Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangArau – Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis (UiTM Cawangan Perlis) menerusi Persatuan Science X-SIS telah menganjurkan program Pahlawan Sungai untuk mendidik para pelajar tentang pentinganya memelihara ekosistem air dan alam sekitar.
Penasihat Persatuan Science X-SIS II, Puan Nur Syafiqah Rahim yang juga merupakan pensyarah dalam bidang Biologi dari Fakulti Sains Gunaan menyatakan bahawa program ini bertepatan dengan hasrat UiTM untuk mendidik warganya memahami konsep kelestarian alam sekitar yang mampu memberikan kesan kepada biodiversiti dan sosioekonomi setempat.
Menurut beliau, penganjuran program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penutup yang diadakan di Geotapak Taman Rekreasi Bukit Jernih, Chuping, Perlis.
Sementara itu, Pengarah program, Puan Nur’aina Safiya Mahmad ‘Asri menyatakan bahawa program ini adalah untuk memupuk kesedaran mendalam dan tanggungjawab para peserta selain memperoleh pengalaman praktikal dalam usaha menjaga kebersihan sungai dan alam sekitar.
“Program Pahlawan Sungai bukan sahaja memberikan nilai tambah dalam usaha memperkayakan pembelajaran mahasiswa di luar UiTM, malahan mendidik mahasiswa, khususnya tentang betapa pentingnya memelihara ekosistem air, memahami kesan negatif pencemaran terhadap kehidupan akuatik,“ kata beliau.
Menurut salah seorang peserta program Encik Ahmad Lutfil Hadi Amir, pelibatan beliau dalam program ini memberikan banyak nilai tambah seperti meningkatkan kemahiran berkomunikasi, semangat kebersamaan, kemahiran bekerja dalam kumpulan, kesedaran terhadap alam sekitar, membina keyakinan diri dan semangat perpaduan dalam kalangan peserta.
“Program ini mendidik saya menjadi individu yang bertanggungjawab, prihatin dan menjaga kebersihan serta meningkatkan nilai perpaduan melalui aktiviti berkumpulan,“ kata beliau.
Dalam program ini, sebanyak 50 anak pokok daripada spesies Merawan, Mengkula dan Kelat yang ditanam oleh para peserta sambil dibantu oleh warga Persatuan Rekreasi Bukit Jernih.
Program ini diakhiri dengan aktiviti permainan berkumpulan berkonsepkan alam sekitar yang telah dimenangi oleh Kumpulan Ubiez sebagai johan, diikuti Kumpulan Boom! (naib johan) dan Kumpulan Anthophilia (tempat ketiga).
Pemenang membawa pulang hadiah berupa hamper.
Turut menyertai program ini ialah Presiden Persatuan Science X-SIS, Encik Wan Nong Shaqil Wan Nong Khairol.
Program ini telah disertai sebanyak 40 orang peserta yang terdiri daripada kalangan mahasiswa, alumni, warga pendidik UiTM Cawangan Perlis dan komuniti setempat.