Diterbitkan pada 14 Januari 2025, 14:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Abu Dhabi – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden serta Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE) merangkap Pemerintah Dubai, Yang Mulia Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum, bersepakat untuk memperbaharui kerjasama dalam beberapa bidang utama, termasuklah tenaga, keselamatan makanan, teknologi dan pusat data yang bakal memajukan kepentingan bersama serta menyokong matlamat pembangunan mampan kedua-dua negara.

Demikian menurut hantaran media sosial rasmi YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahi, pagi tadi.

Semalam, beliau telah mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat gergasi negara itu untuk merapatkan hubungan dua hala serta melonjakkan kerjasama perdagangan dan pelaburan yang telah terjalin selama ini.

Dalam pertemuan dengan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) yang diketuai oleh Pengarah Urusan, Sheikh Hamed Zayed Al Nahyan, kedua-dua pihak sependapat untuk terus meningkatkan kerjasama pelaburan dan memperkukuh kecemerlangan yang telah dicapai semasa lawatan terdahulu.

Pertemuan dengan Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pelaburan Mubadala, Khaldoon Khalifa Al Mubarak, turut membincangkan pelaburan baharu dan yang sedia ada.

Di samping itu, pelaburan dalam projek tenaga boleh baharu menjadi fokus utama perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tenaga bersih Masdar, Mohamed Jameel Al Ramahi.

“Kita mengharapkan momentum positif pelaburan hasil pertemuan ini akan terus meningkat, disokong oleh keyakinan dan komitmen pemain industri serta syarikat-syarikat gergasi UAE,” menurut kenyataan Perdana Menteri.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertemu Ketua Pegawai Eksekutif Masdar, Mohamed Jameel Al Ramahi ketika ‘One on One Business Meeting bersama UAE Sovereign Wealth Funds’ di Abu Dhabi, UAE pada 13 Januari 2025. – AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri

YAB Dato’ Seri Anwar mengadakan lawatan kerja ke UAE untuk menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) dari 12 Januari hingga 14 Januari 2025 atas jemputan Yang Mulia Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.

Beliau akan menghadiri Majlis Pembukaan ADSW dan Majlis Anugerah Hadiah Kelestarian Zayed bersama Ketua-ketua Negara dan Kerajaan dari Afrika, Asia, Asia Tengah, Eropah dan Timur Tengah.

Program ADSW 2025 turut merangkumi sesi plenari dan YAB Perdana Menteri dijadualkan menyertai dialog bertajuk “ASEAN’s Interconnected Future: Linking Energy, Trade and Prosperity”.

Dalam dialog ini, beliau akan mengetengahkan perspektif dan pengalaman Malaysia dalam peralihan ke arah sumber tenaga lestari.

Sepanjang lawatan ini, YAB Perdana Menteri diiringi oleh Menteri Dalam Negeri, YB Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Semasa lawatan ini juga, YAB Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Presiden UAE merangkap Pemerintah Abu Dhabi, Yang Mulia Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

Perbincangan tertumpu kepada pengukuhan hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama, khususnya dalam sektor-sektor utama seperti tenaga boleh baharu, keterjaminan makanan dan tenaga, kecerdasan buatan dan pusat data. 

Di samping itu, YAB Perdana Menteri dijadualkan menyaksikan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (CEPA) yang akan membuka peluang baharu dalam sektor perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Sebagai rekod, dari Januari hingga November 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan UAE bernilai RM39.53 bilion (USD8.61 bilion).

Pada tahun 2023, UAE merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Timur Tengah dengan jumlah dagangan sebanyak RM39.63 bilion (USD8.67 bilion). Malaysia ialah rakan dagang keempat terbesar UAE dalam kalangan negara ASEAN dan ke-32 terbesar padaperingkat global.

Kredit Foto: Media Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi