang betul serta pematuhan ketat terhadap peraturan keselamatan yang ditetapkan bagi mengurangkan risiko kemalangan dan memastikan kelancaran operasi makmal.
Sesi kedua pula menyediakan peluang kepada pelajar untuk menjalani latihan praktikal yang komprehensif dalam penggunaan peralatan makmal seperti penimbang digital, meter pH, spektrofotometer, alat pengempar dan mikropipet bagi memastikan mereka mahir dalam pengendalian peralatan dengan tepat dan efisien.

Selain itu, demonstrasi penggunaan peralatan keselamatan seperti alat pemadam api, pancuran mandian keselamatan, selimut api dan pencuci mata turut diadakan bagi memastikan pelajar memahami prosedur yang betul dan dapat bertindak pantas serta berkesan dalam situasi kecemasan.


Sebagai langkah memastikan pematuhan kepada standard keselamatan yang ditetapkan, para pelajar diwajibkan menandatangani Borang Garis Panduan dan Aku Janji Pemegang Kunci Makmal serta Borang Garis Panduan dan Aku Janji Penggunaan Makmal yang disediakan oleh Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan (CORE) dan Bahagian Perkhidmatan Sains (BPS), FSK, UKM.
Penandatanganan borang ini bertujuan untuk menggalakkan rasa tanggungjawab dalam kalangan pelajar terhadap keselamatan diri, rakan sekerja serta persekitaran makmal.
Bengkel ini telah menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada para pelajar yang menyertai.
Menurut peserta, Siti Aisyah Fatehah, bengkel ini sangat bermanfaat kerana Penolong Pegawai Sains (PPS) memberikan penerangan yang jelas dan mudah difahami, sekali gus memudahkan pemahaman serta aplikasi dalam makmal.
Seorang lagi peserta, Jason Hii Sheng Hu, turut meluahkan rasa puas hati terhadap penganjuran bengkel ini dengan menyatakan bahawa segala aspek yang disampaikan, termasuklah sesi penerangan dan latihan praktikal berjalan dengan baik serta memenuhi jangkaan peserta.