Diterbitkan pada 16 Januari 2025, 18:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Program Literary Backpack Fun Run 2025 yang dianjurkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghimpunkan lebih 650 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus menggabungkan elemen kesihatan, pendidikan dan perpaduan dalam satu acara yang bermakna.

Acara ini mencatatkan penyertaan antarabangsa yang melibatkan peserta dari Kenya, Vietnam, Jepun, China dan Filipina, di samping kehadiran peserta dari pelbagai negeri di Malaysia seperti Johor, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan yang menambahkan kemeriahan program.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, USM bersama-sama Teleperformance Malaysia untuk mempromosikan akses kepada pendidikan berkualiti dan meningkatkan kesedaran sosial, khususnya kepada golongan muda.

Penyertaan dari warga asing turut memeriahkan acara ini.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab merasmikan acara ini dengan menekankan nilai tanggungjawab sosial dan keprihatinan terhadap komuniti.

Larian ini bukan sekadar aktiviti fizikal, setiap langkah membawa makna tersendiri, iaitu demi kesihatan, perpaduan dan masa hadapan yang lebih cerah dengan ilmu sebagai terasnya.

Larian sejauh 10 kilometer ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM20,000 untuk pemenang dalam kategori lelaki dan wanita.

Pemenang utama menerima RM3,000, diikuti RM2,000 untuk tempat kedua, RM1,000 untuk tempat ketiga serta RM500 bagi tempat keempat dan kelima.

Selain larian, Pertandingan Rekaan Beg Galas Paling Kreatif diadakan bagi menggalakkan inovasi dan kelestarian yang meraikan sebanyak 20 pemenang yang menerima hadiah tunai RM100 setiap seorang sebagai tanda penghargaan terhadap kreativiti peserta.

20 pemenang Pertandingan Rekaan Beg Galas Paling Kreatif.
Warga emas juga tidak ketinggalan untuk menyertai aktiviti yang sihat ini.

Kehadiran Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, USM, Profesor Dr. Hazri Jamil serta Pengarah Operasi Teleperformance Malaysia, Michael Christopher Sanchez menyerikan lagi acara ini bersama-sama Pengarah Projek, Dr. Mozhgan Ghassemiazghandi dan wakil jawatankuasa penganjur lain.

Program ini menjadi simbol komitmen USM dalam mempromosikan gaya hidup sihat, pendidikan dan inovasi, di samping menyatukan masyarakat tempatan dan antarabangsa dalam suasana penuh harmoni yang memperkukuhkan nilai perpaduan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi