Diterbitkan pada 21 Januari 2025, 14:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh merupakan ibu negeri Perak dan antara bandar raya terbesar di Malaysia. Perkembangannya bermula hasil daripada industri perlombongan bijih timah yang terkenal di Lembah Kinta pada suatu ketika dahulu.

Pada peringkat awal, Ipoh hanyalah sebuah pekan kecil yang kemudiannya mengalami perkembangan pesat sehingga diiktiraf sebagai sebuah bandar. Peningkatan ekonomi dan kemajuan infrastruktur telah mendorong pertumbuhan berterusan yang akhirnya membawa kepada perisytiharan Ipoh sebagai bandar raya.

Nama Ipoh berasal daripada nama sejenis pokok yang tumbuh di kawasan tersebut ketika bandar ini mula dibuka. Pokok ini yang dikatakan mengeluarkan getah beracun pada asalnya dikenali sebagai “epu” “upas” atau “ipuh” dengan nama botani Antiaris toxicaria daripada famili Moraceae.

Selain pokok Ipoh, terdapat juga spesies tumbuhan pemanjat yang turut dikenali sebagai “ipoh,” iaitu akar ipoh (Strychnos spp.) daripada famili Loganiaceae serta akar ipoh putih, iaitu Hugonia griffithiana (sinonim Indorouchera griffithiana) daripada famili Linaceae.

Penggunaan nama tempatan yang hampir sama sering menimbulkan kekeliruan dalam membezakan antara pokok ipoh, akar ipoh dan akar ipoh putih. Kekeliruan ini berlaku terutamanya apabila identifikasi dilakukan tanpa melihat secara langsung ciri tumbuhan sebenar.

Pokok Ipoh

Pokok ipoh merupakan tumbuhan berkayu keras yang mampu mencapai ketinggian melebihi 50 meter. Batangnya boleh membesar sehingga hampir 180 sentimeter diameter dan disokong oleh akar banir yang tinggi, lalu menjadikannya stabil di habitat semula jadi.

Taburan pokok ipoh meliputi kawasan tropika dengan kehadirannya dicatatkan di Thailand, Sumatera, Semenanjung Malaysia, Singapura, Pulau Jawa, Borneo, Filipina, Sulawesi, Maluku, Kepulauan Solomon, Australia dan Papua New Guinea.

Secara umumnya, pokok ini tumbuh subur di kawasan tanah rendah yang lembap serta di bawah naungan. Walau bagaimanapun, pokok ipoh jarang-jarang ditemukan di kawasan tanah tinggi dan beriklim sejuk kerana keadaan persekitaran yang tidak sesuai untuk pertumbuhannya.

Daun muda pokok ipoh.
Daun matang pokok ipoh. Spesies yang mengeluarkan getah putih dalam famili yang sama dengan pokok ipoh adalah seperti pokok nangka, tempinis, bangkong dan keledang.

Pokok ipoh mengeluarkan getah beracun berwarna putih yang sering digunakan oleh masyarakat orang asli dalam aktiviti menyumpit. Getah ini biasanya diperoleh melalui kaedah menoreh atau menakek kulit batang, kemudian dikumpulkan di dalam keratan buluh. Campuran getah ipoh dengan bahan lain akan disapukan pada hujung anak panah atau sumpitan semasa berburu. Racun ini bertindak dengan serta-merta dan mampu membunuh mangsa yang terkena sumpitan.

Bagi mengelakkan keracunan apabila dimakan, bahagian daging haiwan buruan yang terkena racun akan dipotong dan dibuang segera. Di Borneo, getah pokok ipoh turut digunakan sebagai rawatan tradisional untuk merawat luka bernanah dan gigitan ular.

Dalam perubatan tradisional Jawa, daun dan akar pokok ipoh telah digunakan bagi merawat penyakit mental. Sementara itu, di beberapa negara Asia, biji benih pokok ipoh telah digunakan dalam rawatan cirit-birit yang memperlihatkan pelbagai kegunaan tumbuhan ini dalam perubatan tradisional.

Pokok ipoh merupakan spesies ikonik bagi bandar raya Ipoh. Namun begitu, pokok ini tidak sesuai dijadikan sebagai pokok hiasan kerana getahnya yang sangat toksik. Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa tempatan telah mengambil langkah berhati-hati dalam usaha penanaman pokok ipoh dengan menempatkannya jauh dari kawasan tumpuan orang ramai bagi mengelakkan risiko kemudaratan akibat pendedahan kepada getah beracun.

Akar Ipoh Putih

Akar ipoh putih (Hugonia griffithiana) yang dikenali dengan nama tempatannya sebagai akar ipoh putih merupakan spesies dalam famili Linaceae. Tumbuhan ini adalah sejenis pepanjat yang dapat dikenal pasti dengan mudah melalui ciri daunnya yang berbentuk elipsoid–obovat, sedikit berkilat dan mempunyai tepi yang bergerigi halus.

Keunikan tumbuhan ini terletak pada cangkuk pemanjat yang tumbuh dari ketiak daun dan membolehkannya menjalar sehingga mencapai ketinggian 20 meter. Selain itu, bunga akar ipoh putih berwarna kuning, sedikit berkilat dan memiliki aroma yang harum. Buahnya yang matang berwarna jingga kemerahan dengan ukuran antara lima sentimeter hingga tujuh milimeter lebar.

Bunga akar ipoh putih berwarna kuning yang keluar daripada ketiak daun dan mengeluarkan aroma yang harum.

Akar ipoh putih telah direkodkan di beberapa lokasi seperti India, Thailand, Sumatera, Semenanjung Malaysia, Singapura dan Pulau Jawa. Tumbuhan ini kebiasaannya tumbuh di pinggir hutan sekunder, kawasan terbiar serta hutan paya.

Akar ipoh putih juga mengeluarkan getah yang sangat beracun. Getah ini sering digunakan sebagai campuran racun yang disapu pada anak panah dan sumpit.

Di Sarawak, kayu akar ipoh putih turut dimanfaatkan sebagai bahan untuk membuat pemegang parang. Selain kegunaannya dalam pembuatan alat, tumbuhan ini juga digunakan dalam perubatan tradisional bagi merawat pelbagai jenis penyakit.

Cangkuk yang digunakan untuk memanjat.

Hasil kajian mendapati bahawa bahagian lain tumbuhan ini seperti bunga dan daun akar ipoh putih turut digunakan dalam rawatan sakit kepala. Selain itu, batang serta air rebusan akarnya dipercayai berkesan dalam merawat sakit perut, sembelit, masalah usus dan malaria.

Dalam perubatan tradisional, kulit akar ipoh putih yang telah dipanaskan dan ditumbuk digunakan bagi merawat penyakit reumatik atau radang. Namun begitu, walaupun tumbuhan ini mempunyai pelbagai kegunaan, penggunaannya yang tidak betul boleh mengakibatkan kemudaratan disebabkan oleh kandungan toksik yang tinggi. Sehubungan dengan itu, penggunaan akar ipoh putih dalam perubatan harus dilakukan dengan berhati-hati dan di bawah pengawasan pakar bagi mengelakkan sebarang kesan sampingan yang berbahaya.

Akar ipoh putih boleh memanjat sehingga ketinggian 20 meter.
Buah akar ipoh putih berwarna jingga apabila matang.

Akar Ipoh

Akar ipoh atau Strychnos spp. merupakan tumbuhan jenis melilit dan memanjat dengan bantuan sulur kait (tendril). Sulurnya yang ringkas tetapi kuat membolehkan tumbuhan ini berpaut pada sokongan untuk mencapai ketinggian yang lebih tinggi.

Akar ipoh juga beracun dan sering digunakan dalam penyediaan racun bagi anak panah atau sumpitan. Racun ini biasanya dihasilkan dengan mencampurkan getah akar ipoh bersama getah pokok ipoh untuk meningkatkan keberkesanannya.

Selain itu, masyarakat orang asli dan masyarakat asal turut menggunakan getah akar ipoh sebagai tuba ikan. Kaedah tradisional ini berkesan dalam menangkap ikan di sungai dan kawasan berair.

Strychnos sp. yang juga dikenali sebagai akar ipoh.

Tumbuhan ini mengandungi racun yang dikenali sebagai strychnine, namun pada zaman dahulu masyarakat menggunakannya sebagai ubat untuk pelbagai jenis penyakit serta sebagai tonik kecergasan bagi memulihkan fungsi badan. Penggunaannya yang meluas berterusan sehingga timbul kesedaran mengenai kesan toksiknya yang boleh menyebabkan kematian. Sebagai contoh, ekstrak biji benih dan kulit batang spesies Strychnos ignatii telah digunakan dalam rawatan sakit perut serta sebagai tonik pemulihan di beberapa negara seperti Filipina, Thailand dan Vietnam.

Kesimpulannya, pengecaman spesies tumbuhan merupakan keperluan penting, terutamanya dalam membezakan tumbuhan yang mempunyai nama tempatan yang sama. Meskipun ketiga-tiga spesies ini menghasilkan getah atau cecair beracun, tumbuhan ini tergolong dalam keluarga yang berbeza berdasarkan ciri morfologi yang unik.

Oleh sebab terdapat dakwaan daripada masyarakat setempat mengenai potensi spesies ini dalam perubatan, kajian yang lebih teliti perlu dijalankan sebelum penggunaannya secara komersial, khususnya dalam industri herba. Dokumentasi bertulis secara terperinci mengenai kaedah penggunaan spesies ini oleh masyarakat orang asli dan masyarakat asal harus sentiasa dilaksanakan agar dapat dijadikan rujukan dan panduan yang bermanfaat kepada semua pihak.

Rafidah Abdul Rahman, Pegawai Penyelidik, Program Biodiversiti Flora/Cawangan Herbarium, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.

 

 

Nik Faizu Nik Hassan, Pegawai Penyelidik, Program Hutan Asli/Cawangan Ekologi Hutan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi